Rezeki, memori Ramadan Zamani


RINDU - Walaupun tidak lagi bergelar penghuni Rumah Pengasih, Zamani mengakui bahawa dia merindu suasana meriah menyambut bulan Ramadan di sana dan bercadang untuk melawat pusat pemulihan tersebut jika ada kelapangan.

Ramadan kali ini berbeza buat pelantun lagu Gerimis Mengundang ini. Jika pada tahun lalu, Zamani menyambutnya di Rumah Pengasih, tahun ini dia bebas umpama burung di langit namun baginya, banyak momen yang sangat dirindui terutama suasana riang dan meriah di situ.

Katanya, peraturan ketat di sana sedikit sebanyak berjaya mendisiplinkan dirinya untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan banyak perkara positif yang telah diterapkan di dalam dirinya walaupun tidak lagi berada di sana.

“Aktiviti Ramadan di sana sangat ketat, ia berjaya mendisiplinkan saya untuk bertadarus dan mengerjakan solat tarawih. Apa yang saya lalui di situ, tidak lagi saya rasai pada Ramadan ini kerana sibuk dengan bebanan kerja.

“Ia sangat berbeza apabila saya sudah tidak lagi berada di sana dan kini saya bebas di luar. Sejujurnya, sekarang ini saya tertinggal banyak perkara yang menjadi rutin lazim ketika berada di Pengasih,” ujarnya Zamani atau nama lengkapnya Zamani Ibrahim, 45.

Menyedari dirinya sentiasa dalam kemelut untuk membersihkan diri daripada najis dadah, Zamani meluncurkan kata: “Sudah lama saya tidak merasakan nikmat berpuasa di bulan Ramadan. Tahun lalu ketika berada di Pengasih, banyak yang telah saya pelajari justeru mendekat diri kepada Ilahi.”

Ujarnya lagi, sewaktu berada di sana, dia lakukan semua aktiviti yang diaturkan bersama-sama rakan-rakan dan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah dan tarawih.

“Apabila kini saya sudah keluar dari sana, sambutan Ramadan tahun ini membuatkan saya terkenang suasana meriah di Rumah Pengasih yang banyak melahirkan kesedaran berguna kepada diri saya sebagai seorang manusia,” tutur Zamani.

Diajak berbicara lanjut mengenai sambutan Ramadan kali ini, dia hanya mampu tersenyum sambil mengakui kekhilafan dirinya kerana tidak lagi duduk dan tinggal di bumbung Rumah Pengasih.

“Saya akui jadual seni saya sangat padat lantas membuatkan saya sangat sibuk. Jujur saya katakan, setakat ini solat tarawih pun saya tidak sempat kerjakan. Saya yakin kalau saya berada di Pengasih, ini tidak akan berlaku.

“Ramadan kali ini, jadual seni saya akan banyak dipenuhi dengan aktiviti jariah seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan sebagainya,” ujarnya tersenyum melemparkan bicara.

Iftar Akustika

Menyentuh tentang aktiviti seni bulan Ramadan, Zamani akan terlibat dengan program Iftar Akustika bersama Zamani & Mawi yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Menariknya, tujuan program berkenaan diadakan untuk mengutip sumbangan bagi diserahkan kepada golongan kurang bernasib baik yang dilihatnya sebagai perkara cukup positif.

“Sebahagian daripada hasil jualan meja pada hari itu nanti akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim, persatuan ibu tunggal dan orang tua. Sekurang-kurangnya, ia dapat menambahkan pahala pada bulan baik ini selain dapat berpuasa dan solat berjemaah,” ulasnya.

Diajak berborak tentang pengisian program tersebut, pengunjung yang hadir akan berpeluang mengerjakan solat tarawih bersama selain dihiburkan dengan persembahan akustik lagu kerohanian bersesuaian dengan bulan Ramadan.

“Saya sudah memilih beberapa lagu bercirikan ketuhanan. Malah, bukan sahaja akan mendendangkan lagu sendiri, saya juga akan menyanyikan lagu penyanyi lain. Bergantung kepada keadaan.

“Apa yang boleh saya janjikan adalah ia adalah persembahan akustik kerohanian. Antara lagu yang saya akan nyanyikan adalah berjudul Permaidani (Aris Ariwatan) dan Insya-Allah (Maher Zain),” kongsinya.

Dalam sibuk bersembang, Zamani memperdengarkan lagu baharu berjudul Tambatan Hati yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Yongki. Katanya, lagu tersebut bakal dipersembahkan pada program Iftar Akustika itu nanti.

“Lagu ini ada kedengaran agak ‘Indonesia’ sedikit kerana penciptanya adalah dari negara seberang yang banyak melahirkan lagu hit untuk kumpulan ST12.

“Ia adalah sebuah lagu balada yang telah dirakam sejak dua bulan lepas dan sekarang sedang menjalani proses mastering sebelum dilancarkan. Saya harap ia akan menjadi pengubat rindu buat para peminat yang sudah lama menantikan lagu baharu daripada saya,” ujarnya.

Sementara itu, kongsinya lagi, Slam akan kembali menggegarkan pentas apabila pihaknya sedang merencanakan sebuah konsert di Johor Bahru pada bulan Ogos nanti.

“Boleh dikatakan, konsert terbaharu ini adalah kesinambungan daripada konsert terdahulu (Kurnia Slam). Alhamdulillah, sokongan peminat tidak pernah berhenti membuatkan saya semakin bersemangat untuk berjuang dan menghiburkan mereka.

“Rezeki saya juga tidak putus selepas menjalani rawatan pemulihan. Saya yakin ini adalah peringatan buat saya daripada Tuhan untuk terus menjauhkan diri daripada najis dadah,” ujar Zamani menggulung bicara.

Selain berhibur, peminat, syarikat korporat dan agensi kerajaan dapat mengeratkan lagi silaturahim selain beramal jariah dan menikmati persembahan akustik istimewa daripada Zamani dan Mawi,

Sebanyak 150 juadah bakal disediakan berkonsepkan tradisi warisan budaya daripada cef PICC. Bagi yang ingin membuat tempahan boleh melayari laman web, www.ticketonline.my/pnm dengan harga serendah RM200 seorang.

Post a Comment

Previous Post Next Post