
SELAIN berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air, mungkin ramai yang sudah maklum mengenai status penyanyi Zarul Umbrella yang pada masa sama mempunyai kerjaya lain sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan.
Jika diikutkan tempoh masa khidmatnya di awan biru, penyanyi yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu boleh dikategorikan sebagai senior. Mana tidaknya, sudah 16 tahun dia menjadikan industri penerbangan sebagai salah satu punca pendapatannya.
Sungguhpun begitu, Zarul tidak pernah meletakkan dirinya di fasa selesa. Tambahan pula, kemelut isu pembuangan kakitangan yang berlaku dalam syarikat penerbangan yang disertainya itu, seolah-olah meletakkan dirinya perlu sentiasa berdepan dengan sebarang kemungkinan.
Tatkala ada rakan seperjuangannya yang kehilangan punca pendapatan, Zarul masih boleh dianggap bertuah kerana sehingga kini, khidmatnya masih lagi diguna pakai.
Bagi Zarul sendiri, sekiranya dia terpaksa meninggalkan dunia penerbangan satu hari nanti, dia akur dengan ketentuan yang sudah ditetapkan. Bahkan, dia juga memberitahu bahawa dirinya sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku terhadap masa depannya sebagai seorang pramugara.
“Saya maklum dengan isu tersebut. Bagaimanapun, saya sendiri perlu bersiap sedia. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang.
“Cumanya, jika saya tidak berada di dalam industri penerbangan lagi, mungkin itulah masanya untuk saya terus fokus sepenuhnya dengan bidang nyanyian yang turut saya lakukan selama ini,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

ZARUL kini tampil dengan single solo berjudul Jangan Pernah.
Seperti insan biasa, Zarul tidak menolak adakalanya pernah terdetik juga rasa ‘penat’ apabila melakukan perkara yang sama saban hari dalam pekerjaan.
“Bayangkanlah sudah 16 tahun saya bekerja sebagai pramugara. Kadang kala terfikir juga penat sudah mengembara ke merata tempat.
“Saya memang suka menaiki pesawat, cuma itulah, kadang-kadang apabila kita sudah terlalu lama, ada juga terfikir untuk mahukan satu suasana baharu pula,” luahnya.
Ditanya mengenai perancangannya jika tidak lagi berkhidmat di awan biru, Zarul memberitahu, dunia hiburan bakal menjadi pilihan utamanya.
“Tahun ini pun fokus saya lebih kepada penampilan lagu saya secara solo. Bahkan, kini saya tampil dengan single solo pertama saya selepas sekian lama tidak ada lagu solo baharu.
“Tahun sebelum ini berduet dengan Marsha dengan lagu Satu Rasa, tetapi tahun ini saya cuba dengan lagu berjudul Jangan Pernah,” katanya yang menggunakan khidmat komposer Aepul Drama Band bagi lagu tersebut.
Menurut Zarul, dia cukup mengagumi bakat komposer muda seperti Aepul yang banyak menghasilkan lagu-lagu yang boleh disifatkan mempunyai aura dan tarikan tersendiri.
“Saya sudah minta lagu dengan dia dari tahun lepas lagi. Dia beri saya enam buah demo lagu, dan saya pilih dua. Lagu Jangan Pernah ini merupakan salah satu yang saya pilih kerana tertarik dengan melodinya yang menarik,” kongsinya.