Raya pertama Projector Band


UNDANGAN NYANYIAN - Seawal hari raya pertama, Projector Band sudah memenuhi undangan nyanyian.

APABILA menyebut nama Projector Band (PB), pastinya berputar dalam minda single sulung ciptaan mereka yang sedang meletup di corong-corong radio tempatan.

Berjaya menakluk peminat dengan aura rock ‘leleh’ tahun 90-an, sesungguhnya sinar lagu Sudahku Tahu memang benar-benar mencipta keajaiban buat lima anak muda yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ini. Masakan tidak, klip video lagu tersebut telah ditonton sebanyak 13 juta kali di YouTube sejak dimuat naik pada empat bulan lalu.

Bertukar status sebagai selebriti, kehadiran Syawal tahun ini pastinya membawa perbezaan besar dalam diari hidup mereka sejak penubuhan PB pada 2013.

Jika dahulu tiada siapa yang mengenali Iskandar, Razif, Isnaidi, Ahmad Khusairi dan Muhammad Syafiq, namun kini segalanya berubah sekelip mata.

“Benar, sambutan Aidilfitri pada tahun ini memang sangat berbeza. Dahulu orang tidak mengenali kami, tetapi kini ke mana sahaja pasti ada peminat yang mula menegur dan mengajak untuk bergambar,” bicara Razif selaku gitaris utama PB.

Mengakui teruja dengan sambutan luar biasa itu, Razif memberitahu, impak daripada kehangatan lagu tersebut turut membolehkan mereka berlima berjimat daripada membeli baju raya.

“Selama ini saya tidak pernah mendapat tajaan daripada mana-mana pihak. Alhamdulillah, rezeki buat kami tahun ini apabila mendapat tajaan baju raya sehingga empat pasang.

“Bukan itu sahaja, saya juga sering mendapat juadah untuk berbuka puasa secara percuma ketika berkunjung ke bazar Ramadan pada bulan puasa lalu,” ceritanya.

Masih berkongsi keterujaan yang sama, pemain bass PB, Khusairi pula memberitahu sambutan Aidilfitri pada tahun ini lebih berganda istimewanya.

Bukan sahaja menukar status sebagai selebriti, tahun ini lelaki yang mesra digelar sebagai Matt itu turut menyambut raya buat pertama kalinya sebagai seorang suami.

“Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga pada bulan Mac lalu. Kalau dahulu saya beraya bersama keluarga, tetapi tahun ini sambutan raya bertambah istimewa dengan kehadiran isteri.

“Tahun ini saya dan isteri akan beraya di kampung saya iaitu Kuala Kubu Bharu sebelum pulang ke kampung isteri di Taiping, Perak pada hari raya keempat,” ujarnya.

Memori raya

Pertemuan pada hari itu kemudiannya menjadi riuh rendah apabila mereka sengaja diajak berkongsi memori kemeriahan setiap kali menjelang raya. Masing-masing tertawa tatkala mengimbau kembali kisah nakal sewaktu bergelar kanak-kanak.

Masih meneruskan tradisi mengutip duit raya, gitaris kedua PB, Isnaidi memberitahu dari kecil sehingga kini dia masih mendapat duit raya.

“Seperti kanak-kanak lain, setiap kali hari raya tiba saya pasti akan berkunjung ke setiap rumah dengan tujuan untuk mengumpul duit raya.

“Malah, sehingga kini saya masih mendapat duit raya cuma jumlahnya tidaklah banyak seperti dahulu,” ujarnya yang gemar makan ketupat bersama kuah kacang ketika hari raya.

Bagi Iskandar selaku vokalis utama pula, dia tidak dapat melupakan kisah ketika bermain meriam tin bersama rakan-rakannya ketika berumur 10 tahun.

“Dua hari menjelang hari raya, saya dan beberapa rakan lain bermain meriam tin. Secara tiba-tiba meriam tersebut meletup menyebabkan kaki rakan yang paling dekat dengan meriam itu disambar api.

“Ketika itu semua orang menjadi panik. Seorang lagi rakan saya cuba hendak memadamkan api tersebut dengan menyimbah air. Bagaimanapun, air tersebut adalah minyak tanah dan menyebabkan api semakin marak sehingga menyebabkan kaki kawan saya melecur teruk,” terangnya yang pulang beraya di Batang Kali, Selangor.

Hargai peminat

Melanjut bicara tentang sambutan raya yang disifatkan begitu istimewa pada tahun ini, mewakili rakan lain, pemain dram PB, Syafiq pula memberitahu rancangan mereka untuk menganjurkan rumah terbuka.

“Kami memang sudah merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka. Majlis tersebut mungkin akan diadakan di Dataran Kuala Kubu Bharu tetapi tarikhnya belum ditetapkan lagi.

“Majlis tersebut dianjurkan untuk meraikan peminat dan ketika itu kami tidak mahu terlalu banyak membuat persembahan kerana ingin mengeratkan silaturahim dengan peminat yang selama ini banyak menyokong PB,” jelasnya panjang lebar.

Dalam pada itu, Razif sempat berkongsi tentang lagu raya mereka. Mengambil melodi sama seperti lagu Sudahku Tahu, Razif berkata lagu raya yang berjudul Sudahku Tahu Raya itu terhasil daripada sokongan peminat.

“Sebelum mencipta lagu ini, kami pernah bertanya kepada peminat tentang pendapat mereka untuk menghasilkan lagu raya daripada lagu melodi Sudahku Tahu.

“Majoriti ramai yang menyokong dengan cadangan kami. Walaupun melodinya hampir sama, tetapi kami ubah sedikit menjadi muzik yang rancak dan liriknya juga kami ubah dan menceritakan kisah raya,” akhirinya.



Post a Comment

Previous Post Next Post