Ruhainies tak sudi kahwin Datuk Red


MENCIPTA nama dalam bidang hiburan menerusi drama rantai Hello Mr. Perfect, pelakon kecil molek Ruhainies kini terpalit dengan dakwaan menjalin hubungan bersama suami penyanyi Adira.

Khabar angin tersebut mula bertebaran apabila sebuah video memaparkan dirinya bersama Datuk Seri Adenan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red tersebar.

Rakaman video tersebut menjadi lebih hangat apabila Datuk Red merangkul pinggangnya ketika menaiki tangga bergerak (eskalator) di sebuah pusat beli-belah.

Tidak mudah melenting, pemilik nama Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, menjawab persoalan mengenai tujuan sebenar dia berjumpa dengan lelaki berusia 38 tahun itu.

Malah, tegasnya, dia sama sekali tidak sudi menjadi isteri ketiga lelaki yang sudah mempunyai dua orang isteri (Datin Red atau Syarifah Norshafila Hassim dan Adira) itu.


GAMBAR yang diambil daripada portal hiburan mStar menunjukkan Adenan merangkul pinggang Ruhainies di pusat beli-belah di ibu kota.

KOSMO!: Menerusi rakaman sebuah video yang menunjukkan Ruhainies berjalan dengan suami Adira, Datuk Seri Adenan, adakah benar individu tersebut adalah anda?

RUHAINIES: Memang benar saya adalah wanita dalam video tersebut tetapi tujuan kami berjumpa disebabkan kerja dan bukannya atas urusan peribadi.

Tambahan, saya tidak bertemu dengannya secara berdua-duaan, sebaliknya ditemani oleh seorang pembantu peribadi, adik perempuan dan tiga kenalan lain.

Bagaimana pula penjelasan anda mengenai tindakan Adenan merangkul pinggang anda. Adakah benar kalian sedang menjalin hubungan?

Sejujurnya, kami hanya sekadar kenalan kerja dan tidak lebih daripada itu. Saya sendiri tidak tahu bagaimana gambar tersebut boleh diambil sehingga menampakkan dia sedang meletakkan tangan di pinggang saya.

Jika benar dia cuba berbuat demikian, pastinya saya akan menepis atau menjelaskan bahawa tindakannya itu membuatkan saya tidak selesa tetapi yang jelas ia memang tidak berlaku.

Pada pandangan anda, apakah tujuan individu tersebut cuba merakam video dan mengambil gambar kalian serta mendedahkan kepada umum?

Sukar rasanya untuk saya mentafsir tujuan individu berkenaan. Bagaimanapun, saya faham kedudukan sebagai selebriti kerana setiap apa yang dilakukan pasti akan mendapat perhatian umum.

Mungkin disebabkan peminat mengetahui Adenan merupakan suami kepada Adira, jadi perkara tersebut sengaja diperbesarkan kerana sebelum ini saya pernah keluar bersama kenalan lelaki lain, tetapi tidak menjadi isu besar seperti ini.

Bagaimanakah kalian berdua boleh saling mengenali?

Kami mula mengenali sewaktu saya membintangi sebuah iklan komersial milik syarikat Adenan pada bulan Ramadan lalu.

Kemudian kami ada berjumpa, tetapi tidak berdua, sebaliknya turut disertai oleh tenaga kerja produksi iklan tersebut termasuk isteri pertamanya, Datin Red.

Insiden video viral tersebut pula, ia adalah perjumpaan kami kali ketiga dan hanya atas urusan kerja.

Apakah reaksi anda apabila Adenan mahu mengambil anda sebagai isteri ketiganya?

Sejujurnya sukar untuk dipercayai bagaimana perkara itu boleh wujud. Pada pandangan saya, kenyataan Adenan itu hanya sekadar melawak kerana dia memang seorang yang gemar berjenaka.

Tiada apa yang perlu diperbesarkan kerana perkara tersebut adalah tidak benar. Saya juga belum gila untuk berkahwin dengan suami rakan artis sendiri.

Benarkah Adira ada menghubungi anda?

Ya dan kami tidak bergaduh, sebaliknya saya menjelaskan tentang semua perkara kepadanya. Kami bercerita dari hati ke hati.

Adira faham dan tidak salahkan saya. Kami juga tidak bermasam muka. Sebagai seorang wanita dan rakan artis, saya menghormatinya.

Bagaimanakah pula dengan isteri pertama Adenan?

Saya tidak ada masalah dengan isteri pertama Adenan kerana kami memang sudah saling mengenali.

Jadi, bagaimana sebenarnya perasaan anda terhadap Adenan?

Tiada sekelumit perasaan sukakan dia. Saya berkawan dengannya atas dasar kerja dan profesional kerana seperti yang saya nyatakan, kami memang sudah kenal sebelum ini. Jika pada masa akan datang pun saya tidak akan menolak kerjasama dengan Adenan kalau ia hanya bersandarkan profesional dan kerja, andai ia tidak mendatangkan mudarat kepada saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post