Elak Riak, Yusof Haslam Rahsiakan Bonus Raya Pelakon


Yusof (tengah) bersama dua anaknya iaitu Syamsul (kiri) dan Syafiq Yusof.

Penerbit filem Datuk Yusof Haslam mengambil pendekatan untuk merahsiakan jumlah pembahagian bonus raya kepada pihak media yang diberikan untuk kakitangan dan pelakon bawak produksi miliknya iaitu Skop Production agar tidak dikatakan riyak.

Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof MD. Haslam Khan, 62, berkata, pengagihan bonus tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan peribadi beliau kepada mereka yang pernah sama-sama terlibat menaikkan produksi itu selama ia ditubuhkan.

"Cukuplah saya katakan ia satu jumlah yang besar berbanding pembahagian bonus raya pada tahun-tahun sudah dan ini sebagai tanda terima kasih saya bagi menghargai kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi bersama produksi Skop Production selama ini.

"Tidak saya nafikan pertambahan kadar bonus pada kali ini didorong atas dasar kejayaan beberapa filem terbitan Skop Production sendiri sejak akhir-akhir ini antaranya filem Munafik yang mencetus fenomena tersendiri sehingga memecahkan rekod perfileman Malaysia dengan kutipan tertinggi sebanyak RM19 juta,” katanya kepada mStar Online.

Yusof ditemui di majlis berbuka puasa dan pembahagian bonus Hari Raya di Finas Jumaat lalu.


Yusof Haslam(dua dari kiri) bersama barisan artis veteran.

Selain pelakon-pelakon dan kakitangan Skop Production, turut diraikan ialah pelajar-pelajar tahfiz seramai 40 orang.

Selain itu pihaknya turut menyediakan peruntukan raya untuk 40 buah badan kebajikan dan persatuan atas dasar ingin berkongsi rezeki yang ada dengan harapan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, Yusof turut berkongsi tentang projek filem terbaru syarikatnya di mana pada September depan, anaknya Syamsul akan menyambung penggambaran untuk filem Munafik 2.

“Syamsul ada luahkan perasaan takut kepada saya kerana bimbang seandainya hasil garapannya menerusi Munafik 2 tidak menepati kehendak dan kepuasan pada tahap maksimum kepada pengikut filem seramnya sebelum ini.

“Pun begitu saya percaya kepada kredibiliti Syamsul namun tidak berani untuk memberi lebih harapan kepada sesuatu perkara yang belum terhasil. Apa yang mampu saya katakan, saya hanya mampu berharap sekuel Munafik kali ini lebih bagus dan lebih seram berbanding yang pertama,” katanya.

Di satu sisi, Yusof berkata dia tidak menolak kemungkinan faktor kejayaan beberapa filem arahan anak sulungnya itu dikuatkan dengan penerapan lagu-lagu tema yang catchy dan bercitarasa segar sebagai satu taktik pelaris kepada sesebuah filem.

"Jika Munafik pertama menelan kos RM1.8 juta termasuk urusan promosi, Munafik 2 pula kami jangkakan akan menelan kos lebih tinggi. Mungkin melebihi RM2 juta di mana kami jangkakan akan menemui penonton di pawagam dalam tempoh setahun dari proses penggambaran," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post