KISAH cinta Nora Danish yang dikatakan akan berkahwin dengan kekasih hati, Mohamed Nedim atau lebih dikenali ramai sebagai Nedim pada tahun ini sudah cukup dihadami umum. Namun, kesibukan kerjaya aktres jelita itu sepertinya membataskan hasrat murni tersebut menjadi realiti.
Ironi, cinta pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 34, itu pernah diuji gelora. Tidak lama dahulu, hubungannya dengan Nedim pernah putus buat seketika,
Kata orang, walau digenggam kuat, andai sudah bukan jodoh seseorang, ia akan terlepas jua. Namun, jika ditolak ke tepi sekali pun, andai sudah ditakdirkan bersama, ia tetap kembali jua. Itulah yang dikatakan jodoh.
Situasi sama juga sedang dilalui oleh Nora dan Nedim.
Menyedari antara mereka belum ada ikatan rasmi, apatah lagi bergelar suami isteri, Nora membiarkan sahaja khalayak melemparkan persepsi tentang percintaan mereka,
Jika memang ditakdirkan jodoh itu milik mereka, maka bukan tugas manusia untuk menghakimi atau menentukan kerja Tuhan.
Ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Raya With Owl 2016 di Flora Terrace baru-baru ini, Nora tenang apabila disogok pertanyaan tentang perkahwinan.
“Memang saya merancang untuk berkahwin pada tahun ini dan rasanya semua orang sudah mengetahui perkara berkenaan.
“Cuma, buat masa sekarang saya sangat sibuk menguruskan bisnes tudung (Owl By Nora Danish) dan kafe (Kopi & Xoxo).
“Harap-harap sempatlah saya melunaskan janji untuk berkahwin tahun ini,” kata Nora.
Tertekan
Ditanya apakah keputusan tersebut benar-benar langkah tepat yang seharusnya ditunaikan pada tahun ini, pelakon yang terkenal menerusi sitkom Puteri itu mengakui, sebenarnya dia agak tertekan kerana selama ini persoalan tersebut sudah terlalu kerap disuakan ke mukanya.
“Isu kahwin ini sudah berlegar dalam hidup saya sejak enam tahun lalu iaitu selepas saya bercerai. Banyak juga isu lain yang diperkatakan ramai seperti berkunjung ke kelab malam. Sedikit sebanyak pengalaman lepas membuatkan saya lebih matang berdepan hari-hari mendatang.
“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, tahun ini juga saya ingin menamatkan zaman janda,” kata Nora.
Menyentuh tentang penglibatannya dalam lakonan yang dilihat tidak serancak sebagaimana tahun-tahun terdahulu, Nora mengakui, situasi tersebut sebagai satu persediaan melangkah ke ambang perkahwinan.
“Sepanjang tahun ini, memang saya tidak mengambil komitmen berlakon drama atau filem, barangkali selepas Hari Raya Aidilfitri saya akan kembali aktif berlakon.
“Pada masa sama, saya akan membuat persiapan untuk berkahwin. Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkahwinan saya nanti hanya akan diadakan dalam skala sederhana. Saya tidak mahu berlebih-lebih. Lebih baik dahulukan apa yang wajib, itu lebih afdal.
“Perkara yang baik tidak perlu dilambat-lambatkan,” tegasnya.
Ditanya tentang impian hari bahagianya kelak, Nora sempat meluahkan mahu menggayakan busana rekaan sendiri pada majlis pernikahannya.
Maju bisnes
Beralih ke topik perniagaan, setelah hampir enam bulan mencari rentak dalam pasaran, Nora bersyukur, jenama tudungnya Owl By Nora Danish semakin diterima ramai.
Dalam masa terdekat, sebuah butik dengan jenama tersebut juga akan mula beroperasi di Bangi, manakala kafe miliknya Kopi & Xoxo turut akan membuka cawangan baharu di lokasi yang sama.
“Alhamdulillah, saya ingin terus mengembangkan bisnes berlandaskan fesyen. Mungkin Tidak lama lagi saya akan hadir dengan jenama alat solek atau wangian sendiri. Insya-Allah,” ulasnya yang bercadang untuk melancarkan butik dan kafe tersebut menjelang akhir bulan ini.
Menariknya, sempena kedatangan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Nora turut memperkenalkan koleksi istimewa, Raya With Owl 2016.
Sehingga kini lebih 50 koleksi pakaian jenama tersebut boleh dibeli secara online atau berkunjung ke butik yang bakal dibuka kepada umum dalam masa terdekat di Bangi.
“Saya dan rakan kongsi bisnes yang lain benar-benar komited dalam perniagaan ini.
“Kami sanggup mengambil risiko terbang ke Iceland bagi menjalani sesi fotografi dan videografi istimewa koleksi berkenaan,” katanya yang mengakui terinspirasi daripada klip video lagu Gerua menerusi filem Dilwale yang dirakamkan di negara berkenaan.
Tambahnya: “Bagi memberikan yang terbaik untuk bisnes ini, saya memilih Iceland kerana tertarik dengan keindahan lokasi di sana. Harap peminat juga akan tertarik dengan produk saya sebagaimana mereka menyukai klip video berkenaan.”
Bagi Nora, menjadi seorang selebriti tidak menjamin masa depan yang cerah. Dengan ‘akses’ sebagai orang yang dikenali ramai, dia perlu melakukan sesuatu yang lebih menjamin masa depan.
“Bagi saya, jumlah pengikut di laman sosial yang ramai seperti Instagram perlu dimanfaatkan. Bisnes adalah salah satu jalan untuk mengembangkan potensi diri. Jadi, kena pandai rebut peluang,” tutup Nora.