Dayana Roza pilih diam


DAYANA menyifatkan tidak semua perkara tentang dirinya boleh dikongsi bersama peminat. Dia masih menyimpan sedikit hal peribadi untuk diri sendiri.

NAMA pelakon Dayana Roza mula menjadi sebutan setelah penampilannya menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia mendapat perhatian. Tidak hanya kemunculannya dalam drama tersebut menjadi sebutan, kisah kontroversi turut bergerak seiring dengan kerjayanya kini.

Heboh sebelum ini mengatakan wanita berusia 25 tahun itu mempertikai kredibiliti pendatang baharu, Hafidz Roshdi dan mengklasifikasikannya sebagai ‘pelakon kayu’ kerana mutu lakonannya kurang memuaskan.

Selepas reda dengan isu itu, timbul pula cerita menerusi ruangan pojok di sebuah akhbar mengatakan dia berkunjung ke sebuah kelab malam di ibu kota.

Cerita tersebut tidak terhenti begitu saja, Dayana juga dikatakan asyik menari dan merokok tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan.

Tidak cepat melatah dengan berita panas, Dayana lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan memanjangkan hal tersebut.

Namun, sebagai seorang selebriti dia mengetahui bahawa sukar buatnya lari daripada kontroversi kerana perkara itu sudah menjadi lumrah dunia seni.

KOSMO!: Adakah benar dakwaan menerusi ruangan pojok di sebuah akhbar mengatakan Dayana berkunjung ke sebuah kelab malam?

DAYANA: Mengenai perkara itu, lebih baik saya mendiamkan diri daripada terus memanjangkan isu tersebut kerana bimbang akan menjejaskan kerja. Bagi saya, perkara tersebut adalah hak peribadi, sementelah ia berlaku di luar waktu bekerja.

Bagaimanakah reaksi anda apabila mengetahui berita tersebut?

Saya berasa terkejut apabila diberitahu perihal itu. Namun, biarpun terkejut saya tidak ingin membesarkan cerita dan biarlah perkara tersebut berlalu begitu sahaja dan fokus kepada kerja.

Adakah anda sedar bahawa setiap tingkah laku individu bergelar selebriti itu pasti akan diperkatakan. Justeru, apakah yang dimaksudkan anda bahawa isu berkunjung ke kelab malam itu adalah hak peribadi?

Saya memahami kerana masyarakat akan mengambil tahu tentang apa yang dilakukan oleh seseorang artis itu biarpun baik mahupun buruk.

Maksud saya mengenai hak peribadi itu adalah apabila sesetengah perkara saya boleh kongsikan dengan peminat.

Bagaimanapun, selebihnya dijadikan hak privasi terutama berkaitan soal cinta mahupun perkara peribadi.

Berita berbaur kontroversi nampaknya silih berganti melanda anda. Adakah itu salah satu strategi untuk mempopularkan diri?

Jelas sekali, perkara itu tidak benar kerana saya ingin peminat mahupun penggiat seni menilai mutu kerja berdasarkan bakat dan bukannya kontroversi.

Sejujur setelah hampir tujuh tahun bergiat dalam industri hiburan, kejadian seperti ini pertama kali berlaku. Sebelum ini, kisah cinta saja yang sering mendapat perhatian berbeza dengan sekarang. Mungkin khalayak mula mengenali saya dan disebabkan itu perkara tersebut muncul.

Menurut anda, mengapakah perkara sebegini berlaku?

Sukar untuk dijelaskan kerana saya sendiri tidak mengetahui apa puncanya. Saya mengharapkan agar masyarakat tidak tersalah tafsir mahupun menyamakan saya dengan setiap watak yang dibawa dalam drama.

Tidak semestinya watak yang dilakonkan itu adalah diri saya yang sebenar. Sebagai pelakon, itu adalah tugas saya untuk melakonkan karakter yang diberikan mengikut kesesuaian naskhah.

Adakah perkara sebegitu menjejaskan kerjaya anda?

Sukar untuk dikatakan sama ada perkara itu menjejaskan atau tidak kerana pada saya tumpuan pada kerjaya itu adalah penting. Bagaimanapun, sebagai langkah untuk mempelbagaikan karakter yang dibawa, saya mula menerima watak antagonis selepas hampir dua tahun membawa peranan baik.

Adakah anda merasakan watak antagonis mampu memberi impak besar pada kerjaya memandangkan ramai selebriti popular tempatan semakin dikenali selepas membawakan watak seumpama itu?

Setelah hampir sekian lama tidak membawa watak antagonis, saya merasakan telah tiba masanya untuk melakukan anjakan agar lebih variasi dalam karier lakonan saya.

Selain itu, saya juga bimbang sekiranya penggiat seni mula meragui kredibiliti saya kerana sering dilihat melakonkan watak air mata.

Apa yang saya lakukan itu bukan untuk mengejar populariti tetapi demi mengukuhkan portfolio seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post