SETELAH hampir dua bulan bercerai dengan bekas suami, Syanie mengakui hidupnya kini kembali tenang.
STATUS rumah tangga pelakon bertubuh gempal, Syanie pernah menjadi topik perbualan hangat lebih sebulan lalu. Semuanya terjadi apabila bekas suaminya, Nadi Putera Mohd. Zainol menukar status di Facebook, daripada berkahwin menjadi solo.
Pengumuman secara senyap-senyap yang seolah-olah cuba memberitahu sesuatu tersebut telah menimbulkan seribu satu persoalan kepada banyak pihak. Inginkan kepastian berhubung perkara berkenaan, media cuba mendapatkan penjelasan daripada Syanie, 42, atau nama sebenarnya Syaniza Hisham.
Semua soalan yang diajukan kepadanya ditolak dengan alasan akan berkongsi kepada umum setelah benar-benar bersedia kelak. Selepas agak lama mengunci bicara, Syanie akhirnya mengesahkan perkahwinannya dengan Nadi Putera yang dibina sejak 1 Mac 2014 telah pun berakhir.
Menurut Syanie, mereka sah bercerai talak satu pada 23 Februari lalu.
Kembali menjanda, perpisahan tersebut menjadi perceraian kedua dalam hidup Syanie yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd. Attirmidi Abdul pada 1996 dan bercerai pada 2002.
KOSMO!: Boleh jelaskan apa yang buat Syanie terbuka berkongsi kisah perceraian kepada masyarakat?
SYANIE: Sebenarnya, saya sekadar menjawab persoalan ramai tentang status perkahwinan saya. Ramai yang bertanya tentang hal tersebut, jadi hanya satu jawapan yang boleh diberikan iaitu memang benar kami sudah bercerai.
Boleh kongsikan punca penceraian tersebut, adakah ia berkaitan dengan dakwaan sikap bekas suami tidak menghargai anda sebagai isteri?
Tiada apa yang perlu diperkatakan lagi, cukuplah sekadar masyarakat tahu bahawa saya sudah bercerai. Banyak sangat spekulasi umum disebarkan sebelum ini, jadi saya sudah malas hendak memikirkannya.
Bagaimana pula dengan penukaran status berkahwin kepada solo yang dibuat bekas suami menerusi Facebook, adakah anda berasa dia sengaja memanjangkan hal berkenaan?
Penukaran status itulah yang mencetuskan banyak persoalan ditujukan kepada saya. Itu merupakan hak dia, jadi terpulang kepada dia hendak buat apa sahaja.
Bagaimana reaksi anda mengenai bermacam-macam komen termasuk berbau positif dan negatif yang dilontarkan pelbagai pihak mengenai rumah tangga anda?
Sebenarnya saya agak tertekan, sebab itu saya tidak pernah menjaja kisah peribadi kepada umum. Seperti sedia maklum, saya bukan jenis orang yang suka menghebohkan sesuatu perkara. Apabila keluar cerita begini, saya rasa tidak selesa. Mereka tidak tahu pucuk pangkal, tetapi secara tiba-tiba mahu bercakap perkara yang bukan-bukan.
Anda ada membuat kenyataan tidak mahu memaafkan pihak yang telah membuat fitnah?
Bukan niat saya tidak mahu memaafkan, tetapi komen-komen yang diterima ada yang sampai ke tahap kurang sopan. Jadi, saya rasa tidak perlu untuk memaafkan orang sebegitu. Saya terkilan kerana mereka mengutuk sedangkan mereka tidak mengenali saya secara peribadi. Mereka juga tidak berada di tempat saya.
Selepas lebih dua bulan berpisah dengan Nadi Putera, bagaimana hubungan kalian berdua?
Kami memang sudah tidak berhubung, bagaimanapun hubungan dengan bekas keluarga mertua masih baik. Setelah hal perceraian kami dicanang pelbagai pihak, saya risau ia akan menyinggung perasaan dan menimbulkan salah faham.
Apa harapan anda selepas mengesahkan status perceraian tersebut?
Saya mahu harap kisah perceraian itu tidak perlu lagi dibesar-besarkan. Ia sudah berlalu dan hidup saya kini semakin tenang. Cukuplah setakat ini sahaja. Saya mahu fokus dengan kerja seni iaitu menghiburkan khalayak.