
NAMA dua pelakon ini bagaikan fenomena dalam dunia drama Melayu hari ini. Siapa yang tidak kenal dengan abang playboy yang baharu sahaja ditundukkan, Hafidz Roshdi dan si manis petah berbicara, Janna Nick.
Terpilih untuk menggalas tugas sebagai duta kepada dua nama besar iaitu syarikat jenama minuman F&N dan rangkaian televisyen Media Prima, pastinya membawa seribu kesyukuran kepada mereka.
Lebih-lebih lagi tawaran yang datang ketika bulan mulia ini dapat mendekatkan Hafidz dan Janna bersama peminat tersayang di samping membantu dalam kutipan amal untuk disumbangkan ke tabung Bersamamu.
Ditemui semasa pelancaran kempen Syukur Selalu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kedua-duanya teruja dengan peranan yang dipegang. Malah, Hafidz dan Janna sempat berkongsi kisah bulan Ramadan mereka.
Cuti sempena Ramadan
Jika ditanya tentang peralihan kehidupan daripada bujang kepada berumah tangga, pastinya kisah Hafidz atau nama lengkapnya, Muhammad Hafidz Roshdi kini sedang diulit bahagia bersama isteri yang baru dinikahi pada 30 April lepas.
Mana tidaknya, semua makan dan pakai kini sudah terjaga rapi oleh si isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri. Mengakui hal tersebut, sambil tersipu-sipu malu Hafidz memberitahu, kedatangan Ramadan tahun ini lebih meriah dengan kehadiran isterinya.
“Pengalaman menyambut Ramadan buat pertama kali dengan isteri semestinya membuatkan saya sangat gembira. Tahun ini sudah ada orang masakkan untuk saya bersahur dan ingatkan tentang waktu berbuka. Antara makanan kegemaran yang sering dimasaknya adalah ayam masak lemak cili padi.
“Kehadiran isteri dalam keluarga saya juga tambah memeriahkan suasana. Alhamdulillah, mereka dapat menerima Shuhada sebagai ahli baharu dalam keluarga kami dengan baik,” katanya membuka bicara.
Ditanya tentang aktiviti Hafidz sepanjang bulan Ramadan, walaupun baharu sahaja mencipta nama dalam industri, kehadiran bulan mulia ini digunakan lelaki berusia 22 tahun itu dengan meluangkan masa bersama keluarga.

SASARAN Klip video F&N Syukur Selalu yang akan menampilkan penyanyi utama, Dayang Nurfaizah, Black bersama Hafidz Roshdi dan Janna Nick menyasarkan sebanyak 300,000 tontonan.
Ujarnya, masa kerja dalam bulan ini tertumpu kepada peranan dirinya sebagai duta kempen Syukur Selalu sahaja.
“Seperti tahun lalu, kehadiran bulan Ramadan adalah waktu untuk saya meluangkan masa bersama keluarga. Saya memang tidak mengambil tawaran lakonan kerana sebelum ini sudah penat bekerja tanpa rehat yang panjang.
“Bagaimanapun, hanya satu komitmen yang tidak saya lepaskan adalah menjadi duta kepada kempen Syukur Selalu. Saya akan mengikut jadual yang ditetapkan seperti terlibat dengan bazar Syukur Selalu dan penggambaran muzik video kempen ini,” ujarnya yang akan bercuti sehingga minggu ketiga hari raya Aidilfitri.
Instagram isteri
Melihat kepada perkongsian gambar mereka suami isteri di laman sosial, Hafidz kemudiannya diaju persoalan perihal akaun Instagram isterinya yang baru sahaja dibuka.
Menafikan akaun tersebut sebenarnya bukan milik Shuhada, Hafidz menerangkan Instagram yang baharu dibuka tiga hari selepas mereka berkahwin itu sebenarnya dijalankan oleh kelab peminat isterinya.
Dengan riak tenang, dia memberitahu pernah menghantar mesej secara personal kepada pihak bertanggungjawab membuka akaun yang kini sudah mengumpul sebanyak 42 ribu pengikut itu.
“Isteri saya memang tiada Instagram sendiri. Bukan saya tidak bagi, tetapi dia yang tidak mahu membukanya. Tetapi saya tahu ada pihak yang menggunakan nama isteri saya dalam laman Instagram itu.
“Saya pernah menghantar mesej secara peribadi kepada lelaki itu, setelah menerangkan keadaan sebenar akhirnya kami bersetuju jika dia membuat akaun tersebut kepada akaun kelab peminat.
“Setakat ini selagi orang itu tidak membuat perkara negatif, saya masih boleh menerima dan bersangka baik terhadapnya” terang Hafidz tertawa.
Janna lepas rindu
Sementara itu, bagi Janna Nick pula, peluang dipilih sebagai duta dan terlibat dalam pelbagai program yang diaturkan dalam kempen Syukur Selalu itu membolehkan dia melepaskan rindu terhadap rutin Ramadannya pada tahun-tahun lalu.

TELEMOVIE Janna Nick akan mengembalikan kerinduan peminatnya apabila bakal muncul dalam dua telemovie iaitu Kau, Aku, Kita Raya dan Suami Tanpa Cinta Raya.
Tanpa berselindung, wanita berusia 22 tahun ini membuka cerita pernah berniaga di bazar Ramadan suatu ketika dahulu.
“Terlibat dengan kempen Syukur Selalu ini memerlukan saya mengikuti program seperti mengadakan bazar di Perak, Johor dan Melaka. Pada saya, ia merupakan peluang yang bagus dan pengalaman menarik kerana sebelum ini saya juga pernah berniaga di bazar Ramadan.
“Dahulu, saya mempunyai sebuah kedai makan yang diuruskan keluarga. Setiap kali Ramadan tiba, kami akan menutup kedai makan itu dan mengambil tapak di bazar untuk menjual cendol dan kuih muih tradisional. Bagaimanapun, restoran tersebut sudah pun ditutup pada bulan Jun tahun lalu.
“Apabila terlibat dengan kempen Syukur Selalu ini sekali gus ia membolehkan saya melepaskan rindu terhadap aktiviti Ramadan saya pada tahun-tahun lalu,” katanya teruja.
Menambah bicara, sama seperti Hafidz, Janna turut memberitahu, jadual aktivitinya pada bulan Ramadan ini hanya tertumpu kepada kempen Syukur Selalu sahaja.
Jelasnya, sejak awal melangkah ke dalam industri, dia tidak gemar membuat lebih daripada satu kerja dalam waktu yang sama.
“Memang daripada dahulu lagi saya tidak suka membuat banyak kerja dalam satu masa kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya tidak mahu berjanji dengan orang, kemudian nanti tidak dapat menepatinya.
“Jadi, sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan tawaran lakonan dan hanya mengikut perancangan kempen Syukur Selalu dan majlis berbuka puasa,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri bicara, wanita itu sempat diusik pertanyaan tentang kisah kontroversi pergaduhan bersama pelakon Ruhainies. Menyifatkan perkara itu sudah lama berlalu, Janna kini lebih tenang dan tidak mahu memikirkanya lagi.
“Ketika perkara itu terjadi, saya akui berasa sedikit tertekan kerana secara tiba-tiba nama sendiri diperhangatkan dan menjadi perbualan ramai. Tetapi, saya cuba berfikiran positif dan impak dari kejadian ini, ia banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Buat masa ini, lebih baik saya fokus kepada orang yang menghargai saya.
“Jika dia berkata melalui media sudah memaafkan saya, saya juga sudah memaafkan dia, tetapi setakat ini saya dan Ruhainies tidak pernah berjumpa lagi,” tutupnya.