Suhaimi Saad bersama isteri, Ina Naim dan empat anak mereka iaitu Nurlayla (didukung), Sallman (kanan), Ehmad Hadi dan Phyrosh, memilih untuk hidup secara sederhana.
Setiap orang mempunyai kehendak dan pilihan masing-masing untuk menjalani kehidupan. Begitu juga buat keluarga penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang dikritik ramai melalui satu kiriman surat terbuka daripada peminat. Suhaimi didakwa tidak menghantar anak ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan formal selain turut mendidik anak untuk menjalankan aktiviti meminta sedekah.
Dalam tempoh 10 tahun melayari perkahwinan bersama Ina Naim, Suhaimi atau nama lengkapnya, Mohd. Suhaimi Saad, 35, sama sekali tidak berkecil hati dengan tuduhan melulu berhubung dakwaan berkenaan yang menjadi viral. Bahkan, bekas anggota kumpulan In-Team tenang membetulkan beberapa fakta yang disifatkan sebagai tidak benar terkandung dalam surat dakwaan itu.
Ujarnya yang kini muncul dengan single Kita Da’i bersama Hazamin, Hafiz Hamidun dan Razin, sebagai ketua keluarga kepada isteri dan empat anaknya, Ehmad Hadi Elfardie, 8, Sallman Elkhoyri, 6, Phyrosh Elfadwah, 4 dan Nurlayla Elghufrony, 2, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa hanya kerana ingin hidup dalam keadaan yang sederhana.
Dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Suhaimi menjelaskan keadaan sebenar kehidupan keluarganya.
KOSMO!: Sebagai ketua keluarga, banyak tindakan Suhaimi bagaikan zuhud seperti tidak memiliki mesin basuh atau peti sejuk tidak dipersetujui ramai. Seorang pembaca telah menghantar surat terbuka kepada sebuah blog mengenai tindakan anda. Adakah anda sedia maklum tentangnya?
SUHAIMI: Ya, saya sedia maklum tentang surat terbuka itu. Sebagai ketua keluarga, saya berhak untuk menentukan bagaimana untuk menjalani kehidupan bersama isteri dan anak-anak. Memang rumah saya tiada mesin basuh baju kerana saya memilih untuk menghantar baju-baju kotor ke dobi. Kehidupan kami cukup terisi dengan pelbagai aktiviti. Jadi, tidak salah untuk kami menggunakan teknologi yang lebih pantas. Benar, rumah kami tiada peti sejuk dan sofa. Kami sekeluarga memang tidak amalkan makan ais kerana tidak baik untuk kesihatan. Tiada sofa pula kerana bagi saya itu bukan satu keperluan. Terpulang kepada masing-masing, tetapi saya memilih untuk menjalani hidup sebegini.
Adakah anda sendiri kecewa apabila orang membuta tuli mempersoalkan kehidupan anda sekeluarga tanpa mengetahui perkara sebenar?
Saya tidak kecewa. Saya sedar pada zaman sekarang ini, memang mudah sesuatu perkara tersebar kepada umum. Kepada orang yang ‘prihatin’ tentang cara kami menjalani kehidupan, saya berterima kasih. Walaupun ia tuduhan yang tidak berasas, saya maafkan. Mungkin kehidupan saya tidak akan pernah sempurna tetapi akan terus memperbaikinya ke jalan yang diredai Allah.
Baiklah, bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan anda menggunakan anak-anak anda untuk tujuan meminta sedekah. Gambar anak-anak menyanyi di bazar Ramadan dengan anda berselfie juga tersebar?
Bukan menggunakan, tapi saya mendidik anak-anak untuk bergaul dengan masyarakat supaya mereka dapat membantu insan yang memerlukan. Ramadan lalu, dua anak saya, Ehmad dan Sallman terlibat dengan aktiviti mengutip derma untuk satu badan bukan kerajaan (NGO) negeri Sabah. Saya masih waras dan tidak akan memaksa anak-anak pergi minta sedekah. Saya mendidik mereka untuk menjadi muslim yang lebih bertanggungjawab apabila dewasa nanti.
Keputusan anda untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah untuk menjalani pendidikan formal juga turut dipertikai ramai. Apa komen anda?
Bukan bermakna apabila tidak pergi ke sekolah, mereka tidak menerima pendidikan langsung. Di rumah, segalanya lebih ketat dipantau. Mereka turut didedahkan dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi yang lebih lengkap. Saya pernah menjadi guru selama dua tahun di Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, Kuantan, Pahang. Jadi, saya sebagai bapa lebih selesa untuk mengajar mereka berbanding menghantar mereka ke sekolah seperti kanak-kanak lain. Di rumah juga, saya yang mengajar mereka mengaji al-Quran.
Tidakkah anda berasa ia bersifat ironi apabila memilih untuk hidup dalam keadaan sederhana tetapi orang melihat anda aktif berkongsi perihal kehidupan terutama di laman Facebook?
Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Kalau boleh, saya ingin berkongsi perkara-perkara yang baik pada mata masyarakat melalui perkongsian di laman sosial. Jika ia tidak menepati selera orang ramai, saya hanya seorang manusia yang penuh khilaf yang sedang mencuba yang terbaik untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik bersama keluarga.