Fasa bahagia Hafiz Suip, Effy


LAGU - Hafiz turut mendedikasikan sebuah single baharu berjudul Andai untuk isterinya. Lagu tersebut merupakan ciptaan Zul 2 by 2.

AURA romantis menyelubungi suasana saat kaki melangkah masuk ke dewan utama majlis resepsi pasangan sama cantik sama padan, Hafiz Suip bersama belahan jiwanya, Nureffy Jesreel Abdullah atau mesra dengan gelaran Effy.

Berlangsung penuh gemilang, majlis bertemakan warna putih di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini menyaksikan semarak paduan cinta antara kedua mempelai.

Memilih sentuhan pereka fesyen, Tuan Syed Bjuti, pada malam itu Hafiz Suip tampil kacak dengan balutan sut hitam, manakala Effy pula anggun persis seorang puteri memakai gaun kembang berwarna merah.

Saling melengkapi antara satu sama lain, barangkali itu resipi cinta yang dipegang Hafiz atau nama lengkapnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip dan Effy yang telah pun melangsungkan majlis pernikahan mereka di Kuching, Sarawak pada 14 Mei lepas.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah mempermudahkan segala urusan perkahwinan kami. Terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa yang telah merestui perkahwinan ini dan juga kepada saudara serta rakan-rakan.

“Perkahwinan ini merupakan hadiah yang sangat besar buat saya dan secara tidak langsung ia telah melengkapkan hidup saya,” ujar Hafiz penuh syukur.

Hafiz dan pasangannya terlebih dulu melangsungkan majlis perkahwinan di kampung halaman mereka iaitu di Kuching, Sarawak.

Memilih untuk mengadakan perkahwinan mengikut adat masyarakat Melayu Sarawak, pelantun lagu Awan Nano itu memberitahu acara perkahwinan mereka melibatkan sebanyak lapan buah majlis.

“Majlis kami bermula pada 12 Mei dan dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, berlulut atau bertukar-tukar busana tradisional, mandi bunga, malam berinai, akad nikah, resepsi bagi pihak Effy, majlis bertandang dan terakhir resepsi di sini.

“Resepsi ini merupakan majlis terakhir kami sebelum berbulan madu ke Gold Coast Australia selama 10 hari,” ujarnya teruja.

Berbicara mengenai lokasi bulan madu, lelaki berusia 26 tahun itu memberitahu pada awalnya dia memilih Istanbul, dan begitu teruja untuk melawat Masjid Biru di sana.

Bagaimanapun, impian itu terpaksa dikuburkan sementara ekoran daripada insiden pengeboman di sana. Menurutnya, Gold Coast pula dipilih kerana ia lokasi pilihan isterinya.

“Semasa bertunang dahulu, saya pernah mengikut keluarga Effy melancong ke Australia, tetapi ketika itu kami melawat di sekitar Perth.

“Effy pernah mencadangkan untuk menjadikan Australia sebagai lokasi bulan madu kami, secara kebetulan berlaku insiden di Istanbul, jadi saya ambil keputusan untuk menukar destinasi bulan madu ini,” katanya.

Kontra

Melihat Effy yang hanya berdiam diri dan tersenyum manis sepanjang sesi temu bual, terdetik di hati mungkin inilah perbezaan yang membuatkan pasangan ini saling melengkapi.

Mengakui perkara itu, Hafiz memberitahu, sikap mereka sangat berlainan sama sekali.

“Isteri saya seorang wanita yang lemah lembut dan pendiam, manakala saya pula seorang yang banyak cakap. Perbezaan antara kami inilah yang membuatkan saya suka kepadanya.

“Selain itu, dia juga menghormati ibu bapanya. Untuk saya, dalam setiap perkara, hormat kepada ibu bapa merupakan perkara utama, dan Alhamdulillah Effy juga melakukan hal yang sama,” jelas Hafiz.

Diusik dengan persoalan anak, kedua-duanya saling berpandangan dan tersenyum. Pasangan ini ternyata tidak merancang sebaliknya menyerahkan soal anak kepada rezeki Allah.

“Kami tidak merancang soal anak dan jika boleh saya inginkan anak secepat mungkin. Ibu bapa kami juga mesti hendak melihat cucu mereka, jadi saya menerima sahaja rezeki yang diberi,” ujarnya.

Galak isteri bekerja

Kesempatan yang ada ternyata tidak dilepaskan begitu sahaja, Effy yang merupakan pelajar lepasan Asia Pacific University di Bukit Jalil dalam bidang pelaburan Forex kemudian ditanya soal pekerjaannya.

Dalam nada sopan, wanita itu berkata: “Saya sudah tamat pengajian selama setahun yang lepas. Buat masa ini mungkin saya akan fokus dan membiasakan diri terhadap tugas sebagai seorang isteri terlebih dulu.”

Tersenyum saat ditebak soal adakah dia akan menerima jika ditawarkan untuk menjadi pelakon ataupun penggiat seni sama seperti suaminya, kata Effy itu bergantung kepada peluang yang datang.

Bersikap terbuka, Effy berkata dia bersedia untuk menerima andai ditawarkan untuk berlakon.

Bagaimanapun, ternyata Hafiz kurang bersetuju dengan kesediaan isterinya berkecimpung sama dalam dunia hiburan.

“Sejujurnya saya memang menggalakkan isteri bekerja kerana ingin memberi dia pengalaman mempunyai punca rezeki sendiri. Saya juga yakin ibu bapanya pasti hendak melihat anak perempuannya ini berjaya setelah penat belajar hingga ke menara gading.

“Bagaimanapun, saya tidak bersetuju jika dia hendak menjadi pelakon ataupun masuk ke dalam industri ini. Seeloknya saya tidak mahu isteri juga berada dalam industri yang sama, tetapi jika tawaran untuk berlakon dalam iklan komersial mungkin ia masih boleh dipertimbangkan lagi,” simpulnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post