Lebaran cara Sam, Syatilla


PARIT BUNTAR. Sam menyambut Aidilfitri buat pertama kali di kampung isterinya, di Parit Buntar, Perak.

BAGI sesetengah orang, kemeriahan sambutan Aidilfitri merupakan masa yang sesuai untuk berkumpul bersama ahli keluarga. Cuti panjang ketika musim perayaan biasanya digunakan untuk menziarahi saudara-mara yang lama tidak berjumpa.

Hal yang sama turut dilakukan, namun sedikit berbeza bagi pasangan ini. Hampir lima bulan mendirikan rumah tangga, Syawal kali ini menjadi saksi buat pertama kali pasangan selebriti popular, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin meraikan bulan mulia ini sebagai suami isteri.

Memilih kampung isterinya di Parit Buntar, Perak sebagai lokasi untuk beraya pada tahun ini, Shaheizy Sam Abdul Samad atau nama pentasnya, Sam turut membawa ahli keluarganya untuk menyambut raya di sana.

“Syawal pertama sebagai suami isteri, saya mengambil keputusan untuk menyambutnya di kampung Syatilla dan kami telah berada di sini sejak dua hari sebelum hari raya tiba.

“Ibu dan ahli keluarga saya yang lain juga menyambut raya di Parit Buntar pada tahun ini. Bagaimanapun, kakak saya Zizie Ezette akan beraya bersama suaminya di Kota Kinabalu, Sabah,” ujar Sam dalam sesi fotografi raya baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang perancangannya, pelakon filem Polis Evo itu memberitahu, walaupun Lebaran tahun ini lebih istimewa kerana beraya bersama isteri di sisi, namun tradisi bercuti ke tempat menarik yang dilakukan keluarganya saban tahun tetap akan berjalan seperti biasa.

“Sambutan Aidilfitri kami mungkin berbeza sedikit dengan orang lain. Biasanya kami akan menyambut Aidilfitri pada hari raya pertama sahaja, pada raya kedua dan seterusnya kami akan pergi bercuti. Seperti tahun lalu kami sekeluarga menyambut raya di Sabah.

“Memang tiada amalan menziarahi sanak saudara tetapi kami akan mengadakan rumah terbuka dan ketika itu barulah berkesempatan untuk berjumpa dengan semua orang,” jelasnya yang merancang untuk bercuti ke Cameron Highlands, Pahang beberapa hari selepas raya.

Dalam pada itu, bagi Syatilla pula, kesempatan membawa Sam beraya di kampung halaman akan digunakan untuk memastikan suaminya merasai pengalaman beraya dalam suasana meriah pada tahun ini.

“Sambutan Aidilfitri saya dan Sam memang sangat berbeza. Kebiasaannya selepas selesai solat sunat Aidilfitri, kami akan bersalaman dan bermaafan sesama sendiri. Kemudian kami akan memanggil seorang jurugambar untuk mengambil gambar keluarga sebagai kenangan.

“Pada hari raya pertama juga kami akan beraya di rumah saudara-mara. Mereka tinggal berdekatan, jadi agak mudah untuk menghabiskan semua rumah dalam masa satu hari sahaja. Selepas itu pada hari raya kedua dan seterusnya kami hanya berehat di rumah sambil menonton televisyen sahaja,” terangnya teruja.

Meneruskan bicara tentang persiapan Syawal, pasangan yang mula berjinak dalam dunia perniagaan menerusi kerjasama dengan label pakaian Muslimah Elle Zada memberitahu, mereka mempunyai 12 pasang baju raya pada tahun ini.

“Soal pakaian kami tidak perlu risau lagi kerana tahun ini kami akan memakai koleksi pakaian raya sendiri. Kesemuanya mempunyai 12 pasang baju berlainan rekaan dan warna. Mungkin kami akan bertukar-tukar baju setiap satu jam,” kata Sam berseloroh.

Beralih soal juadah pula, Sam berkata, antara makanan kegemarannya setiap kali raya tiba adalah sambal kacang dan sambal goreng jawa yang dimasak oleh ibunya, Khaty Fauziah. Syatilla pula menggemari rendang ayam dan kuih tart nanas.

Memori

Suasana ceria kemudian bertukar muram seketika tatkala diaju persoalan memori raya. Di sebalik keterujaan Syatilla beraya, terselit sebuah kisah duka yang berlaku kepada bapanya. Pastinya kisah tersebut menjadi memori yang tidak akan dilupakan buat dirinya dan keluarga.

Ujar wanita itu lagi, kisah yang berlaku dua tahun lalu itu benar-benar membuatkan dirinya sentiasa berwaspada dan menjaga pemakanan yang dimakan oleh bapanya kini.

“Kejadian ini berlaku dua tahun lalu iaitu dua hari sebelum menjelang Aidilfitri. Ketika itu, ayah saya tiba-tiba diserang penyakit jantung. Mujur ketika itu kami cepat membawa ayah ke hospital kerana ayah berada dalam keadaan sangat kritikal.

“Sambutan hari raya pada tahun itu disambut dengan suasana muram. Alhamdulillah, kini ayah saya sudah pulih seperti biasa tetapi kami adik beradik tetap beringat dan sentiasa menjaga pemakanan ayah,” akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post