Syalyn percaya kemampuan diri


SYALYN mengharapkan taruhan single pertama berjudul Sejarah Cinta mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat.

MEMILIH genre muzik rock sebagai material utama demi memperjuangkan bakat dan minat dalam lapangan bidang seni mempertemukan lima jejaka tanpa mengenali antara satu sama lain berdiri atas nama Syalyn.

Kumpulan Syalyn yang ditubuhkan pada awal tahun 2015 membariskan Mohd. Muiz Dauliah, 29, (pemain bass), Muhd. Azrul Sani, 7, (pemain keyboard), Muhammad Khairil Adha , 25, (vokalis), Mohd. Nurfariq Abd. Ghaffar, 35, (pemain dram) dan Mohammad Arif Mat Hassan, 23, (pemain gitar).

Mempertaruhkan single pertama berjudul Sejarah Cinta dengan menggabungkan elemen rock dan balada, Syalyn mengharapkan lagu tersebut berjaya memikat hati para pendengar muzik tempatan.

Lagu tersebut dihasilkan Fariq selaku pemain dram manakala lirik digarap Odey Petra mula diputar di corong-corong radio.

Memuat naik klip video lirik lagu Sejarah Cinta di laman perkongsian video, YouTube, Syalyn bersyukur dan gembira apabila taruhan pertama mereka mendapat sambutan positif daripada peminat.

“Sambutan yang diberikan peminat amat positif. Ini menjadikan kami lebih bersemangat untuk terus berkarya serta berjuang dalam dunia seni muzik.

“Tambahan, lagu seperti ini jarang diputarkan di radio disebabkan perubahan dunia muzik sehingga menjadikan beberapa karya yang sebelum ini mendapat sambutan berkubur begitu sahaja,” kata Fariq.

Biarpun lagu berentak slow rock kini mula dilupakan dan kurang mendapat perhatian peminat berbanding era 80-an dan 90-an, Syalyn tidak menjadikan itu sebagai halangan.

Mereka yakin karya seperti itu mempunyai pengikutnya tersendiri.

“Kami yakin bahawa lagu genre slow rock masih mampu dijadikan santapan buat halwa telinga. Lagipun, irama seperti ini mempunyai peminat tersendiri,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Bersemangat untuk terus berkarya, Syalyn bagaimanapun mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan lagu Sejarah Cinta kerana ingin mengenali antara satu sama lain dan melihat keserasian ahli kumpulan sebelum membuat sebarang keputusan.

Mementingkan disiplin sewaktu membuat latihan dan saling menghormati, Syalyn ingin memastikan setiap ahli bebas daripada kegiatan penyalahgunaan dadah mahupun rekod jenayah.

Selain itu, sepanjang tempoh tersebut, mereka terlebih dahulu membuat latihan dan memahirkan diri bermain instrumen serta mengkaji keinginan peminat sebelum tampil dengan lagu Sejarah Cinta.

Belajar berdikari

Yakin dengan kebolehan sendiri, kumpulan Syalyn mengakui selesa menghasilkan lagu sendiri serta tidak mengharapkan bantuan komposer luar.

Tidak bermaksud berasa angkuh mahupun berlagak sombong, Syalyn terlebih dahulu ingin mengetahui kebolehan diri sebelum bergantung harap kepada komposer lain yang pastinya memiliki banyak pengalaman.

“Kami ingin mengetahui kemampuan diri serta belajar berdikari sebelum menerima sebarang lagu daripada komposer luar.

“Bukan bermakna berlagak, tetapi sebagai kumpulan baharu adalah lebih baik kami mempelajari selok-belok industri hiburan tempatan terlebih dahulu,” tutur Muiz optimis.

Biarpun cuba untuk menghasilkan lagu sendiri, Syalyn tetap mengamalkan sikap terbuka sekiranya ada pihak sudi bekerjasama dengan mereka.

Berusaha menghasilkan lagu sendiri, Syalyn kini dalam tempoh mengumpul material baharu untuk menghasilkan single kedua berjudul Aku Suka Kamu yang mahu dilancarkan pada tahun hadapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post