Hafidz, Amar duta Syukur Selalu


Populariti dan wajah menawan mudah menarik minat mata dan hati untuk tertawan. Selebihnya terpulang bagaimana corak-corak komersial menjadi penyumbang impak kepada rating sesebuah program yang dijalankan.

Menyedari hakikat itu, dua stesen popular TV3 dan TV9 mengambil langkah menampilkan enam duta terdiri daripada artis-artis popular sempena Kempen Ramadan dan Raya mereka pada tahun ini.

Mengangkat tema yang sama iaitu Syukur Selalu untuk tahun ini, enam duta yang dipilih merupakan Uqasha Senrose, Fattah Amin, Hafidz Roshdi, Janna Nick, Fasha Sandha, Amar Asyraf dan Raja Afiq.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Nordin, pemilihan duta Syukur Selalu pada tahun ini adalah berdasarkan populariti mereka.

“Selain populariti, duta-duta yang dipilih juga adalah menerusi penglibatan mereka dalam drama-drama sepanjang Ramadan. Sementara Raja Afiq pula dipilih kerana ia merupakan pelakon pelapis yang dicungkil bakatnya menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2014 (DFKL2014).

“Ada lagi beberapa artis popular yang dalam pemilihan kami tetapi mereka tidak dapat memberikan kerjasama disebabkan kesibukan kerja,” jelasnya yang berharap enam duta yang dipilih dapat memberi promosi mengenai penglibatan mereka melalui media-media sosial masing-masing.

Kata Sherina lagi, keenam-enam duta tersebut akan terlibat dalam semua program yang diaturkan dua stesen itu termasuk aktiviti padang yang menerapkan tiga segmen utama iaitu Famili, Ilmu dan Amal Jariah.


Dari kiri, Raja Afiq, Fattah Amin, Amar dan Hafidz yang dilantik sebagai duta acara Syukur Selalu.

“Mereka bakal menjayakan siri promosi kempen di skrin televisyen, papan iklan, pesanan khidmat masyarakat dan juga turun padang ke dua aktiviti padang iaitu bazar Syukur Selalu serta Jom Masjid.

“Nantikan juga tiga iklan pendek Syukur Selalu iaitu Famili, Ilmu dan Amal Jariah yang dilakonkan barisan duta kami bermula 6 Jun ini,” ulas Sherina.

Ikon golongan belia

Biarpun pada awalnya, Hafidz Roshdi bercadang untuk berehat sepanjang Ramadan ini daripada sebarang aktiviti lakonan, namun atas pemilihannya sebagai duta Syukur Selalu buat pertama kalinya, dia akur.

“Kalau ikutkan bulan puasa, saya tak mahu buat sebarang aktiviti seni sebab nak menyambut puasa bersama isteri tetapi disebabkan komitmen sebagai duta ini, saya terima dan akan turun padang di semua lokasi,” akuinya yang sah bergelar suami kepada Nurul Shuhada Mat Shukri pada 30 April lalu di kediaman wanita tersebut di Perlis.

Hafidz dan lima lagi duta Syukur Selalu akan mengikuti Bazar Syukur Selalu yang akan berlangsung di dua lokasi iaitu pekarangan Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah pada 11 Jun dan Angsana Johor Bahru pada 18 Jun depan.

Mereka juga akan mengikuti Kempen Jom Masjid yang menyediakan moreh untuk pengunjung termasuk aktiviti ilmiah seperti rakaman program Al-Kuliyyah, bacaan ayat suci al-Quran, tazkirah, solat Isyak, bertarawih serta sesi tadarus di dua lokasi iaitu Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar, Perak (22 Jun) dan Masjid Cina Al Muttaqim, Krubong, Melaka (26 Jun).


Duta-duta Syukur Selalu dari kiri, Raja Afiq, Fattah Amin, Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Amar dan Hafidz.

“Sebagai ikon golongan belia, saya berharap dapat menarik golongan tersebut menghadiri aktiviti-aktiviti yang dijalankan nanti,” ujarnya yang turut berharap dapat menunaikan tarawih buat pertama kalinya bersama isteri.

Duta kali kedua

Bagi Amar Asyraf pula, dia menganggap pemilihannya sekali lagi sebagai duta untuk Kempen Ramadan dan Raya dua stesen berkenaan sebagai satu rezeki.

“Bukan sebab anak emas atau artis kegemaran mereka. Sebaliknya saya anggap ia sebagai rezeki,” ulas Amar tatkala disoal mengenai pemilihannya itu.

Menurut Amar, selain turun ke lokasi-lokasi Bazar Syukur Selalu dan Jom Masjid, dia juga terlibat dalam iklan pendek berjudul Ilmu untuk dua stesen berkenaan.

“Iklan yang turut menampilkan Janna Nick dan Hafidz itu mengisahkan kecerdikan dan kesungguhan saya dalam menjalankan bisnes baju raya, manakala Janna pula seorang peniaga tudung yang tidak pandai untuk memikat hati pelanggan.

“Maka, saya tidak lokek ilmu untuk membantu Janna melariskan jualannya. Akhirnya mereka berdua bergabung untuk memberikan pakej hebat kepada Hafidz yang ingin membeli baju raya dan tudung buat keluarganya,” jelas Amar yang bakal muncul menerusi drama Muazzin di Skrin Di 9 pada 27 Jun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post