Persahabatan Liyana Jasmay & Lisa Surihani


SAHABAT - Mereka berdua telah bersahabat sejak tahun 2009 ketika sama-sama membintangi telefilem Ponti Anak Remaja.

SAAT dua aktres popular yang merupakan sahabat baik, Liyana Jasmay dan Lisa Surihani digandingkan dalam satu sesi fotografi, suasana bilik suite Hotel Park Royal, Kuala Lumpur bertukar riuh rendah dengan hilai tawa memecah kesunyian. Sesekali turut kedengaran rengekan anak Lisa, Yahaira Leanne, yang kebetulan turut dibawa ke sesi fotografi berkenaan.

Bagaimanapun atas dasar menghormati Lisa, gambar anaknya tidak dirakamkan. Sambil solekan disapu pada wajah mereka oleh jurusolek Deqsha dan Othong Danish, bicara mereka berdua semakin rancak berkisar tentang Aidilfitri, persahabatan dan kehidupan terkini sebagai ibu.

Mengimbas sejarah, persahabatan antara Liyana dan Lisa mula terjalin sejak tujuh tahun lalu ketika mereka membintangi telefilem Ponti Anak Remaja. Jarak usia yang tidak jauh menyebabkan mereka menjadi akrab sekali gus kekal bersahabat sehingga hari ini.

Biarpun sekadar sahabat baik, namun mereka lebih mesra membahasakan diri sebagai kakak dan adik. Kata Lisa, Liyana merupakan anak bongsu dalam keluarganya mempunyai aura seorang adik kepada semua orang. Justeru, dia tidak kekok untuk memanggil dan menganggapnya seperti adik sendiri.

“Liyana merupakan adik saya daripada dahulu sampai sekarang. Walaupun sekadar sahabat baik, di luar kami membahasakan diri sebagai kakak dan adik. Hubungan kami memang rapat, masakan tidak kerana telah mengenali sejak masing-masing masih solo, bercinta dan kini telah berkeluarga.

“Kami melalui perjalanan yang sama sebagai anak seni dan kini sebagai ibu. Pada sambutan hari ibu lalu, kami membuat ucapan terhadap satu sama lain dan terus mengimbas kenangan lama yang bagi saya cukup berharga. Dahulu kami sering juga keluar bersama, sekarang lebih banyak berkongsi cerita tentang anak masing-masing,” ujar Lisa.

Celah Liyana, selain Lisa, pelakon Intan Ladyana juga merupakan sahabat baiknya. Mereka bertiga kerap bersama cuma, jodoh dia dan Lisa tiba lebih awal berbanding Intan. Katanya, sukar untuk menemui sahabat sejati dalam industri seni. Justeru, apabila bertemu dengan Lisa, dia akan menjaga persahabatan tersebut sehingga akhir hayatnya.

“Sebenarnya seronok melihat perubahan masing-masing sebab kami membesar bersama. Jadi, kami saling mempelajari kesilapan masing-masing dalam proses menjadi matang. Lagi lama kami bersahabat lebih rapat hubungan tersebut. Saya memiliki ramai rakan, tetapi sahabat sejati sukar untuk ditemui, bila bertemu dengan orang yang tepat persahabatan itu akan dijaga dan simpan sampai mati,” tutur Liyana.

Tambah Liyana, sejak berkeluarga, mereka sukar bertemu dengan kerap antara satu sama lain. Gim dijadikan tempat pertemuan setiap minggu untuk bersenam dan menghabiskan masa bersama. Biarpun pertemuan dua kali seminggu itu cukup singkat, bagi mereka itu sudah memadai untuk melepaskan rindu dan berehat daripada kesibukan kerjaya.

“Sejak jadi ibu jadual sangat padat, jadi kami sudah jarang keluar bersama. Namun, kami tetap mencari masa dengan menghabiskan masa di gim sebanyak dua kali seminggu. Maknanya boleh buat dua perkara serentak, bersenam untuk dapatkan tubuh sihat dan pada masa sama boleh jumpa sahabat baik. Kami akan makan malam dan menghabiskan masa bersama walaupun tempohnya singkat,” kata Liyana yang merupakan ibu kepada dua orang anak, Sofia Arissa, 2, dan Selena, 7 bulan.

Raya Liyana sederhana

Berbicara tentang Aidilfitri, kata Liyana, 28, sejak berkeluarga sambutan rayanya agak berbeza terutama selepas pertambahan ahli keluarga. Jika zaman bujang Liyana boleh berhabis sehingga RM10,000 semata-mata membeli baju raya sahaja. Sikap boros pelakon filem Papadom itu menyebabkan dia sering dimarahi bapanya kerana suka membazir, namun sikapnya mula berubah sejak bergelar ibu dan memiliki perniagaan sendiri.

“Sewaktu bujang saya memang melampau (ketawa), beli baju raya sampai RM10,000. Saya masih muda dan ada duit sendiri, jadi memang tidak fikir nilai wang tersebut. Sekarang selepas ada anak dan perniagaan sendiri barulah sedar nilai wang dan batasan perbelanjaan,” ujar isteri kepada Fathuddin Mazlan itu.

Tahun ini perbelanjaan rayanya cukup sederhana kerana memiliki koleksi pakaian sendiri di bawah jenama Mermaid Luxe Raya Collection. Disebabkan itu juga jadual hariannya bertambah padat. Walaupun memiliki populariti, perniagaan bukan sesuatu yang mudah jika tidak dilakukan dengan kesungguhan.

Sebagai jenama baharu, Liyana memilih untuk tidak melakukan pertunjukan fesyen, sebaliknya mengadakan sesi tayangan secara tertutup untuk pelanggan terpilih sahaja.

“Mermaid Luxe jenama baharu, saya tidak mahu tergesa-gesa dikenali, sebaliknya mahu memahami pasaran dan pelanggan terlebih dahulu. Alhamdulillah, meskipun masih baharu, kami mendapat kepercayaan orang ramai dan tahun ini telah menghasilkan 18 koleksi pakaian raya.

“Saya dan seluruh keluarga juga berjimat kerana tidak perlu menempah baju raya. pakai baju keluaran Mermaid Luxe, saya cuma membeli baju raya untuk anak dan suami sahaja,” ceritanya.

Mengikut kelaziman, setiap tahun Aidilfitri diraikan terlebih dahulu di kediaman keluarganya dan mertua kerana mereka tinggal di kejiranan sama. Pada raya kedua lalu, Liyana ke kampung suaminya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebelum pulang ke Melaka.

Terkini, Liyana berada di Los Angeles untuk bercuti bersama suaminya serta menjalani penggambaran klip video lagu terbaharunya berjudul Oh Nana.

Lisa beraya dengan anak

Berbeza buat Lisa, 30, Aidilfitri kali ini lebih meriah dengan kehadiran puteri sulungnya Yahaira Leanne, 10 bulan. Keterujaannya jelas kelihatan apabila telah menempah dua persalinan baju raya buat anaknya daripada pereka Jovian Mandagie lebih awal.

Melihat perkembangan anaknya, isteri kepada pengarah filem Yusry Abd. Halim itu merasakan masa berlalu begitu pantas. Tahun lalu, dia menyambut raya dalam keadaan berbadan dua dan kini anaknya telah mula bertatih.

“Sebenarnya saya lebih bersyukur dengan nikmat yang diberi kerana dapat beraya dengan anak tahun ini. Masa berlalu begitu pantas, rasa baru semalam saya hamil dan sekarang anak hampir berusia setahun,” ujar Lisa yang hanya beraya di Kuala Lumpur.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, selepas dua tahun tidak berlakon kerana memberi tumpuan terhadap kehamilan serta anak, Lisa kembali ke set penggambaran menerusi projek Karya 12 dalam telefilem berjudul Syahadah Yang Hilang.

Menurutnya, telefilem berkenaan ibarat kemunculan semula selepas dua tahun tidak aktif berlakon. Bagaimanapun, itu tidak bermakna Lisa bakal aktif seperti dahulu, sebaliknya dia lebih memilih karya bersesuaian dengan jadual waktunya sebagai seorang ibu.

“Saya tidak akan berhenti berlakon kerana itu merupakan minat dan pekerjaan sejak remaja. Tawaran lakonan memang sentiasa ada, tetapi ia akan dipertimbangkan jika produksi boleh mengikut jadual waktu saya.

“Yahaira masih kecil, banyak perkembangannya yang saya mahu saksikan sendiri seperti perkataan dan langkah pertamanya. Sejujurnya agak dilema, tetapi saya juga faham kadang-kala produksi terikat dengan kekangan bajet dan masa. Jika tidak boleh kompromi saya anggap tiada rezeki,,” katanya yang bakal terlibat dengan sebuah filem yang masih dirahsiakan judulnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post