KUMPULAN Ukays terkini dibarisi dari kiri: Well, Azrul, Amy, Ady (vokalis baharu) dan Ali.
SUDAH lama tidak mendengar khabar berita mengenai kumpulan Ukays. Tidak kurang juga ramai menyangka kumpulan yang pernah popular sekitar tahun 1990-an itu telah berkubur selepas pengunduran vokalis utamanya, Amir sejak 1997 lalu.
Bagaimanapun, kumpulan Ukays yang pernah berhadapan dengan konflik dalaman sehingga membawa kepada pertukaran nama kumpulan dan anggota masih kekal utuh sehingga ke hari ini. Pernah dikenali dengan nama Ukay, Ukays, U.K’S dan kini kembali kepada Ukays, perjuangan diteruskan dengan Amy (gitar) serta dua lagi anggota asal iaitu Mohd. Komanwel atau Well (gitar) dan Mohamad Ali (dram).
Melengkapkan kumpulan Ukays adalah penyertaan seorang penyanyi muda, Ady selaku vokalis serta Azrul yang merupakan pemain bass undangan.
Biarpun tanpa Amir mereka yakin, kumpulan yang pernah popular dengan lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu tetap akan meraih sokongan peminat.
Justeru, mereka bertekad membuat kemunculan semula sempena ulang tahun ke-27 kumpulan Ukays yang diadakan baru-baru ini. Bersama gabungan anggota asal dan baharu, Ukays kembali bernyawa.
“Sebenarnya kami merancang untuk kembali bergabung sejak empat tahun lalu, namun hasrat itu tergendala kerana pemain bass, Din jatuh sakit dan meninggal dunia pada 2014.
“Kami tidak dapat kembali bergabung dengan Amir kerana dia sendiri pernah mengeluarkan kenyataan enggan bersama Ukays,” kata Well.
Namun, usaha untuk kembali ke pentas seni berhasil selepas mereka mengadakan uji bakat mencari vokalis baharu kumpulan Ukays. Selepas mengadakan empat sesi uji bakat, akhirnya mereka bertemu dengan penyanyi Ady. Keunikan vokal tinggi Ady menyebabkan dia terpilih untuk bersama kumpulan tersebut.
“Mulanya peminat tidak bersetuju kami menggantikan vokalis Ukays dengan orang lain kerana mereka telah terbiasa dengan vokal Amir. Selepas kami kerap mengadakan persembahan di karnival, akhirnya peminat mula menerima Ady kerana mutu vokalnya memang bagus,” ujar Amy.
Kontroversi
Apabila diminta mengulas tentang isu dilarang menggunakan nama dan lagu Ukays, Amy berkata, pihaknya tidak tahu bagaimana perkara berkenaan boleh timbul.
“Sebelum ini kami menerima surat peguam yang melarang menyanyikan lagu Ukays sehingga satu persembahan terpaksa dibatalkan. Walhal kami mendapat kebenaran daripada pihak Universal Music yang memegang hak lagu Ukays.
“Sepatutnya tidak timbul sebarang isu kerana kami juga anggota kumpulan Ukays. Selama 19 tahun tanpa album, apa salah kami jumpa peminat? Kami hanya ingin memeriahkan industri muzik, tiada langsung niat untuk bermusuh dengan sesiapa termasuk Amir,” tegas Amy.
Bukan itu sahaja, usaha untuk mengharumkan kembali nama kumpulan Ukays dengan mengadakan persembahan di tapak-tapak karnival turut menerima kecaman pelbagai pihak terutamanya orang di dalam industri muzik sendiri.
Kata Amy, mereka mengadakan persembahan di merata-rata tempat bukanlah untuk menjatuhkan taraf kumpulan berkenaan, sebaliknya ia satu strategi bagi menaikkan kembali nama Ukays.
“Apabila lama tidak aktif, adalah sesuatu yang mustahil untuk kumpulan Ukays mendapat persembahan di tempat berprestij secara tiba-tiba. Oleh itu, kami berusaha dari bawah dan cuba mendaki kembali. Tujuannya bukan untuk popular seperti dahulu, tetapi bagi mengubati kerinduan peminat terhadap Ukays,” katanya.
Bagi mengubati kerinduan peminat, mereka yang telah melahirkan album kompilasi, U.K’S Kembali Berbisa pada 2011 dan bakal muncul dengan album terbaharu berjudul Ukays Masih Berbisa pada Ogos nanti.