Disanjung peminat, Siti Nordiana nafi sombong


Rumah terbuka Nana diserbu oleh lebih 5, 000 tetamu yang hadir ke Felda Sendayan, Negeri Sembilan hujung minggu lalu.

SECARA amnya, populariti itu boleh didefinisikan sebagai tulang belakang yang menggerakkan kerjaya seseorang artis. Bukan sekadar menjadi daya penarik dalam kalangan peminat, skala populariti seseorang artis itu turut dinilai berdasarkan sikap dan keupayaan toleransinya terhadap individu lain.

Tidak dinafikan, artis memerlukan populariti bagi menjual bakat yang ada padanya. Namun, di sebalik kebergantungan tersebut, golongan artis popular juga menjadi sasaran utama bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan gosip dan cerita yang tidak benar.

Terbaharu, menerusi ruangan pojok sebuah akhbar tempatan, penyanyi Siti Nordiana dikatakan mula berlagak sombong sehingga menolak permintaan seorang pereka fesyen yang mahu menaja pakaiannya.

Selain itu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana turut dikatakan lepas tangan dan hanya membiarkan pengurus peribadi, Anas menyelia karier seninya secara total.

Mengakui tidak terkejut dengan dakwaan tersebut, Nana berkata, gosip seperti itu sudah biasa didengar, lebih-lebih lagi apabila dia kini kembali aktif dan dikenali selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) hujung tahun lalu.

“Sejak mula menyanyi, saya sudah terbiasa dengan gosip seperti ini. Jadi, jika ditanya terkesan atau tidak, saya hanya boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Cuma dakwaan yang mengatakan saya sombong dan tidak mahu menerima tajaan pakaian adalah tidak benar. “Apatah lagi mengenai pengurus peribadi yang dikatakan mengongkong karier saya selepas menjuarai GV2 juga tidak pernah berlaku.

“Jika saya ada menyakiti mana-mana pihak, saya minta maaf,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Fokus nyanyian

Menurut Nana, apa yang dilalui pada awal kemunculan sebagai artis rakaman sekitar 17 tahun lalu telah banyak mematangkan perjalanan kariernya sehingga kini.

“Semua orang yang terlibat dalam dunia glamor akan melalui perkara sama. Jadi, apabila dituduh mengenai perkara yang tidak benar, saya cuba untuk tidak ambil peduli dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya,” katanya lagi.

Selepas menjuarai GV2, rezeki Nana dalam bidang seni dilihat begitu murah. Tidak hanya tertumpu pada bidang nyanyian, pelantun yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu kini aktif melebarkan sayap sebagai pelakon.

Drama rantaian lakonannya, Dia Semanis Honey mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat sehingga diterbitkan sebagai siri mini lima episod, Dia Semanis Honeymoon bagi tayangan hari raya baru-baru ini.

Biarpun mendapat maklum balas yang memberangsangkan, keterujaan Nana untuk terus berlakon terpaksa dihentikan buat seketika bagi memberi fokus terhadap karier nyanyiannya.

“Buat masa ini, saya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian. Tambahan pula, saya masih dalam rangka promosi single terbaharu, Pesanan Teragung.

“Mengenai bidang lakonan pula, saya tidak terus menolak jika diberikan tawaran berlakon. Cuma, saya hanya akan kembali berlakon jika masa benar-benar mengizinkan,” ujar Nana yang turut menerima nasihat daripada Erra Fazira mengenai selok-belok dunia lakonan.

Bercakap mengenai penganjuran rumah terbuka hari raya, Nana berkata, majlis tersebut merupakan lambang apresiasi terhadap peminat yang tidak pernah berhenti menyokong karier seninya.

“Ini merupakan majlis terbesar yang dihadiri oleh peminat. Sejujurnya terharu kerana ada yang sanggup datang dari Kedah dan Johor semata-mata mahu berjumpa dengan saya.

“Biarpun pada awalnya saya agak bimbang jika majlis ini tidak menjadi, namun berkat pertolongan kelab peminat, majlis rumah terbuka berjalan dengan lancar,” katanya yang menerima lebih 5,000 tetamu pada majlis tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post