Mas Idayu punya strategi!


SEBAGAI guru vokal persembahan, penyanyi dangdut, Mas Idayu punyai strategi demi merealisasikan tanggungjawab dalam program Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Tambahan pula, sebelum ini, pelantun lagu Selangit itu terkenal dengan gayanya yang membawa rotan ketika mendidik dalam program Mentor.

“Bawa rotan? (gelak). Sebenarnya, saya suka mengajar. Mungkin ramai kata saya ini garang (gelak). Mereka tidak perlu takut apatah lagi apabila tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Apa yang pasti, saya ada cara tertentu untuk asuh pelajar AF2016.

“Tetapi, segala yang bakal saya ajarkan dan kongsikan bukanlah bersifat drama semata-mata,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran program realiti tersebut, baru-baru ini.

Teruja dilantik sebagai tenaga pengajar, Mas Idayu mengakui bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

“Setiap pelajar AF2016 haruslah ikhlas dan tanamlah sifat ingin belajar seterusnya berjaya menggapai cita-cita sebagai penyanyi, suatu hari nanti.

“Saya mahu AF2016 menjadi yang terbaik dan berharap dapat membantu merealisasikan impian itu,” katanya.

“Sejujurnya, saya ingin memberi sesuatu kepada industri dan pelantikan sebagai tenaga pengajar adalah cara paling tepat untuk saya kongsi ilmu dan pengalaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 43 tahun ini bakal melancarkan dua single untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

“Insya-ALLAH, saya bakal bekerjasama dengan Datuk Hattan dan Caca Handika dari Indonesia.

“Hattan akan mencipta lagu untuk dipasarkan di Malaysia manakala Caca menerbitkan single saya di Indonesia,” katanya yang kini menjadi juri untuk program realiti, D’Academy Asia di stesen televisyen Indonesia.

Post a Comment

Previous Post Next Post