TUNJANG UTAMA - Barisan pelakon teater Lela Manja yang memulakan pementasan pada 22 Julai hingga 31 Julai depan.
LAGAKNYA tidak ubah seperti mengembara ke dunia bangsawan, pentas Panggung Sari Istana Budaya berubah wajah menjadi terowong masa saat menyaksikan pementasan teater Lela Manja hasil adaptasi daripada filem klasik Melayu era 60-an.
Jika sebelum ini filem klasik arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong itu hanya dapat ditonton di kaca televisyen dalam skop warna hitam putih kini dapat disaksikan di pentas yang berprestij.
Filem yang dihasilkan pada tahun 1960 itu menampilkan lakonan A. Rahim, Normadiah Abdullah, Datuk Ahmad Mahmud serta Bat Latiff memaparkan kisah dua beradik Lela dan Manja yang sering menjadi mangsa dera ibu tiri.
Biarpun ia merupakan sebuah naskhah hasil adaptasi filem namun, kehebatan pelakon saat menterjemahkan watak menjadikan teater Lela Manja seakan hidup di dunia nyata.
Teater arahan Ramli Lani itu menyaksikan kekejaman asuhan ibu tiri bernama Dang Suri lakonan Nabila Huda. Seorang wanita muda yang elok rupa paras tetapi buruk perilakunya.
Disangkakan dapat menjadi tempat menumpang kasih, kehidupan adik-beradik Lela dan Manja dirundung malang apabila mereka sering menjadi mangsa kekejaman Dang Suri.
Tanpa mendapat secebis belas kasihan, Lela dan Manja diperlakukan seperti haiwan. Tidak hanya berlaku kejam kepada sang anak, Dang Suri turut berlaku curang dengan menjalin hubungan sulit bersama teman baik suaminya, Megat Sura (Rashdan Baba).
Berang dengan sikap isterinya sanggup menduakan suami, Sang Naka (Shahrolnizam Noor) lantas menghunus keris ke arah Megat Sura tetapi malang menimpa dirinya apabila mati dibunuh Dang Suri.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah kesan yang dapat dirasai penonton tatkala melihat kehebatan lakonan pelakon kanak-kanak, Izzya Reen (Lela) dan Wafiy (Manja) dalam membawakan karakter mereka.
Menyentuh emosi penonton apabila babak melibatkan Lela dan Manja menziarahi pusara ibunda mereka dengan harapan dapat mengadu nasib serta meminta pertolongan agar dibebaskan dari ‘penjara’ Dang Suri.
Tidak hanya terlalu bergantung kepada kehebatan pelakon, prop yang digunakan sebagai pragmatik dalam menggambarkan suasana setiap babak dilihat sangat dramatik dan realistik.
Kehebatan tenaga kerja hasil bimbingan Pengarah Artistik, Irwan Ismadi Shahrim memberi sentuhan magis sekali gus membangkitkan mood penonton untuk terus melekat di kerusi menghayati pementasan sehingga penghujung.
Jika menonton versi filem, Dang Suri menemui ajal apabila dia dijatuhkan hukuman oleh sultan berikutan rahsia pembunuh Megat Sura berjaya dihidu pihak istana.
Bagaimanapun berlaku perubahan plot terhadap watak Dang Suri yang dihidupkan semula demi memberi kelainan dan kejutan kepada penonton.
Pelbagai watak
Tiada apa yang kurang mahupun pertikaian terhadap kehebatan lakonan pelakon berusia 32 tahun itu. Berikan apa sahaja watak, dia pasti berjaya menghayati watak dengan berkesan untuk tontonan penonton.
Perkara sama turut berlaku di pentas teater Lela Manja apabila penonton dihidangkan dengan kekejaman dan kerakusan Dang Suri dalam memuaskan nafsunya.
Lebih senang mencipta gaya dan cara tersendiri, Nabila mengakui, dia hanya penonton filem Lela Manja setelah lebih sebulan membuat latihan.
Bimbang dipengaruhi lakonan Seniwati Normadiah, ibu kepada seorang cahaya mata itu lebih senang mencipta teorinya tersendiri saat menterjemahkan watak Dang Suri.
“Saya terlebih dulu membuat kajian tentang watak Dang Suri selain bertukar-tukar pendapat dengan pengarah serta pelakon agar kelihatan lebih dramatik.
“Memberi lebih penekanan terhadap bahasa tubuh dan lontaran dialog, saya hanya menonton filem tersebut seminggu sebelum menjayakan persembahan,” jelas Nabila mengenai persediaannya bagi menjayakan teater Lela Manja.
Tidak hanya tertarik dengan kekuatan naskhah Lela Manja, Nabila memberitahu sebab utama menerima pelawaan watak Dang Suri kerana ingin mencabar diri dengan kepelbagaian watak.
“Seperti teater ini, jarang sekali saya berpeluang memegang watak ibu tiri yang hidup di zaman dahulukala seperti Dang Suri. Tambahan plot twist terhadap karakter Dang Suri memperkukuhkan lagi keinginan melakonkan watak tersebut,” ujar Nabila.
Tarik diri
Pertama kali menjejakkan kaki ke pentas teater, pelakon Aeril Zafrel pernah terdetik untuk mengangkat bendera putih kerana tidak tahan dengan tekanan.
Menghabiskan masa menjalani latihan sepanjang Ramadan lalu menjadikan pelakon filem Cinta Kura-Kura ini berasa ragu-ragu sama ada ingin meneruskan langkah dalam melebarkan sayap menjadi pelakon serba boleh.
Dalam usaha memperkukuhkan portfolio, Aeril akhirnya membulatkan hati dan gigih berusaha agar watak Manja sesudah dewasa berjaya dibawa dengan sempurna.
“Pada awalnya agak sukar buat saya terima tawaran berlakon teater kerana bimbang gagal menjayakannya dengan cemerlang mahupun meninggalkan impak kepada penonton sehingga terfikir menarik diri.
“Bagaimanapun setelah mendapat tunjuk ajar dan galakan daripada pelakon lain, saya meneruskan juga apa yang telah dimulakan kerana bimbang menimbulkan masalah di kemudian hari kelak.
“Sejujurnya dapat menjayakan pementasan teater membantu meningkatkan kemahiran lakonan kerana ruang pentas yang luas selain lontaran dialog berbeza jika dibandingkan dengan filem atau drama,” kata Aeril yang kini mula tertarik dengan kerjaya sebagai pelakon teater.
Cabaran terbesar
Bagi pelakon kecil molek, Sari Yanti yang sebelum ini sering menjayakan pementasan teater berskala kecil mengakui agak gementar saat menjejak kaki di atas pentas penuh prestij itu.
Biarpun bukan pertama kali berjinak-jinak dalam dunia teater, saiz fizikalnya yang kecil menjadikan kebimbangan buat pelakon drama Kisah Kaisara itu beraksi di atas pentas.
Bimbang kekurangannya itu gagal memuaskan hati penonton, Sari berusaha membawakan watak Lela ketika dewasa sebaik mungkin dengan mengikuti sesi latihan bersama Izzya Reen bagi menimbulkan kesinambungan karakter.
Tidak hanya bentuk fizikal, teater ini turut memperlihat Sari menyumbang suara dalam dua buah lagu. Biarpun disampaikan secara miming, sedikit sebanyak babak tersebut memberi cabaran buatnya.
“Awalnya saya tidak tahu bahawa teater ini diselitkan dengan beberapa buah lagu bagi memberikan suntikan muzikal sehinggalah ‘rahsia’ itu terbongkar sewaktu ingin mengadakan sesi latihan.
“Agak terkejut kerana saya memang tidak suka menyanyi apatah lagi di hadapan umum. Bagaimanapun disebabkan atas tuntutan watak, perkara itu bukan satu halangan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Muzik, Rosli Abu Bakar kerana banyak membantu sehingga dirasakan seperti bukan suara sendiri,” seloroh ibu tunggal kepada dua cahaya itu.
Selain mereka, teater ini turut dibintangi Jay Iswazir, Syazwan Zulkifly, Ellyna Ramlan, Abdul Rahman Roseley, Mustaqim Mohamed dan Hafidz Roshdi.
Teater Lela Manja mula dipentaskan pada 22, 23, 24, 29, 30 Julai hingga 31 Julai manakala tiket mula dijual pada harga RM33, RM73, RM103, RM153, RM203 dan RM205 di www.AirAsiaRedTix.com atau kaunter Istana Budaya.