Kumpulan Akim & The Majistret bersama penaja pakej umrah Simply Umrah iaitu Adam Khairi (empat dari kiri) dan Mohammad Afiq Mohammad Yusoff (empat dari kanan).
Kumpulan Akim & Majistret menzahirkan rasa syukur dan menganggap kemenangannya dalam kategori Personaliti Terunggul Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) dengan hadiah berupa pakej umrah pada Ramadan sebagai sesuatu yang paling bermakna sepanjang tiga tahun penubuhan kumpulan itu.
Vokalisnya, Akim Ahmad berkata, mereka berterima kasih kepada peminat yang mengundi kumpulannya dan penaja hadiah Simply Umrah Travel Services Sdn Bhd yang sudi membawa ketujuh-tujuh ahli kumpulan itu menunaikan impian melaksanakan ibadah umrah bersama-sama.
"Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada penaja kerana memberi peluang kepada kami untuk menunaikan umrah bersama-sama.
"Ini juga merupakan hadiah paling bermakna dalam banyak-banyak hadiah kami perolehi sepanjang tiga tahun Akim & Majestret ditubuhkan," ujarnya kepada mStar Online.
Akim & Majistret ditemui pada majlis penyerahan hadiah kemenangannya dalam kategori Personaliti Terunggul dan Grup Pilihan Online yang dimenangi mereka pada malam kemuncah Anugerah Pilihan Online 2016 yang berlangsung pada 30 April lalu.
Hadiah dimenangi mereka disampaikan pada satu majlis anjuran Rafflesia Perarl Centre di Hotek Istana di sini pada Rabu.
Mereka juga masing-masing turut mendapat seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM20,000, jam tangan Ice Watch dan pekej penginapan Hotel Dorsett Putrajaya.
Akim & The Majistret bergambar kenangan bersama Pengurus Pemasaran Rafflesia The Pearl Centre, Sin Hui Cin, Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Tambah Akim, dia dan ahli kumpulan yang lain akan mengosongkan jadual mereka pada dua minggu akhir Ramadan itu untuk mengerjakan umrah bersama-sama.
"Saya pernah menunaikan umrah bersama keluarga pada waktu biasa dan umrah pada Ramadan pula tentunya keistimewaan lebih berganda.
"Saya berharap umrah kali ini saya dapat lebih dekat dengan kaabah dan melaksanakan ibadah sekali lagi dengan tenang," ujarnya.
Sementara itu, Zimi pula berkata, mereka menjadikan Mekah merupakan lokasi terbaik untuk mendapatkan idea sebelum memulakan proses album kedua kumpulan itu.
Akim hadir bersama ibunya, Aminah Bahari dan ibu mertuanya Agnes Kaloos (kanan).
Katanya, sebelum ini mereka merancang untuk bercuti ke luar negara bagi mendapatkan ilham menghasilkan album kedua tersebut.
"Kami sebenarnya memang merancang untuk bercuti ke luar negara bersama-sama bagi menenangkan fikiran dan mencari ilham untuk album kedua.
"Alhamdulillah, kami diberi rezeki untuk pergi ke tempat lebih mulia dan terbaik daripada kami fikirkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Simply Umrah, Mohammad Afiq Mohammad Yusoff, 26, berkata, pihaknya berbesar hati membawa kumpulan popular tersebut menunaikan umrah bawah pakej Ramadan.
Mohammad Afiq berkata, pakej bernilai hampir RM200,000 itu merupakan salah satu promosi bagi memperkenalkan perkhidmatan terbaik yang ditawarkan syarikat mereka.
Akim bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.
"Pakej umrah pada dua minggu akhir bulan Ramadan adalah pakej eksklusif yang mana kita tahu kelebihan ibadah itu dilakukan pada 15 hari terakhir bulan Ramadan.
"Kami menawarkan harga paling rendah dengan kemudahan paling eksklusif serta tempat penginapan yang paling dekat dengan masjid," ujarnya.
Tambahnya, penajaan Akim & The Majistret dapat membuka hati golongan muda untuk menunaikan umrah pada usia muda.
Selain itu, Mohammad Afiq berkata, ini merupakan kali pertama syarikatnya yang kini berusia 10 tahun itu menaja selebriti untuk menunaikan umrah.
"Setiap tahun kami memang ada buat tajaan kepada anak-anak yatim, pesakit HIV dan orang kurang berkemampuan cuma kami tidak mewar-warkannya kepada media sahaja.
"Tahun ini kami ambil peluang untuk terlibat bersama APO2016 bagi menaja selebriti pula ke tanah suci," ujarnya.