Tuah bertudung Fathia Latiff


TERIMA KASIH - Fathia berterima kasih kepada peminat yang banyak menegurnya di laman Instagram. Bagaimanapun, keputusan untuk bertudung bukan disebabkan kritikan orang ramai tetapi disifatkan sebagai kesedaran semula jadi.

TUJUH tahun mengabdikan diri dalam dunia seni sebagai seorang pelakon, Fathia Latiff barangkali sudah mampu tersenyum apabila buat julung kali dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 29 (ABP29) baru-baru ini.

Tersentak dan terkejut dengan anugerah yang diterima menerusi lakonannya dalam filem Darah Panas itu, Fathia atau nama lengkapnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 27, percaya apa yang dikecapi hari ini adalah rezeki daripada Allah SWT kepada dirinya yang semakin mencuba untuk mendalami nilai sebenar menjadi seorang Muslimah.

Walaupun kemenangannya sempat menjadi pertikaian kerana dia dilihat tidak begitu menonjol dalam naskhah filem berbanding sebagai dramatis di televisyen, Fathia tenang berdepan situasi apabila dihambat persoalan sedemikian.

Dia sendiri tidak menyangka namanya akan masuk dalam kategori pelakon filem wanita popular memandangkan dirinya lebih aktif di kaca televisyen. Sungguhpun begitu, siapalah dia untuk menidakkan rezeki Allah.

“Saya mengaku memang tidak banyak produk filem yang dijayakan. Orang lebih mengenali saya sebagai pelakon drama di televisyen. Bagaimanapun, semua ini adalah perancangan dan rezeki daripada Allah,” ujarnya tenang.

Disogok lagi pertanyaan mengenai kehadiran rezeki yang meluas sejak memutuskan untuk bertudung penuh April lalu, dia tersenyum dan menghela nafas panjang menandakan seperti ada sesuatu yang ingin diperbetulkan dalam kenyataan tersebut.

Balas Fathia: “Sebenarnya bagi saya, bukan hanya sebab bertudung rezeki saya semakin murah atau kemenangan berpihak kepada saya. Saya tidak pernah terfikir sampai ke arah itu.

“Saya percaya apabila saya kejar Allah, segala kebaikan di dunia akan datang kepada saya. Dengan imej bertudung, saya berasa semakin selesa dengan apa yang saya lakukan dalam hidup.”

Dalam lancar mengatur bicara, pelakon drama popular Ariana Rose itu menambah bahawa keputusannya untuk berhijab bukan disebabkan terpengaruh dengan kata-kata orang ramai, sebaliknya ia ditunjangi kesedaran semula jadi terhadap kebesaran Ilahi.

“Saya bertudung bukan kerana manusia tetapi ia adalah kerana Allah. Saya amat berterima kasih kepada orang ramai yang banyak menegur cara pemakaian saya serta mengharapkan saya untuk bertudung di Instagram.

“Saya ambil teguran mereka dan Alhamdulillah kini saya telah bertudung tetapi niat untuk bertudung datang secara semula jadi. Sebelum ini saya banyak menggayakan imej bertudung dalam lakonan, lama-kelamaan apabila sudah terbiasa, saya rasa segan tidak menggayakan tudung di tempat awam,” akuinya tanpa berselindung.

Istiqamah, terus belajar

Dalam usaha murninya untuk terus mendekatkan diri kepada Ilahi, terluncur kata bahawa masih banyak dalam ruang dalam dirinya yang perlu diperbaiki demi menjadi khalifah yang lebih baik pada masa mendatang.

Jika dahulu, kelibatnya sebagai seorang selebriti acap kali dihambat kontroversi. Kini, Fathia berharap walaupun masih berada dalam industri sebagai seorang anak seni, dia ingin khalayak bercakap tentangnya atas dasar kualiti kerja yang ditunjukkan.

“Saya melakukan perkara yang saya suka dan memberi manfaat kepada saya. Saya tidak mahu perubahan yang terlalu mendadak sehingga akhirnya membuatkan saya alpa mengenai tujuan sebenar saya bertudung. Biarlah segalanya berjalan secara semula jadi.

“Menyentuh tentang lakonan, saya buat dengan ikhlas kerana Allah dan saya tidak mengharap apa-apa daripada apa yang telah saya kerjakan. Saya masih lagi belajar untuk menjadi Muslimah yang lebih baik pada masa akan datang. Insya-Allah,” ulasnya.

Menjadi perkara lazim apabila seseorang selebriti wanita telah melakukan transisi imej iaitu bertudung, akan menjadi tanda tanya buat mereka sama ada akan bersifat lebih selektif dalam soal lakonan pada masa akan datang.

Fathia tidak mahu berjanji mengenai perkara tersebut

“Saya tidak berani untuk memberikan komen yang lebih. Bagi saya sebagai manusia, kadang-kadang kita akan tersalah langkah. Itu mungkin akan terjadi kepada saya. Justeru, lebih baik saya fokus untuk melakukan yang terbaik demi menjadi Muslimah lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Jenama fesyen

Ligat mengatur kata, Fathia mendedahkan bahawa dia akan melancarkan jenama fesyen Muslimah miliknya bersempena dengan musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Memperkenalkan jenama Dara By Fathia Latiff, sebelum ini dia tidak mempunyai perancangan langsung untuk mempunyai jenama fesyen sendiri, sebaliknya idea untuk berbuat demikian hadir secara semula jadi.

Ditebak persoalan stigma klise masyarakat mengenai kebanjiran selebriti wanita yang telah berhijrah dengan bisnes pakaian Muslimah mahupun tudung, Fathia mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya bertudung bukan kerana fesyen. Kalau ada ruang untuk memberi manfaat kepada saudara muslim lain dan ia menjurus kepada perubahan positif diri sendiri, saya rasa ia tidak salah,” balasnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post