Search sangkal dakwaan pecah amanah


EMPAT anggota kumpulan Search (dari kiri), Din, Amy, Kid dan Nasir, masing-masing meluahkan rasa terkilan terhadap laporan polis yang dibuat Yazit mengenai dakwaan pecah amanah berhubung bayaran wang pendahuluan Konsert 35 tahun Search.

Kecoh minggu lalu apabila pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad telah membuat laporan polis berhubung isu pecah amanah mengenai pembayaran wang pendahuluan bagi Konsert 35 Tahun Search yang dijadualkan berlangsung di Sepang, Selangor pada 30 Ogos depan.

Menerusi laporan tersebut, dia masih belum menerima sebarang pembayaran pendahuluan walaupun pihak penganjur, AF Jets Sdn. Bhd. telah mengeluarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM75,000 kepada kumpulan Search sekitar Disember tahun lalu.

Menganggap isu pembayaran tersebut sebagai pecah amanah, Yazit turut mendedahkan bahawa masih ada beberapa bayaran persembahan yang belum diterimanya sejak beberapa tahun yang lalu.

Selain itu, Yazit yang kini menderita sakit buah pinggang turut mendakwa isteri kepada vokalis kumpulan tersebut, Norhasniza Hassan atau Norish telah menengking dan memakinya menerusi panggilan telefon selepas dia cuba untuk mendapatkan kepastian mengenai wang bayaran tersebut.

Berkesempatan bertemu dengan empat ahli kumpulan Search yang lain iaitu Amy, Nasir, Din dan Kid pada sidang akhbar yang berlangsung di Hartamas, Kuala Lumpur pada Rabu lalu, Amy selaku wakil kumpulan legenda tersebut berkata, dia berasa sangat kecewa dengan tindakan yang diambil oleh Yazit.

Amy atau nama lengkapnya, Suhaimi Abdul Rahman berkata, mereka tidak pernah menyeleweng wang bayaran dan sentiasa menyerahkan bahagian wang Yazit setiap kali selepas habis persembahan.

Dalam pada itu, Amy turut membela tindakan isterinya dan menganggap Norish bertindak demikian kerana menerima provokasi daripada Yazit.

KOSMO!: Amy, benarkah dakwaan Yazit yang mengatakan bahawa dia masih belum menerima wang pendahuluan Konsert 35 Tahun Search?

AMY: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Kami difahamkan pihak AF Jets telah pun mengeluarkan bayaran sebanyak RM10,000 dan telah diserahkan kepada Yazit. Dalam masa yang sama, kami juga menerima wang pendahuluan sebanyak 30 peratus dan wang tersebut digunakan bagi tujuan promosi dan hebahan konsert.

Bagaimana pula dakwaan yang mengatakan Yazit tidak menerima bayaran beberapa persembahan lain sebelum ini?

Ingin saya tegaskan, dakwaan tersebut juga tidak benar. Setiap bayaran persembahan telah kami lunaskan kepadanya. Walaupun selepas dia jatuh sakit sekitar tiga tahun lalu dan jarang bermain untuk Search, kami tetap mengasingkan bahagiannya. Sebagai contoh, sewaktu persembahan di Istana Budaya, dia tetap menerima bayaran sebanyak RM47,000 walaupun hanya bermain sebanyak empat lagu sahaja. Kami berbuat demikian kerana kami sudah anggap dia seperti keluarga.

Jadi, apakah perasaan anda selepas mendapat tahu tentang dakwaan yang tidak benar ini?

Sejujurnya, saya berasa sangat kecewa dan sedih. Walaupun kami telah anggap dia sebagai keluarga, namun, dia tetap mahu menyumbat kami dalam penjara. Jadi, saya berharap agar dia boleh membuat permohonan maaf secara terbuka. Jika dia gagal, kami tidak teragak-agak untuk membuat tindakan susulan.

Bagaimana pula dengan tuduhan Yazit yang mengatakan isteri anda menengking dan memakinya menerusi panggilan telefon?

Benar, perkara tersebut memang terjadi. Namun, ia berlaku kerana isteri saya dilemparkan dengan tohmahan yang tidak betul. Jadi, disebabkan terus menerima provokasi, dia terlepas cakap dan mengeluarkan kata-kata kurang elok kepada Yazit.

Menerusi sebuah kenyataan, Yazit memberitahu yang dia akan menubuhkan Search Junior. Adakah anda terkesan dengan kenyataan tersebut dan mahu menyisihkan Yazit daripada Search?

Apa sahaja yang dia mahu buat, kami tidak akan melarang. Cuma, kami tidak pernah membuang Yazit daripada Search. Walau apa yang terjadi, dia masih tetap sebahagian daripada kami.

Bagaimanakah status terkini Konsert 35 Tahun Search? Adakah ia masih akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan atau dibatalkan?

Perkara tersebut perlu diserahkan kepada pihak penganjur. Apa yang kami tahu, Search telah melakukan kempen dan promosi seperti yang dipersetujui. Segala keputusan terserah kepada pihak AF Jets Sdn. Bhd.

SEMENTARA itu, isteri Amy, Norish berkata, tindakannya memaki Yazit menerusi panggilan telefon berlaku selepas lelaki tersebut tidak henti-henti menuduh suaminya sebagai penipu.

KOSMO!: Benarkah dakwaan Yazit yang mengatakan Norish memakinya dengan kata-kata yang kurang elok menerusi panggilan telefon?

Norish: Benar, saya memang memakinya. Namun, ia terjadi kerana Yazit tidak henti-henti menuduh suami saya sebagai seorang penipu. Isteri mana yang tahan bila mendengar orang lain memburukkan suaminya? Selain itu, dia juga turut menuduh ahli kumpulan Search lain sebagai pecah amanah. Perkara tersebut yang benar-benar membuatkan saya naik berang.

Bagaimanakah anda berdepan dengan tohmahan yang diterima daripada peminat yang mengatakan tindakan anda itu kurang matang dan tidak sepatutnya berlaku?

Jika diikutkan, memang ramai yang memandang negatif. Tetapi, saya tidak hiraukan kecaman khalayak. Apa yang saya lakukan adalah kerana keluarga saya dan Search.

Post a Comment

Previous Post Next Post