Acappan tiada niat persenda Islam


Gambar yang tersebar di laman sosial hingga menimbulkan salah faham bahawa Acappan (tengah) sudah memeluk Islam. Turut kelihatan di dalam gambar ialah rakan artis seperti Iwan (kanan) dan Isma Alif (dua dari kiri).

Kecoh sebentar industri hiburan tempatan pada bulan Ramadan yang mulia ini apabila berita mengenai pelawak dan pelakon terkenal, Acappan, yang beragama Hindu memeluk Islam viral di laman sosial.

Perkara itu menjadi hangat selepas beberapa keping gambar dia bersama rakan bergambar di dalam dan luar sebuah masjid di Salak Tinggi tersebar. Kemudian terdapat beberapa versi yang mendakwa Acappan menukar namanya kepada Shahrin Abdullah sebelum memilih nama Muhamad Ramadhan kerana berasa lebih sesuai dengan nama itu selepas memeluk Islam.

Walau bagaimanapun, Acappan atau nama sebenarnya, Samynathan Rethinan, 58, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sambil memberitahu dirinya mangsa keadaan.

Tidak mahu dilihat mempermainkan isu agama yang ternyata sensitif, Acappan mahu individu yang bertanggungjawab menyebarkan gambarnya tampil memohon maaf.

Kosmo!: Bagaimanakah perasaan Acappan apabila isu sensitif seperti pertukaran agama seperti ini timbul?

ACAPPAN: Pastinya saya berasa kecewa dan terkilan kerana hal agama bukan perkara yang ringan dan remeh-temeh. Saya ada keluarga yang keliru dengan penyebaran fitnah ini dan ia melibatkan maruah kami semua. Selama menceburi bidang seni sejak 40 tahun lalu, saya menghormati agama rakan-rakan artis lain dan isu sensitif seperti ini boleh menimbulkan salah faham antara kami.

Apakah tujuan sebenar anda berkunjung ke masjid di Salak Tinggi itu?

Saya hanya memenuhi undangan berbuka puasa oleh rakan-rakan artis lama seperti Ijam Medicine, Iwan dan Isma Alif, itu sahaja. Sebelum ini pun, memang saya biasa menghadiri majlis-majlis begini kerana tidak melihat kesalahan menyokong sahabat beragama Islam pada bulan Ramadan. Tidak sangka pula tahun ini lain pula jadinya.

Siapakah yang bertanggungjawab menyebarkan gambar-gambar anda itu?

Saya tidak tahu tetapi pasti salah seorang yang hadir sewaktu saya hadir ke majlis berbuka puasa itu. Saya tidak minta banyak cuma mahu dia datang menemui saya secara peribadi dan memohon maaf atas perbuatannya yang telah menimbulkan huru-hara.

Adakah anda memang tiada niat langsung untuk mempelajari tentang Islam?

Niat itu ada, saya juga suka bertanya pada rakan-rakan tentang Islam dan ciri-cirinya. Tetapi jika saya benar-benar mahu melakukannya, saya akan mengikut saluran yang betul. Saya akan berbincang dengan keluarga dahulu, bukan melulu mengambil tindakan. Namun sekarang bukan masa saya lagi untuk menukar agama.

Selepas kejadian ini, adakah anda berasa takut atau bimbang untuk mendalami Islam?

Tidak, kerana saya rasa tidak salah jika orang bukan Islam mahu lebih tahu tentang Islam tetapi mungkin selepas ini, saya akan lebih berhati-hati agar tindak-tanduk saya tidak disalah erti.

Apakah yang anda ingin nyatakan kepada peminat di luar sana?

Saya mahu memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung dengan berita dan penyebaran foto tersebut itu kerana ia menunjukkan seperti saya mempermainkan agama dan agak keterlaluan terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post