Taruhan Azlan dalam industri


JIKA dinilai mengikut tarikan paras rupa, pasti ramai selebriti tempatan yang memiliki kekuatan sebegitu sehingga ada antara mereka kurang berbakat, namun masih mampu mendapat kedudukan selesa dalam industri.

Tidak mahu terlalu bergantung harap pada kecantikan luaran, vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter menyifatkan bakat dimiliki seseorang selebriti itu lebih penting bagi mengekalkan kualiti untuk jangka masa panjang.

Tambahnya, tidak perlu terlalu ghairah mencipta kontroversi demi mengejar populariti, sebaliknya berusaha keras mempamerkan bakat nescaya impak dunia glamor itu akan datang dengan sendiri.

“Demi memastikan seseorang selebriti itu kekal lama dalam industri, mereka perlu memiliki bakat dan tidak terlalu bergantung pada rupa kerana saban tahun akan lahir lebih ramai anak seni yang memiliki rupa paras cantik.

“Mungkin kekurangan dari segi paras rupa boleh ditutupi dengan pelbagai cara, namun bakat perlu lahir daripada dalam diri dan penting untuk tujuan perniagaan,” kata Azlan saat membuka bicara.

Bukan bermaksud ingin berbangga diri mengatakan dia jauh berbakat berbanding anak seni atau menaruh perasaan cemburu tetapi ia cukup sekadar luahan pandangan serta tidak terlintas untuk menyinggung perasaan sesiapa.

Melihat kepada sikap luaran dan tutur katanya, lagak Azlan tidak ubah seperti seorang lelaki yang penuh egois. Bagaimanapun, selepas menghabiskan masa mendengar celoteh lelaki ini tentang dunia seni, nyata pandangan tersebut jauh meleset tatkala melihat gelagatnya yang gemar ‘membuli’ empat anak didiknya.

Harapan

Meminati bidang hiburan bukan bermakna ingin mengejar gemerlapan kehidupan glamor mahupun mencari jalan pintas meraih kedudukan sosialit.

Bagi Zetty, dia ingin mempertaruhkan bakat seni suaranya yang selama ini cukup sekadar minat dan kini menjadikannya sebagai kerjaya tetap sepenuh masa.

Biarpun langkah seninya agak perlahan selepas tamat program Mentor Milenia sekitar Mac lalu, Zetty atau Nur Izzati Mohd. Rashid percaya setiap insan itu punya peluang dan pintu rezeki masing-masing.

“Saya percaya bahawa apabila kita berusaha keras dan tidak mengalah serta ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara, pasti ia akan membuahkan hasil.

“Bagaimanapun, sukar untuk menolak bahawa segalanya ditentukan oleh Tuhan dan yang pasti setiap individu itu mempunyai ceritera masing-masing,” jelas penyanyi berusia 23 tahun itu.

Tidak menolak bahawa dia kini sedang sibuk mempersiapkan diri menghasilkan single baharu untuk dijadikan taruhan buatnya bersaing dengan penghibur lain dalam industri seni.

Masih dalam peringkat pembikinan, Zetty mendedahkan, single baharunya berentak slow rock itu amat bersesuaian selain mengikut cita rasa dirinya.

“Saya berasa amat teruja dan tidak sabar menantikan sambutan peminat terhadap lagu tersebut dan mengharapkan ia berjaya menambat hati mereka,” ujar wanita kelahiran Jengka, Pahang itu.

Luar jangkaan

Bagi rakan seperjuangan Zetty yang juga merupakan peserta program Mentor Milenia, Nuri tidak menjangka cubaan sekadar suka-suka berjaya membuahkan hasil.

Biarpun gagal mendapat tempat pada peringkat akhir, Nuri atau nama lengkapnya, Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain tetap berasa gembira kerana diberi peluang untuk mempamerkan bakat, sekali gus menjadi anak didik kepada penghibur kesayangannya.

“Pada awalnya saya tidak berani untuk menyertai program tersebut tetapi atas sokongan keluarga dan kenalan, saya kuatkan hati.

“Agak memalukan saat menghadiri uji bakat, saya telah melakukan kesilapan dan gagal mengawal suara sehingga suara pecah akibat terlalu gementar, apatah lagi saat itu berada di hadapan abang Lan,” ujar Nuri seraya melepaskan ketawa kecil saat mengimbau semula kenangan saat ingin menyertai program realiti tersebut.

Turut bakal tampil dengan single baharu, tanpa mendedahkan tajuk buah tangannya itu, Nuri hanya memberitahu bahawa lagu berentak soul R&B tersebut merupakan pilihan sifunya, Azlan.

Menerusi riak wajahnya, tidak sedikit pun mempamerkan reaksi membantah dengan keputusan Azlan, sebaliknya gembira kerana diberi peluang untuk memiliki single sendiri.

“Sebagai artis baharu saya tidak membantah bukan kerana takut tetapi berasa yakin dengan keputusan abang Lan dan percaya sentuhan magis tersendiri,” kata gadis berusia 18 tahun itu.

Darah seni

Saat awal bertentang mata dengan anak didik Azlan seterusnya, tidak terlintas wajah milik gadis berusia 18 tahun itu seiras dengan penyanyi popular sekitar 80-an, Oney atau Mohd. Redzuan Abd Aziz.

Hanya menunduk malu, Ain atau nama lengkapnya Siti Wan Annur seakan dapat meneka soalan apa yang akan diajukan sementelah rahsia identitinya terbongkar.

Tidak pernah terlintas untuk memperdagangkan populariti bapanya demi meraih tempat dalam industri kerana dia ingin masyarakat menilai bakatnya berbanding mengetahui akan perihal tersebut.

“Saya dapat menjangka perkara seperti ini pasti akan berlaku sekiranya mereka mengetahui akan identiti ayah yang merupakan penggiat seni sebelum ini.

“Biarpun tidak dapat lari daripada perkara itu, saya tetap menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka dan mengharapkan agar peminat dapat menerima kehadiran saya dalam industri,” tuturnya sambil melemparkan senyuman.

Teruja bercerita tentang minatnya dalam bidang muzik, Ain mengakui keinginan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi ekoran terpengaruh dengan bapanya.

“Ayah sering membawa saya ke studio untuk melihat bagaimana situasi penggiat seni tempat merakamkan lagu dan bermula daripada keinginan menjadi penghibur muncul serta alhamdulillah keluarga juga tidak membantah dengan minat saya itu,” jelas Ain dengan panjang lebar.

Pamer kebolehan

Jika sebelum ini bakat seniman jalanan sering dipandang enteng sesetengah masyarakat sehingga wujud pandangan negatif terhadap mereka dan menyifatkan bakat yang diketengahkan tidak mempunyai standard.

Bagaimanapun, pandangan tersebut mula terhakis apabila muncul penghibur dalam kalangan seniman jalanan seperti Amir Jahari dan Caliph Buskers.

Perkara sama turut berlaku kepada Aliff Redza Mohd. Radzi, 24, yang selama ini menjadikan kawasan tarikan pejalan kaki sebagai pentas mempamerkan bakat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Bersyukur apabila perjuangannya sebagai seniman jalanan mendapat perhatian penyanyi lagu Melankoli itu, Aliff nyata tidak mampu menyembunyikan rasa teruja apabila berpeluang menjadi salah seorang anak didik Azlan.

“Saya tidak menyangka usaha selama lebih empat tahun bergelumang sebagai seniman jalanan akhirnya berubah kepada penyanyi dan berpeluang merakamkan lagu di studio rakaman yang memiliki single nyanyian sendiri.

“Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan agar anak penghibur atau penggiat seni popular tanah air mengambil saya sebagai artis rakaman seperti apa yang dilakukan abang Azlan.

“Perkara utama yang saya ingin lakukan sekarang ialah berusaha memberikan yang terbaik dan mempamerkan kebolehan dalam bidang seni suara, sekali gus tidak menghampakan kepercayaan abang Azlan selaku sifu,” ujarnya optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post