
PELENGKAP - Tiga orang permata hati, Putri Aleeya, Putri Aleefa dan Putra Merrah yang di bawah jagaan Awie menjadi pelengkap kepada sambutan lebarannya tahun ini.
TAHUN ini, penyanyi rock Awie berhari raya sebagai seorang bapa tunggal. Biarpun berbeza status dan situasi, namun Aidilfitri pemilik nama lengkap Ahmad Azhar Othman masih meriah dengan kehadiran tiga daripada lima orang cahaya matanya iaitu Putri Aleeya Antasha, 16, Putri Aleefa Antasha, 14, dan Putra Ahmad Merrah, 9.
Meskipun bagi sesetengah orang, Syawal merupakan peluang terbaik untuk berkumpul dan menziarahi kaum keluarga serta sanak-saudara, berbeza dengan Awie yang lebih suka membawa anak-anaknya bercuti.
“Tahun ini, persiapan raya dapat disediakan lebih awal sebab jadual kerja saya agak longgar untuk bulan Ramadan lalu. Jadi, saya ada masa untuk keluar awal membeli-belah baju raya untuk anak-anak.
“Lebaran kali ini lebih bermakna sebab Aleeya dan Aleefa ada bersama saya pada hari raya, berbanding tahun lepas mereka berdua beraya bersama ibu mereka, Arni Nazira.
“Untuk lokasi balik raya pula, Syawal pertama kami hanya menyambutnya di ibu kota. Kemudian pada raya kedua, saya bawa mereka bercuti di negeri selatan sama ada Melaka atau Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebab kebiasaannya saban tahun memang begitu, saya lebih suka bawa anak-anak bercuti di tempat yang mereka suka,” katanya.
Raya tanpa ibu
Kata penyanyi berusia 48 tahun itu, beliau tidak ralat andai terpaksa menyambut dan menyediakan kelengkapan raya tanpa seorang wanita bernama isteri tetapi baginya pagi lebaran akan sayu jika tidak melihat raut wajah kedua orang tua.
Apatah lagi sejak dua tahun lalu, sambutan rayanya sedikit suram selepas pemergian ibu tercinta, Azizah Abdul Hamid akibat sakit tua.
“Hilang isteri dan hilang ibu merupakan dua perkara berbeza. Saya mengaku tidak kisah jika hilang isteri sekalipun tetapi kalau hilang ibu, ia fasa yang paling berat untuk saya terima dan lalui sepanjang hidup.
“Bayangkan, jika sebelum ini kita beraya dengan ibu dan ayah di sisi tetapi kini perasaan saya sangat hiba sebab tidak lagi dapat menyambut dan mencium tangan mereka terutama pada pagi raya.
“Selalunya, pada pagi raya rumah kami sekeluarga terhidang dengan pelbagai juadah raya hasil air tangan ibu tetapi apabila ibu tiada, saya umpama tiada arah untuk pergi. Segalanya nampak kosong, mujur ada anak-anak sebagai penyeri,” luahnya.
Anak-anak keutamaan
Ditebak dengan kesediaannya untuk mendirikan mahligai buat kali ketiga selepas mengaku sudah melangsungkan pertunangan bersama seorang gadis dikenali sebagai Sharifah Ladyana atau Lady pada 3 Jun lalu, ini jawapan Awie.
“Takut atau tidak, saya perlu teruskan hidup. Saya manusia dan lelaki normal yang punya nafsu serta keinginan untuk berkongsi hidup dengan orang yang dicintai.
“Apa yang penting, anak-anak dapat menerima dia seadanya. Sejujurnya, sebelum menerima kehadiran Lady dalam hidup, saya terlebih dahulu menanyakan perkara itu kepada anak-anak dan mereka bersetuju. Apa yang saya nampak, dia mampu melayan anak-anak saya dengan baik,” ceritanya.
Jika melangsungkan perkahwinan kelak, Awie meletakkan harapan agar mahligai yang dibina mampu memberi cahaya baharu dalam hidupnya dan melupakan kisah silam.
“Saya perlukan seseorang yang bukan hanya untuk berkongsi kasih sayang tetapi juga untuk menyempurnakan jalan hidup saya bersama anak-anak. Rasa kosong kalau hidup sendiri.
“Setidaknya, kalau saya berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, ia akan membuatkan saya lebih bertanggungjawab dalam hidup dengan lebih fokus kepada anak-anak dan isteri di rumah,” ujarnya yang merancang menamatkan zaman duda menjelang penghujung tahun ini.
Pernah memiliki beberapa buah lagu raya seperti Halaman Asmara, Raya Yang Sempurna dan Keroncong Hari Raya, bapa kepada lima anak itu berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan lagu raya dengan kerap kerana ingin mengekalkan elemen malar segar pada lagu-lagu lamanya.
“Bagi saya, tidak perlu setiap tahun untuk keluar dengan single raya baharu sebab saya mahu orang mengingati sesebuah lagu raya itu sampai bila-bila. Senang kata, saya lebih suka peminat dengar dan dihidangkan dengan lagu raya lama untuk mereka merasai malar segar lagu tersebut.
“Lagipun, sekarang lambakan penyanyi baharu semakin ramai dan mereka juga tidak ketinggalan untuk membuat lagu raya. Jadi, di situ akan berlaku persaingan tetapi saya yakin lagu-lagu raya lama sememangnya menjadi pilihan buat peminat menjelang lebaran,” tutupnya.