Zizan Razak menangis depan Kaabah


ZIZAN bersama Dr. Zakir Naik semasa mengerjakan umrah.

Pertama kali menjejak kaki di tanah suci Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan lalu sehingga satu Syawal untuk menunaikan ibadah umrah benar-benar menyuntik rasa keinsafan dalam diri pelakon, pengacara dan pelawak terkenal Zizan Razak. Akuinya, air mata jatuh seperti empangan yang pecah saat menatap Kaabah di depan mata.

Menurut Zizan yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini, dia tidak menyangka berpeluang merasai pengalaman berpuasa dan beraya di sana sedangkan perancangan ke Mekah dilakukan hanya dalam tempoh seminggu.

Berkongsi pengalaman kali pertamanya ke Mekah bersama khalayak, Zizan yang bakal muncul dalam filem Bikers Kental 2 dan Abang Long Fadil 2 menjelaskan, dia bukan cuba untuk bermegah, sebaliknya hanya bercerita. Niatnya hanya satu iaitu agar lebih ramai umat Islam tergerak hati menjejakkan kaki ke Mekah serta merasai nikmat sama sepertinya.

Kosmo!: Apa khabar Zizan? Boleh kongsikan pengalaman menunaikan umrah buat kali pertama baru-baru ini?

Zizan: Alhamdulillah, saya baik sahaja. Saya rasa bertuah kerana dapat menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan sehingga satu Syawal. Saya dibawa oleh Adi Putra dan kali pertama melihat Kaabah di depan mata, saya menangis. Merasai sendiri pengalaman melihat Kaabah dengan mendengar cerita orang lain amat berbeza.

Apakah yang anda rasakan ketika di depan Kaabah?

Sebenarnya pelbagai perkara berlegar di ingatan. Saya teringatkan susah senang kehidupan dilalui sejak kecil sehingga dewasa. Dalam waktu itu, tiba-tiba wujud perasaan rindukan keluarga terutama terhadap ibu bapa. Secara tidak langsung membuatkan saya rasa begitu kerdil dan ingin lebih berjasa kepada keluarga, negeri, negara dan agama.

Mungkin ada sebarang kebimbangan di hati anda sebelum tiba di Mekah?

Tidak ada rasa bimbang kerana sudah fokus dalam kepala mahu beribadah. Perkara lain tidak difikirkan dan hanya rasa seronok sepanjang di sana. Apa yang saya tidak suka apabila ada orang yang membawa cerita kurang baik dari Mekah. Cerita negatif seperti itu membuatkan orang yang banyak melakukan kesilapan takut hendak ke sana. Walhal di Mekah merupakan tempat kita menyucikan diri. Jangan cepat menghukum sebelum ke sana kerana Allah tidak kejam.

Berapa lamakah perancangan dan persiapan dilakukan?

Persiapan dan rancangan tidak lama lebih kurang seminggu sahaja. Sebenarnya memang tidak merancang untuk ke Mekah, tetapi Adi Putra tidak henti membuat tawaran mahu menaja saya menunaikan umrah. Dia bukan sahaja hero di dalam drama dan filem, tetapi hero saya dalam kehidupan realiti. Saya akhirnya pergi disebabkan hati terbuka ingin ke sana. Pesan saya, pergilah ke Mekah walaupun sekali jika berkemampuan sebab kita tidak tahu bila masa akan senang dan ditarik nyawa.

Apakah perubahan positif yang dirasai anda selepas tunaikan umrah?

Saya rasa lebih tenang dan bersemangat untuk bekerja serta menaburkan jasa buat keluarga. Selain itu, saya juga lebih sayangi orang sekeliling dan hargai peluang yang datang tidak kiralah dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.

Mungkinkah anda menjadikan aktiviti ke Mekah sebagai acara tahunan?

Selepas ini jika ada peluang dan rezeki saya mahu ke Mekah lagi. Jika diizinkan Allah, saya mahu menunaikan umrah setiap tahun. Bukan apa, nikmat yang saya peroleh cukup besar. Saya mengaku tidaklah warak dan persiapan dilakukan serba ringkas, namun sambutan yang diterima ketika di Mekah cukup hebat. Saya orang biasa, tetapi menerima layanan seperti orang kenamaan. Saya juga tidak sangka dapat bertemu ramai orang ternama seperti Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Siti Nurhaliza serta penceramah terkenal, Dr. Zakir Naik.

Bagaimana pengalaman kali pertama meraikan Aidilfitri di Mekah?

Suasananya memang berbeza, orang berpusu-pusu menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi raya. Tiada rendang dan ketupat, tetapi itulah pengorbanannya. Namun, saya bersyukur kerana tempat penginapan menyediakan beberapa menu Melayu seperti sate. Sekurang-kurang terubat juga kerinduan pada kampung halaman.

Post a Comment

Previous Post Next Post