Tanda syukur Misha Omar


JANJI temu bagi menjayakan sesi fotografi sempena Aidilfitri bersama Misha Omar yang sepatutnya bermula pada pukul 3 petang di Hotel One World, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini diawalkan setengah jam. Menurut pesanan yang disampaikan oleh pengurus dan juga kakaknya, Mimie, Misha keluar agak awal kerana bimbang tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

Tampil dengan wajah siap disolek, Misha yang turut ditemani oleh dua anak angkatnya, Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4, lekas menghulurkan tangan sambil bibirnya pantas membutirkan pertanyaan khabar.

“Hai, apa khabar? Sihat? Saya sampai sedikit awal kerana jalan tidak sesak hari ini,” tutur Misha spontan seraya mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang dihadapkan di belakang sebuah tiang. Hamil tujuh bulan, sesekali Misha membetulkan posisi duduknya agar selesa saat diwawancara.

Biarpun sudah memasuki fasa akhir kehamilan dan menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan, tiada sebarang keluhan atau tanda lelah yang terpancar daripada riak wajahnya.

Apa yang pasti, setiap jawapan yang dituturkan oleh pelantun Angin Syurga itu tidak pernah lekang tanpa ditemani senyuman.

“Alhamdulillah, kehamilan pertama ini tidak memberi sebarang masalah buat saya. Di samping itu, saya juga lebih kuat untuk menjalani ibadah puasa.

“Sudah lama saya tidak berpeluang untuk berpuasa penuh selama sebulan. Percaya atau tidak, saya hampir berjaya untuk melakukannya sewaktu sedang hamil anak pertama,” katanya membuka bicara.

Meneruskan bibit perbualan mengenai perkembangan proses kehamilannya, Misha atau nama lengkapnya, Samihah @ Aisah Omar berkata, dia sentiasa percaya dengan nikmat pemberian Allah, lebih-lebih lagi jika ia diiringi oleh doa dan harapan yang baik daripada orang sekeliling.

“Saya selalu berpesan kepada diri sendiri dan juga anak dalam kandungan ini supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah. Tuhan mempunyai sebab tersendiri menurunkan setiap sesuatu itu kepada hamba-Nya.

“Ternyata benar, kata-kata itu satu doa. Sebelum hamil, peminat tidak putus-putus menitipkan doa dan apabila saya sudah berbadan dua, mereka juga sering mendoakan kesejahteraan saya dan kandungan. Mungkin disebabkan itu, perjalanan saya membawa rezeki Allah ini sentiasa dipermudahkan,” ujar Misha yang kurang mengalami alahan sewaktu awal usia kandungannya.

Jauh

Sejak mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Firos Ezzwan Rossly dua tahun lalu, suasana sambutan Aidilfitri wanita berusia 34 tahun itu ternyata banyak berubah. Banyak perkara yang dilakukan secara bersama selain mendalami erti komporomi dan tolak ansur.

Namun, suasana hari raya pada kali ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya. Firos yang bekerja sebagai juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) ditugaskan ke Istanbul, Turki bermula April lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada hujung bulan ini.

Bagi Misha, pemergian Firos ke luar negara bukanlah suatu perkara yang menggusarkan dirinya. Biarpun sarat berbadan dua, Misha tetap memahami tuntutan kerjaya suaminya.

“Sebelum ini, Firos pernah beberapa kali terbang ke luar negara untuk tempoh masa yang lama atas sebab kerja. Cuma pada tahun ini, tempoh tugasannya itu jatuh pada bulan Ramadan dan Syawal.

“Sebagai seorang isteri, saya sentiasa berada di belakang suami dan menyokong kerjayanya. Walaupun dia tiada di sisi untuk menyambut hari raya, namun sebahagian daripadanya ada dalam rahim saya,” ujar Misha lagi.


MASA. Sepanjang bulan Ramadan, Misha lebih suka menghabiskan masa bersama anak-anaknya dengan memasak dan berbuka puasa di rumah.

Sederhana

Beralih kepada persediaan hari raya untuk tahun ini, Misha berkata, dia masih lagi mengekalkan kesederhanaan dalam menguruskan perbelanjaan untuk diri dan anak-anak.

Kongsi Misha, pertemuan antara sanak saudara dan adik-beradik pada pagi Syawal lebih bermakna daripada menggayakan berpuluh-puluh pasang baju raya.

“Sejak dahulu lagi, saya suka menerapkan amalan berjimat cermat kepada anak-anak terutama apabila tiba musim perayaan. Cukuplah berganti dua pasang baju seorang, saya sudah bersedia untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

“Apa yang dititikberatkan adalah ikatan silaturahim yang perlu dieratkan apabila berada di kampung. Bukan mudah untuk berjumpa dan berkumpul beramai-ramai. Jadi, masa yang ada itu perlu diisi sebaiknya agar nikmat berhari raya dapat dirasai bersama,” ujar Misha yang pulang berhari raya ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan tahun ini.

Ditanya adakah Adam dan Lateefa perlu mengikut disiplin yang ditetapkan sepanjang berada beraya di kampung, Misha menjawab: “Mereka tidak dibenarkan menyentuh sebarang gajet elektronik atau melayari internet. Jika berada di kampung bagi menyambut hari raya, masa yang ada perlu diluangkan sebaiknya.”

Sebelum menutup perbualan, Misha sempat berkongsi mengenai perancangan kariernya sebaik sahaja menerima kehadiran anak sulungnya yang dijangka dilahirkan pada bulan September depan.

Muncul dengan single terbaharu bersama Hafiz berjudul Terimaku Seadanya, Misha menjelaskan, dia masih belum memutuskan untuk kembali aktif menyanyi atau menghabiskan sedikit masa lagi di rumah bersama bayi yang baru lahir.

“Buat masa ini, saya tidak mempunyai sebarang perancangan tetapi saya tidak menolak untuk kembali aktif menyanyi apabila selesai dengan proses berpantang kelak,” tutup Misha.

Post a Comment

Previous Post Next Post