Bicara cinta, kerjaya Siti Saleha


WANITA ini sememangnya cantik. Apatah lagi memiliki darah campuran, tidak keterlaluan jika mengatakan seringkali dirinya dianggap seperti Minah Salleh. Berkulit putih mulus, tinggi dan rupawan, itu sudah menjadi pakej lengkap yang diidamkan rata-rata wanita yang dimiliki si empunya nama Siti Saleha.

“Ada beza kalau muka saya disolek dan tidak. Kalau selepas wajah disolek orang kata baru nampak wajah macam orang Melayu sedikit,” celah pelakon yang kini sudah menginjak usia 26 tahun itu ketika ditata rias jurusolek popular, Nadia Ismail.

Sememangnya bukan mudah untuk bertemu dengan pelakon filem Langit Cinta itu. Ini kerana, jadual kerjanya boleh dikatakan agak padat.

Bahkan sesi fotografi untuk edisi muka depan Sensasi Bintang pada hari itu juga bagaikan sebuah perjumpaan semula bersama rakan-rakan lama. Banyak yang Saleha borakkan terutamanya bersama Nadia yang barangkali sudah lama tidak bersua muka.

“Maklumlah orang itu sekarang sibuk. Susah nak dapat dia kalau mahu panggil solek kita,” usik manja Saleha kepada Nadia.

Daripada raut wajah Saleha, sememangnya jelas terpancar raut bahagia. Bahkan, bibirnya juga tidak lekang daripada asyik menguntum senyuman juga. Sesekali kesunyian bilik persediaan dihiasi gelak tawanya.

Soal hati

Melihat dirinya itu, sesiapa pun pasti merasakan Saleha kini di ambang bahagia. Barangkali hatinya sudah terisi kembali dengan cinta selepas episod duka bersama jejaka Eropah yang dibina selama dua tahun lenyap sekitar awal tahun ini.

Terbaharu, heroin drama Uda dan Dara itu dikatakan sedang mengenali hati budi seorang lelaki Melayu. Cumanya, ramai yang tertanya-tanya siapakah lelaki yang berjaya membawa kembali senyuman wanita yang juga adik kepada Sam Bunkface itu.

Membiarkan identiti itu menjadi teka-teki, Saleha memilih untuk tidak terlalu mendedahkan perihal cinta. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud dia cuba menafikan perasaan dan perihal hati yang dialaminya itu.


Bagi Siti Saleha, menang anugerah adalah sebagai batu loncatan untuk terus menempa kejayaan.

“Kalau orang tanya sama ada saya mempunyai hubungan dengan seseorang, saya akan beritahu ya memang ada. Saya tidak akan menidakkan hal itu. Jika saya kata tidak, itu sudah hipokrit, malah tidak adil kepadanya (pasangan).

“Saya seorang yang cukup menjaga hal berkaitan peribadi. Kalau tengok di laman sosial juga, saya sangat menjaga privasi,” ujarnya ketika ditebak dengan soal cinta.

Menurut Saleha, jika dia sudah betul bersedia untuk mengakhiri zaman bujang, perkara itu akan diumumkannya.

“Kalau boleh, saya tak mahu kongsi sangat. Tunggulah sehingga masanya tiba. Itu memang objektif saya. Kalau saya tahu akan berkahwin dengannya, saya akan kongsikan,” luahnya.

Jelasnya, perihal jodoh itu bergantung kepada suratan dan takdir. Bahkan, ia juga bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa.

“Apabila bercakap mengenai kehidupan peribadi, ia tidak boleh dipaksa. Jika itu yang sudah tertulis untuk kita, itulah yang kita akan miliki.

“Kalau saya mahu cari cinta, rasa okey dengan (perhubungan) itu, okeylah. Jika gembira dengannya, mahu berkahwin, kita teruskan,” luahnya yang lebih selesa untuk bercakap perihal kerjaya.

Pengiktirafan, kerja amal

Mengenepikan soal hati dan cinta, tahun ini fokus Saleha tertumpu kepada kerjayanya. Justeru, sebolehnya dia mahu pergi lebih jauh ke peringkat lebih tinggi. Tidak mahu terus berasa selesa dengan apa yang sudah dimilikinya.

“Semua pelakon sudah pasti mahukan pengiktirafan. Mahu menang anugerah pilihan daripada orang ramai. Bagaimanapun, lagi seronok kalau kita dapat menang anugerah berdasarkan panel juri. Saya tidak pernah lagi menang Festival Filem Malaysia (FFM). Saya sasarkan untuk pengiktirafan di FFM pula.

“Apapun, saya rasa bertuah juga sebab pernah dalam kategori Pelakon Harapan Wanita di FFM. Satu petanda yang bagus jika memang kerana ia menjadi batu loncatan kepada kita. Cuma, kalau boleh tak mahu di Malaysia sahajalah. Sebab itu saya selalu letakkan sasaran lebih tinggi,” kata pemenang Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular 2015 itu.

Menurut Saleha, tidak terhad kepada dunia lakonan semata-mata, dia juga kini terlibat dengan kerja amal apabila dilantik sebagai duta bagi projek perlindungan alam sekitar menerusi program di bawah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, IM4U.



“Saya hanya fikir mahu berikan sesuatu semula kepada masyarakat dan alam semula jadi. Jadi, saya ada menyertai Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap di Kota Kinabalu, Sabah untuk belajar mengenai kepentingan paya bakau.

“Bahkan, saya juga terlibat dengan kerja-kerja penanaman semula pokok di kawasan Hutan Simpan Tasik Sulaman, Kota Kinabalu, Sabah minggu lalu,” kongsinya yang mengakui banyak menimba ilmu baharu menerusi penglibatannya dalam projek amal yang turut melibatkan 30 sukarelawan Universiti Malaysia Sabah itu.

Katanya, program itu juga selari dengan sebuah lagi projek larian amal Reach Out Run yang akan disertainya bagi mengumpul dana bagi disumbangkan kepada badan-badan terpilih.

“Program larian amal itu akan berlangsung pada 24 Julai depan di Putrajaya. Saya sendiri akan turun padang berlari bersama-sama orang lain,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, menurut Saleha, dia juga ada terfikir untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Saya ada terfikir untuk buat sesuatu ke arah bisnes pula. Saya tak pasti, cuma apa yang terlintas, mungkin mahu buka restoran atau kedai pastri,” kongsinya ketika ditanya mengenai perancangannya selain lakonan.

Post a Comment

Previous Post Next Post