Yazit hadir ke sidang media bersama peguamnya, Saiful Dzulhelmi (kanan).
SEHARI selepas kumpulan Search meminta Yazit untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, pemain dram kumpulan legenda itu tampil membuat penjelasan dalam sebuah sidang akhbar yang diadakan di House, G Tower, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ditemani peguamnya, Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli, Yazit menegaskan, dia enggan mengeluarkan sebarang permohonan maaf, apatah lagi menarik balik laporan polis yang telah dibuat pada 4 Mei lalu di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sebaliknya, dia akan membuat laporan polis kali kedua atas beberapa salah laku ahli kumpulan Search yang lain sebelum ini.
Selain itu, Yazit atau nama sebenarnya, Yazit Ahmad, 54, turut meluahkan rasa kecewa terhadap pengecualian namanya daripada Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara empat ahli kumpulan Search dan pihak penganjur Konsert Search 35 Tahun, AF Jets Sdn. Bhd..
KOSMO!: Adakah Yazit akan mengeluarkan permohonan maaf kepada Amy, Nasir, Kid dan Din secara terbuka serta menarik kembali laporan polis seperti yang diminta oleh mereka?
YAZIT: Saya tidak mempunyai sebab untuk mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan menarik kembali laporan yang telah dibuat. Sebaliknya, saya akan membuat laporan kedua dalam tempoh terdekat memandangkan banyak salah laku lain yang telah mereka lakukan kepada saya.
Apakah butir laporan yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa?
Buat masa ini, saya belum bersedia untuk menjelaskan butiran mengenai laporan tersebut kerana mahu mengikut prosedur perundangan yang betul.
Bagaimana pula dengan isu pembayaran bagi Konsert 35 Tahun Search? Benarkah anda sudah menerima RM10,000 daripada pihak AF Jets Sdn. Bhd.?
Benar, saya memang ada menerima RM10,000 daripada pihak AF Jets, tetapi itu merupakan pembayaran kedua. Saya difahamkan, pihak AF Jets telah mengeluarkan wang berjumlah RM75,000 dan diberikan kepada keempat-empat ahli Search yang lain. Jika diikutkan, setiap seorang akan mendapat RM15,000. Malangnya, sehingga ke hari ini saya tidak mendapat wang tersebut. Difahamkan juga, nama saya telah dikecualikan daripada salinan MoU dan hanya ditandatangani oleh Amy, Nasir, Kid dan Din.
Selain isu pecah amanah, anda turut mendakwa isteri Amy, Norish memaki dan menengking anda menerusi panggilan telefon. Benarkah dakwaan tersebut?
Benar, dia telah memaki saya dengan kata-kata yang kurang enak. Saya hanya ingin bertanya tentang bayaran pendahuluan pertama tetapi saya ditengking. Saya terkejut dengan tindakannya.
Jika pihak Search mahu bertemu dan menyelesaikan perkara ini dengan cara baik, adakah anda menerima dengan hati yang terbuka?
Saya sayang Search. Kami sudah seperti satu keluarga. Mungkin saya akan pertimbangkan jika mereka datang dengan cara baik.
Adakah anda masih akan bermain untuk Search pada masa akan datang?
Saya sudah tawar hati untuk bermain dengan Search. Buat apa saya bermain jika masing-masing bermasam muka? Biarpun saya tidak lagi bermain, saya tetap akan menuntut bayaran untuk persembahan yang akan datang memandangkan saya adalah pengasas untuk syarikat pengurusan GoSearch.
DALAM perkembangan lain, penganjur Konsert 35 Tahun Search, AF Jets Sdn. Bhd. mengakui terkilan dengan polemik yang melanda kumpulan Search.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Amrul Mizar Anuar berkata, dia berharap agar perbalahan yang berlaku antara Yazit dan empat anggota Search yang lain diselesaikan secepat mungkin agar konsert yang dirancang berlangsung pada 30 Ogos depan di Sepang, dapat berjalan seperti yang dirancang.
KOSMO!: Apakah perasaan anda apabila melihat ahli kumpulan Search terus berbalah sesama sendiri?
AMRUL: Kami begitu terkilan dengan apa yang sedang berlaku. Sejujurnya, konsert ini dianjurkan kerana kami merupakan peminat Search. Sudah banyak wang dibelanjakan untuk konsert ini dan saya berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu ini dengan baik.
Benarkah dakwaan Yazit yang mengatakan, namanya dikecualikan daripada MoU antara Search dan AF Jets?
Semua nama anggota Search ada pada draf asal MoU tersebut. Namun, selepas draf tersebut diserahkan kembali oleh pihak Search, nama Yazit telah tiada. Jadi, kami akur dengan kehendak mereka.
Bagaimana pula dengan dakwaan Yazit yang mengatakan dia tidak menerima bahagiannya wang pendahuluan pertama yang berjumlah RM75,000?
Bayaran tersebut telah dibayar kepada Search sekitar Disember lalu dan difahamkan, mereka akan mengagihkannya bersama Yazit. Bagaimanapun, selepas bertemu Yazit, dia memberitahu masih belum menerima bayaran. Jadi, untuk menjaga hati semua pihak, saya membuat bayaran sebanyak RM10,000 secara individu untuk setiap ahli Search pada bulan Mac lalu.