Amyra Rosli sedia berkahwin pada usia 25 tahun


Ada sinar kebahagiaan daripada bening matanya. Tatkala melontarkan ayat satu demi satu, suaranya terdengar manja, namun ada batas perihal peribadi yang hanya menjadi laungan di dalam hatinya sahaja.

Itu sikap di belakang tabir si pemilik nama Amyra Rosli, wanita berusia 25 tahun yang semakin matang meneruskan langkah kehidupan berpaksikan keluarga dan karier lakonan yang dicintainya.

Semuanya berkat pengalaman lalu yang banyak mengajarnya erti mengenal hidup. Pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu juga kini hemat mengeluarkan kenyataan peribadi kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

Khalayak boleh memancing rahsia mengatakan dirinya bakal berkahwin dengan Amar Baharin pada November nanti, namun hanya Amyra yang memegang kail jawapan tersebut.

“Pengalaman lalu (putus tunang dengan Dazrin) itu saya sudah padamkan habis dalam diri tetapi pengalaman lalu itulah yang mematangkan saya. Sebab itu sekarang ini saya ada pendirian jika soal di atas (Allah) yang menentukan, saya tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa saya akan berkahwin,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Diam

Pelakon Seindah Takdir Cinta itu juga mahu mengambil langkah untuk berdiam diri dulu, namun tidak pula menafikan khabar angin yang sedang bertebaran itu.

“Jika esok kita akan berkahwin tetapi Allah kata tidak, maka perancangan kita itu juga tidak akan berhasil. Jadi, saya ambil langkah untuk berdiam dulu. Saya juga tidak mahu menafikan kerana ia ibarat satu doa. Insya-Allah bila sampai masanya saya akan beritahu semua orang,” jelasnya berbasa-basi sambil mengukir senyuman di bibir.

Ironinya, bukan mudah seri panggung sepertinya menolak keinginan khalayak menerjah kotak rahsianya dan bayangan yang ada membuatkan mereka percaya pelakon cantik itu akan berkahwin dengan Amar pada November nanti.


Semuanya gara-gara sekeping foto yang dimuat naik cef selebriti Datuk Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku baru-baru ini. Dalam entri itu, cef tersebut seolah-olah memberi bayangan satu projek rahsia bersama ibu Amyra bakal terlaksana. Umum mengetahui, Pak Engku sering menjadi pilihan golongan VIP dan selebriti untuk mengadakan majlis perkahwinan.

“Gambar itu saya tak tahu bila Mama berjumpa dengan Pak Engku. Sekarang ini memang fokus Ramadan dan nak sambut raya lagi. Nenek saya juga baru meninggal dan kena mengadakan tahlil dan bermacam-macam lagi majlis yang perlu kami laksanakan.

“Saya tidak kisah pada sesiapa yang bercakap soal kahwin itu. Sebab sejak tahun lepas lagi cerita yang tidak ada diada-adakan. Contohnya, cerita saya bertunang dengan Amar padahal tidak. Jadi, perihal tunang atau kahwin selagi belum keluar daripada mulut saya tak usahlah percaya,” luahnya yang meminta orang ramai menganggap ia sekadar angin lalu.

Amar ada masa depan

Sengaja mengajaknya berkongsi tentang Amar, jejaka yang paling rapat dengan dirinya setelah kekecewaan dengan Dazrin dua tahun lalu.

Soal mengapa Amar membuatkan dia selesa bersama, malah mengundang doa peminat agar pasangan itu bersatu di jenjang pelamin.

“Dia seorang yang ada masa depan dan tanggungjawab. Orang yang ada masa depan ini saya pandang dari sudut kehidupan dia yang terurus dan pandai merancang masa depannya.

“Paling utama, kami daripada keluarga yang sederhana dan banyak persamaan. Sekali gus ia memudahkan kami masuk ke dalam keluarga masing-masing,” ulasnya yang minta dimengerti kemesraan yang terjalin ada batasnya.

Kata Amyra, foto dan video yang dimuat naik bersama di Instagram tidak bermakna mereka berdua-duaan. Sebaliknya, ibu Amyra yang juga merangkap pengurus anaknya dan Amar itu sentiasa bersama mereka.


Pelakon yang lahir pada bulan Ogos ini mengaku pengalaman putus tunang lalu banyak mengajarnya untuk tidak sewenang-wenangnya mencanangkan kisah peribadi kepada umum.

“Bila orang cakap kami melebih-lebih, sebenarnya di sebalik foto dan video itu ada pengurus kami iaitu Mama. Peminat yang mendoakan benda yang baik untuk kami pula saya aminkan sahaja,” katanya yang mengaku bukan senang untuk rapat dengan lelaki.

Sedia berkahwin

Pada usianya yang bakal menginjak 25 tahun 24 Ogos ini, Amyra mengaku, dia sudah bersedia melangkah kaki ke peterana perkahwinan.

“Tiada salahnya kahwin pada usia 25 tahun. Mama saya kahwin umur 22 tahun. Pada saya, selagi masing-masing ada tanggungjawab, ada persediaan diri, umur bila-bila nak kahwin pun boleh,” ujarnya yang mengaku mencintai kehidupan berkeluarga berbanding karier dan percaya rezeki yang Allah kurniakan.

Jika tahun lalu Amyra bercuti, namun untuk tahun ini pelakon langsing itu sibuk dengan penggambaran drama Isteri Tuan Ihsan bersama Aaron Aziz dan bakal terlibat dalam projek raya seperti drama Tersuka Tanpa Sengaja Raya dan juga telemovie Siapa Diriku dengan Sharnaaz.

“Saya kerja sepanjang Ramadan ini sampai raya. Walaupun penat bekerja masa Ramadan tapi bila fikir balik, saya bukannya ada bisnes nak tumpu. Jadi, apa salahnya menerima projek lakonan.

“Rayapun beberapa hari sahaja dan selepas itu saya akan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Santorini, Greece untuk sambung penggambaran drama Isteri Tuan Ihsan,” ujar Amyra yang selesa berbuka dengan rebusan laksa dan lauk berbanding nasi.

Post a Comment

Previous Post Next Post