EMOSI - Mia Ahmad cukup beremosi apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Aktres Terbaik dan Wanita Anggun Pilihan Dnars APO 2016.
Gosip cintanya dengan aktor gandingan dalam drama popular Hati Perempuan, Saharul Ridzwan akhirnya reda. Tidak menunggu sehingga bertahun lamanya, kini hati Mia Ahmad dikatakan sedang ditawan lelaki baharu.
Dia didakwa mempunyai hubungan rapat dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi. Hubungan tersebut mula dihidu peminat apabila pemain bola itu meraikan sambutan hari lahir Mia pada Februari lalu.
Bertemu dengannya pada majlis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, wanita berusia 28 tahun itu tidak berjaya menyembunyikan senyum manisnya apabila diminta mengulas khabar angin tersebut.
Enggan menjadi hipokrit Mia dengan tenang mengakui bahawa dia sememangnya mengenali pemain bola sepak yang diperkatakan itu. Bagaimanapun hubungan mereka masih berada pada tahap kawan, bukannya pasangan kekasih seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
“Saya tidak mahu bersikap hipokrit menafikan perkara yang betul. Namun, rasanya masih terlalu awal untuk mengumumkan bahawa saya bercinta dengan mana-mana lelaki.
“Bagi saya, soal hati dan perasaan sangat peribadi. Sejujur-jujurnya kami memang sedang berkawan, tetapi belum sampai ke tahap bercinta,” tegasnya yang telah mengenali Izham sejak setahun lalu.
Kata Mia, hubungan mereka tidak berlanjutan ke fasa lebih serius memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja.
“Memang kami sudah mengenali antara satu sama lain, tetapi hubungan itu tidak ke peringkat serius kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan tidak ada masa untuk mengenali hati budi dengan lebih mendalam,” ujar Mia.
Sungguhpun Mia menafikan memiliki hubungan istimewa dengan pemain bola JDT itu, pandangan khalayak pula sebaliknya apabila Izham dilihat membuat kejutan pada majlis ulang tahun ke-28 pelakon tersebut pada Februari lalu.
Menjawab persoalan tersebut, Mia tidak dapat menolak sangkaan umum bahawa tindakan Izham itu jelas menunjukkan adanya ikatan istimewa antara mereka.
“Cara dia meraikan hari lahir saya menyebabkan orang berfikir ke arah itu (kami pasangan kekasih), mungkin kerana dia juga seorang dikenali ramai, jadi perkara tersebut menarik perhatian.
“Jika diikutkan, ada lagi individu lain yang membuat kejutan pada hari lahir saya, namun orang tidak perasan dan buat tidak kisah,” katanya sambil mengakui bahawa Izham seorang lelaki yang budiman.
Janji Mia, meskipun soal cinta merupakan perkara peribadi, dia tetap akan berkongsi dengan peminat dan media jika hubungan berkenaan sudah berada pada tahap serius.
Bercakap tentang hubungan serius sehingga membawa ke fasa perkahwinan, Mia bagaimanapun belum terfikir ke arah tersebut.
“Jika benar saya sedang bercinta, saya akan kongsi dengan semua. Apa yang pasti, soal perkahwinan tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Fokus saya kini hanyalah kerjaya,” jelas Mia yang mengharapkan kehidupan peribadinya tidak menjadi fokus peminat.
Hilang 1.3 juta pengikut
Menyentuh tentang karier yang semakin bersinar, Mia terkilan apabila akaun Instagram yang mempunyai 1.3 juta pengikut digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tidak berakhir di situ, selang seminggu selepas akaun keduanya diwujudkan dan memiliki sekitar 10,000 pengikut, sekali lagi ia digodam.
Kecewa dengan apa yang berlaku, Mia pernah berniat untuk menutup akaun laman sosial tersebut. Namun, selepas berfikir panjang, dia membuka sebuah lagi akaun Instagram buat kali ketiga pada Jumaat minggu lalu dengan menggunakan nama
@thisismiaahmad.
“Semasa mula-mula Instagram digodam, terduduk juga saya. Saya mencuba pelbagai cara untuk menyelamatkan akaun tersebut, namun tidak berhasil.
“Saya dengar ada artis lain terkena perkara sama, sampai ada yang menangis. Setakat ini, saya belum menangis cuma geram dan kecewa,” luahnya.
Benar, ia hanya Instagram, namun perbuatan pihak tidak bertanggungjawab tersebut membuatkan Mia kerugian.
Masakan tidak, Instagram merupakan jambatan untuk berkomunikasi dengan peminat selain mempromosikan aktiviti seni.
“Ruginya ialah daripada aspek kerja kerana sukar untuk saya mempromosikan perkembangan terkini dan meneruskan kerjasama yang telah dibuat dengan pihak tertentu,” kata Mia.
Hadiah peminat
Beralih bicara tentang kemenangannya menerusi dua kategori iaitu Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars dalam majlis APO 2016, Mia menyifatkan ia sebagai hadiah daripada peminat.
Meskipun masih terkejut memandangkan anugerah tersebut merupakan kemenangan pertamanya sepanjang setahun setengah bergelar pelakon, Mia menyifatkan ia sebagai penyuntik semangat untuk bekerja lebih keras pada masa depan.
“Anugerah ini cukup bermakna kerana ia hadiah peminat buat saya. Tiada apa yang saya harapkan selain sokongan tidak berbelah bahagi peminat dan memperbaiki kekurangan diri,” ujarnya yang bakal muncul menerusi drama 200 Kilometer Ke Al-Haram menjelang Ramadan nanti.
Selain Mia, hero gandingannya dalam drama Hati Perempuan, Saharul Ridzwan turut menang besar apabila meraih dua anugerah iaitu Aktor Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.
“Saya bersyukur dengan kemenangan dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi.
“Dalam banyak nama popular lain, tidak sangka pula saya yang terpilih,” kata Saharul Ridzwan.
Pada majlis yang sama, kumpulan yang terkenal dengan lagu Mewangi, Akim & The Majistret turut terpilih sebagai Group Pilihan Online dan hadiah utama iaitu Selebriti Terunggul APO 2016.
Akim yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut membuat ucapan menerusi video dan menyifatkan kemenangan tersebut sangat bermakna buat kumpulannya.
“Terima kasih kerana mengundi kami. Sebenarnya ia cukup mengharukan dan sebagai penyuntik semangat untuk tampil dengan muzik lebih berkualiti,” ucap Akim.
Anugerah APO 2016 anjuran portal MstarOnline dan stesen radio Suria FM yang pertama kali dianjurkan turut menampilkan 18 kategori secara keseluruhan.
Pemenang dipilih berdasarkan undian 100 peratus daripada peminat.