Meriah Syawal Siti Nordiana, Khai Bahar


SAMA LARIS - Baik Nana mahupun Khai, graf karier seni mereka melonjak naik sepanjang tahun ini.

MENDAKAP tibanya Syawal dengan hati yang hening pasti membuahkan rasa teruja tatkala takbir beralun sayup. Rutin yang dilalui tanpa rasa jemu seperti tahun lalu diulang kembali, menandakan ketibaan bulan kemenangan itu sebagai tarikh kebesaran yang sering ditunggu-tunggu.

Tambah manis, kegembiraan menyambut lebaran pastinya dirasai oleh semua insan jika perasaan itu dikongsi bersama yang tersayang.

Bagi juara program realiti Gegar Vaganza 2 (GV2), Siti Nordiana Alias, 34, dia sudah biasa menyambut kedatangan Aidilfitri tanpa kehadiran individu bernama suami.

Hampir tujuh tahun hidup solo, pelantun lagu Memori Berkasih yang selesa disapa Nana itu sudah cukup bahagia dapat menumpang kasih anak tunggalnya, Rayyan Nakhaie, 7, dan juga keluarga.

Bukan trauma ataupun pintu hati sudah tertutup, tetapi soal jodoh dan perkahwinan sudah lama tidak menjadi keutamaan Nana yang mahu fokus kepada kerjaya seninya yang baru hendak hidup semula.

“Ramai juga yang bertanya adakah tahun ini merupakan kali terakhir saya beraya sendirian dan secara jujurnya, memang tiada jawapan.

“Belum terlintas dalam fikiran tentang itu dan saya hanya mahu memberi sepenuh perhatian kepada Rayyan serta karier buat masa sekarang,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi raya di Swiss-Garden Residences, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Nana, tahun ini menjadi saksi rutin puasa serta hari rayanya berubah impak menjuarai GV2 tahun lalu.

Jika sebelum ini, dia banyak menghabiskan masa di bulan puasa dengan berniaga di Butik Paling Comel miliknya di Bangunan Mara, Kuala Lumpur sekarang jadual seninya dipenuhi dengan undangan persembahan dan juga sibuk di lokasi penggambaran.

Tidak merungut apa lagi mengeluh, Nana menerima semua kesibukan yang datang dengan hati terbuka kerana ini adalah yang diharapkan selepas menyertai GV2 iaitu menggerakkan kerjaya yang sudah kian lama perlahan tanpa berita.

“Saya layankan sahaja sibuk dan jadual padat dalam bulan puasa kerana niat saya ingin mencari rezeki buat keluarga terutama Rayyan.

“Pada awal puasa, Rayyan memang sering bertanya bila saya hendak pulang ke Negeri Sembilan untuk menghabiskan masa dengannya tapi lama-kelamaan dia memahami kesibukan ibunya bekerja dan percaya saya lakukan semuanya demi kehidupan yang lebih baik untuk kami berdua,” jelasnya lagi.

Semangat raya

Dalam pada itu, Nana meluahkan keterujaan menyambut lebaran tahun ini kerana mendapat semangat membuak-buak daripada para peminatnya yang tidak putus-putus menyokong karier seni anak kelahiran Felda Sendayan itu.

Kata Nana, suasana raya tahun ini mengingatkan semula dirinya pada zaman kegemilangan sekitar tahun 90-an apabila peminat sentiasa memberi tumpuan kepada setiap perkembangan kerjayanya.

“Terima kasih kepada GV2 dan juga drama lakonan saya baru-baru ini, Dia Semanis Honey. Lingkungan serta jumlah peminat menjadi semakin luas dan datang dari pelbagai peringkat umur.

“Walaupun tidak menang tangan melayan mereka terutama di media sosial, keghairahan mereka menunjukkan minat pada hasil kerja seni saya menguatkan lagi semangat untuk memberikan yang terbaik untuk peminat,” katanya yang tidak menyangka kesan watak Hani Safira dalam Dia Semanis Honey sangat besar.

Demi peminat juga, Nana tidak kisah bersengkang mata menjalani penggambaran telemovie Dia Semanis Honey Raya yang dijadualkan ditayangkan pada hari raya keenam sehingga ke-11 biarpun terpaksa berkorban masa dengan keluarga.

Katanya, dia mengambil cuti selama seminggu untuk menyambut Aidilfitri, jadi sepanjang Ramadan lalu, tumpuannya memang kepada bekerja.

“Saya juga membuat rumah terbuka di Dewan Serbaguna Felda Sendayan di Negeri Sembilan pada 16 Julai ini khusus buat peminat.

“Saya mahu peminat datang beraya di kampung saya sekali gus merapatkan lagi silaturahim antara kami,” ujarnya lagi.

Bantu keluarga

Sementara itu bagi Khai Bahar, biarpun masih hijau dalam industri muzik, kedatangan Syawal menjadikannya lebih bertanggungjawab, khususnya terhadap keperluan keluarga sepanjang tempoh sambutan hari raya.

Menurut anak jati kelahiran Perlis itu, dia tidak lokek untuk mengeluarkan wang belanja bagi membantu ibu dan bapanya yang berada di kampung menyediakan kelengkapan hari raya.

“Alhamdulillah, sejak bergelar artis, rezeki saya semakin murah. Jadi, saya mahu ambil kesempatan ini untuk membantu keluarga dalam menyediakan persiapan hari raya,” ujar Khai memulakan perbualan.

Anak muda berusia 22 tahun itu berkata, dia gembira kerana akhirnya berpeluang membantu meringankan beban kedua orang tua yang selama ini telah banyak berkorban untuknya.

Kongsi Khai atau nama lengkapnya, Muhammad Khairul Baharuddin, biarpun persiapan sambutan hari raya yang dilakukan tahun ini bersifat sederhana, namun dia percaya bahawa kedua ibu dan bapanya gembira dengan bantuannya itu.

“Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab terhadap kedua ibu dan bapa saya. Sebelum ini, saya tidak mampu untuk membantu dan memberikan apa-apa kepada mereka.

“Jadi, biarlah mereka dimewahkan sedikit dan merasa untuk mengenakan pakaian baharu pada pagi raya,” ujar Khai yang mengakui sedikit sedih apabila mengenangkan kembali keperihan hidup yang dialami keluarganya sebelum ini.

Sibuk

Sejak bergelar penyanyi sepenuh masa, Khai mengakui sedikit sibuk dan jarang pulang ke kampung. Hanya berkesempatan bertemu dengan keluarganya pada awal bulan Ramadan, Khai berkata, dia sudah bersedia untuk melalui jadual yang padat dan waktu kerja yang sangat panjang.

Ujar Khai, apa yang dilaluinya sekarang dapat membuka pintu rezeki dan terus membantu kedua orang tuanya.

“Benar, jadual kerja saya sangat padat dan jemputan persembahan juga datang tanpa henti.

“Namun, bidang nyanyian merupakan sumber rezeki saya dan apa yang boleh dilakukan adalah terus bekerja keras untuk berjaya,” ujarnya.

Bercerita mengenai suasana sewaktu beraya di kampung, Khai berkata, keriuhan menjelang 1 Syawal merupakan momen indah yang paling dirinduinya.

“Apabila semakin sibuk, saya hanya berpeluang untuk pulang ke kampung sehari sebelum menjelang Aidilfitiri. Jadi, saya tidak dapat turun padang dan membantu keluarga membuat persiapan raya.

“Bagaimanapun, saya berasa ia tidak menjadi masalah memandangkan saya tetap akan bertemu dengan kaum keluarga dan rakan-rakan terdekat pada keesokan harinya,” ujar Khai menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post