Uqasha enggan gaduh soal remeh


PELAKON berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini serik selepas ditipu rakan kongsi dalam perniagaan tudung jenamanya.

Enggan lagi mengenang kemelut pergaduhannya dengan Hafidz Roshdi, pelakon cantik Uqasha Senrose bersikap profesional dan kembali bekerjasama dengan bekas heronya dalam drama Tundukkan Playboy Itu.

Kerjasama kedua-dua mereka terjalin tatkala dipilih sebagai duta Kempen Ramadan dan Raya untuk stesen TV3 dan TV9 baru-baru ini.

Malah, kakak kepada Nelydia Senrose itu juga tidak kisah andai mereka kembali bekerjasama dalam mana-mana drama.

“Saya okey apabila diberitahu kami sama-sama terlibat sebagai duta Kempen Ramadan dan Raya TV3 dan TV9. Bagi saya, tidak ada lagi isu yang perlu dibangkitkan.

“Walaupun dia tidak meminta maaf, itu tidak bermakna saya perlu bermasam muka dan mengelak untuk digandingkan dengannya. Saya juga tiada masalah andai kami digandingkan sekali lagi dalam drama, tetapi terpulanglah kepada dia jua,” ujar Uqasha kepada Sensasi Bintang.

Perang antara Uqasha dan Hafidz mula tercetus selepas Uqasha memuat naik status seolah-olah memerli tunang Hafidz (kini isteri) dan mendakwa wanita itu cemburu dengan gandingan mereka.

Berang dengan status Uqasha itu, Hafidz kemudian menyelar pula pelakon itu dengan memuat naik status di laman Instagramnya.

Kurus mendadak

Dalam pada itu, ditanya mengenai berat badannya yang dilihat semakin susut, tanpa berselindung, kata Uqasha, kontroversi yang terjadi sedikit sebanyak menjadi punca selain jadual lakonan yang padat.


Berat badan Uqasha kini susut disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon.

“Sebagai manusia biasa, saya juga tertekan dengan kontroversi yang melanda. Cuma, ia hanya sedikit. Selebihnya mungkin kerana terlalu sibuk berlakon tanpa henti bermula hujung tahun lalu lagi. Jadi, makan tak jaga dan tidurpun tak cukup. Paling mendadak, berat badan saya turun ketika berlakon teater Ombak Rindu,” luahnya yang kini memiliki berat badan sebanyak 44 kilogram berbanding 52 kilogram sebelum ini.

Selain itu, pelakon 25 tahun itu juga mendedahkan, dia tidak lagi meneruskan perniagaan tudung bawah jenama Uqasha Senrose Collection yang dilancarkan pada September tahun lalu kerana ditipu rakan kongsinya.

Semuanya terjadi selepas keuntungan yang diperolehnya hanya sedikit berbanding pembahagian sama rata seperti yang telah dijanjikan.

“Selama sembilan bulan perniagaan dijalankan, saya hanya memperoleh sebanyak RM5,000. Dia juga sering memberitahu jualan tidak bagus, selain memberi pelbagai alasan apabila saya bertanya tentang perniagaan kami.

“Saya mula sangsi dan meminta salinan pendaftaran syarikat sebelum mendapati nama saya tiada sebagai rakan kongsi,” ujarnya yang kecewa kerana mempercayai individu terbabit.

Jelas Uqasha, dalam pada ramai yang menawarkannya peluang perniagaan, dia tertarik untuk bekerjasama dengan individu tersebut kerana kesungguhannya. Malangnya, individu itu hanya menggunakan namanya.

“Saya reda dengan apa yang terjadi. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati untuk menjalankan bisnes supaya tidak ditipu lagi,” ujar Uqasha yang enggan mendedahkan nama individu terbabit termasuk juga jumlah pelaburan dan kerugian yang terpaksa ditanggungnya.

Malah, kata Uqasha, dia bercadang untuk memulakan jenama baharu dan akan mengusahakan sendiri perniagaan tudung tanpa melibatkan pihak lain.

Post a Comment

Previous Post Next Post