Elly Mazlein sediakan payung sebelum hujan


SEDAR bukan mudah bergelar ibu tunggal, Elly Mazlein mengambil langkah selamat dengan memfailkan tuntutan penjagaan anaknya, Putri Sara Sefhia di mahkamah.

BERGELAR seorang ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah untuk ditangani oleh seorang wanita lebih-lebih lagi dengan usia zuriat yang belum pun mencecah setahun.

Demi persediaan mendepani hari depan, penyanyi Elly Mazlein yang baru sahaja menimang cahaya mata pada 9 Mac lalu mengambil keputusan memfailkan tuntutan penjagaan anaknya, Putri Sara Sefhia yang kini berusia tiga bulan selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Azmi Hatta pada 15 Oktober tahun lalu.

Bukan niat mencipta sengketa, pelantun lagu Bungaku Bakawali itu mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

Ikuti penjelasan daripada Elly, 36, tentang perkara tersebut.

KOSMO!: Difahamkan baru-baru ini Elly memfailkan permohonan tuntutan penjagaan anak di mahkamah. Boleh ceritakan dengan lanjut mengenai perkara itu?

ELLY MAZLEIN: Ya, saya memang ada memfailkan tuntutan penjagaan anak sejak sebulan lalu. Insya-Allah, awal bulan ini saya akan naik ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara itu.

Boleh beritahu alasan anda berbuat demikian?

Saya lakukan perkara ini bukanlah disebabkan wujudnya masalah tentang penjagaan anak. Atau juga cuba mencipta sebarang isu tentang anak dengan bekas suami. Sebenarnya, saya lebih suka melakukan sesuatu perkara pada masa sekarang demi kebaikan pada masa akan datang. Bak kata orang, lebih baik sediakan payung sebelum hujan. Ia untuk kebaikan semua orang apabila anak saya sudah besar nanti. Supaya tidak wujud sebarang masalah berbangkit mengenai hak penjagaan. Lebih senang sekiranya hak penjagaan itu mempunyai dokumen yang sah daripada mahkamah.

Baiklah. Boleh kongsikan perkembangan terkini hidup anda bersama bayi?

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan bayi juga semakin sihat. Walaupun bergelar ibu tunggal dan menguruskan sendiri keluarga, tetapi setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

Khabarnya anda menggunakan khidmat dua orang jururawat untuk menjaga bayi. Boleh ceritakan mengenai perkara itu?

Memang betul saya ada menggunakan khidmat dua orang jururawat untuk menjaga anak. Mereka merupakan jururawat terlatih daripada hospital dan bukannya orang sembarangan. Memandangkan dia masih kecil dan memerlukan perhatian yang menyeluruh, jadi saya ambil keputusan untuk mengambil orang yang bertauliah untuk menjaganya. Tindakan itu tidak bermaksud apa-apa melainkan saya hanya ingin memberikan yang terbaik buat anak.

Adakah khidmat jururawat itu diperlukan sepanjang hari?

Walaupun mempunyai dua orang penjaga, ia tidak bermakna saya boleh melepaskan tanggungjawab sewenang-wenangnya. Saya tetap menjaga zuriat seperti biasa. Memandikan serta memberi makan dan susu setiap masa. Tidak mungkin saya akan melepaskan semua kerja kepada mereka sebab rugi rasanya jika saya terlepas momen indah melihat anak membesar. Itu adalah pengalaman bernilai buat semua wanita yang bergelar ibu. Khidmat mereka hanya saya gunakan jika saya mempunyai urusan kerja di luar. Kadangkala ada juga saya bawa mereka ke tempat kerja.

Bagaimana anda terfikir untuk menggunakan khidmat jururawat berbanding pengasuh?

Sejujurnya, saya masih belum bersedia untuk menggunakan khidmat pengasuh di rumah kerana bayi masih kecil. Berbanding dengan jururawat, mereka lebih profesional dalam penjagaan anak kecil. Bukanlah bermaksud pengasuh tidak profesional, cuma saya lebih selesa menggunakan khidmat orang yang saya sudah kenal.

Beralih kepada perkembangan karier anda, apa yang boleh dikongsi dengan peminat sekarang?

Alhamdulillah, sekarang saya sudah kembali aktif dengan karier. Buat masa sekarang, saya mendapat banyak undangan fotografi dan muncul di beberapa program televisyen. Syukur, rezeki saya semakin melimpah selepas melahirkan anak. Insya-Allah, selepas sambutan Aidilfitri saya akan kembali berlakon. Sebenarnya saya pun tidak sabar untuk turun ke set penggambaran kerana ramai peminat yang selalu bertanya tentang lakonan saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post