Pandora ingin cipta kelainan


DARI KIRI: Fizi, Anep, Nine, She, Alan dan Hariz, Pandora kini melancarkan single kedua berjudul Cerita Cinta.

MEMILIH wanita berhijab sebagai vokalis utama, band Pandora menjadikan kelainan yang dimiliki itu sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk bernafas dalam industri hiburan tempatan.

Tampil dengan single kedua berjudul Cerita Cinta, Pandora dianggotai oleh She (Vokalis), Anep (pemain dram), Fizi (pemain gitar) Haris (pemain keyboard), Nine (pemain bass) dan Alan (pemain gitar).

Jika sebelum ini Pandora muncul menerusi single pertama berjudul Diari April dengan mengetengahkan genre rock alternatif kini mereka mula mengubah haluan kepada rentak balada.

Dihasilkan sepenuhnya oleh vokalis Pandora sendiri, Cerita Cinta memiliki kisahnya tersendiri yang terselindung di sebalik bait-bait lirik lagu tersebut.

“Usaha untuk menghasilkan lagu ini bermula sejak 2014. Namun, ketika itu hanya melodi sahaja yang berjaya digubah sehinggalah bertemu dengan seorang rakan yang kecewa dalam percintaan.

“Jadi bermula daripada itu saya menceritakan semula ke dalam lagu menerusi lirik lagu Cerita Cinta,” kata She sewaktu berkongsi kisah inspirasinya.

Memilih untuk mengubah kompas haluan muzik mereka, Pandora mengakui pendengar masa kini lebih tertarik kepada genre balada.

Bermula dari detik itu, idea menghasilkan Cerita Cinta mula tercipta dengan mendapat sentuhan magis pemuzik dari kumpulan Akim & The Majistret, Gigie dan DJ Pop Shuvit untuk proses susunan string agar dapat menghasilkan muzik terbaik sewaktu mixing dan mastering.

Mula diputarkan di corong-corong radio, Cerita Cinta tidak hanya mendapat perhatian di Malaysia sementelah ia diangkat sebagai lagu runut bunyi (OST) drama rantaian Intern 2 di Singapura.

Tidak menduga berpeluang melebarkan ke negara Kota Singa itu, Pandora yakin peluang tersebut menjadi titik awal buat mereka menghasilkan album penuh.

Biarpun berusaha sehabis daya untuk memuaskan hati peminat, wujud segelintir pihak yang menyamakan lagu Cerita Cinta itu dengan karya muzik dari negara Indonesia.

Sukar untuk melarikan diri daripada kritikan, segala tanggapan negatif itu tidak menjadi kudis sehingga mampu mematahkan semangat mereka.

“Kami mengambil segala pendapat tidak mengira sama ada positif atau negatif dengan hati terbuka termasuk pandangan mengatakan lagu itu menyamai karya dari negara Indonesia.

“Sukar untuk diklasifikasikan muzik itu berasal daripada mana kerana ia bersifat universal. Jika kedengaran sama itu bermakna karya tempatan mampu setaraf dengan negara luar,” tutur Anep selaku ketua kumpulan.

Pandai bahagi masa

Menjadi satu-satunya wanita dalam kumpulan tersebut, She atau nama lengkapnya, Nurashida Azli memberitahu statusnya sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan dirinya untuk bergelar penyanyi.

“Dunia seni suara bukan perkara baharu, sementelah sebelum ini saya sering membuat persembahan nyanyian pada majlis korporat dan acara tertentu.

“Bagaimanapun perkara paling penting ialah pandai membahagikan masa. Saya perlu tahu pada waktu mana perlu diberi tumpuan pada keluarga, latihan atau persembahan,” katanya.

Tambah She, pekerjaannya menjadi lancar juga disebabkan suami dan anak-anaknya banyak memberi sokongan serta galakan kepadanya untuk berjuang sehabis baik.

Disebabkan itu, ibarat orang mengantuk disorong bantal, She berkata dia pantas menerima tawaran menjadi sebahagian daripada Pandora sekali gus bergelar vokalis kumpulan tersebut sejak ditubuhkan pada tahun 2014.

Post a Comment

Previous Post Next Post