Baru berusia 11 tahun, namun jenama fesyen Muslimah miliknya, MS Couture kini sudah mempunyai belasan stokis termasuk di Brunei dan Singapura.
MENGIMBAU semula kemunculan awalnya sekitar lima tahun lalu, kelibat pelakon cilik, Mia Sara mula mencuri tumpuan khalayak dan penggiat seni tempatan dengan mempamerkan aksi lakonan mencuit hati menerusi drama bersiri Adamaya.
Sejak itu, Mia Nasuha Muhammad Ridhuan atau mesra disapa sebagai Mia menjadi sebutan dan rancak mengorak langkah dalam industri hiburan tempatan.
Tidak menoleh ke belakang, Mia mula menghiasi kanvas seninya dengan membintangi beberapa naskhah popular seperti Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo serta drama Strawberi & Karipap.
Tidak terlepas daripada berdepan kontroversi, Mia juga terpaksa berdepan provokasi apabila didakwa tidak mempunyai hubungan yang baik dengan seorang lagi pelakon cilik hebat, Puteri Balqis.
Membiarkan isu tersebut berlalu begitu saja, yimbul pula desas-desus mengatakan pelakon filem Sekali Lagi itu sekadar melepas batuk di tangga dalam membuat keputusan mengenakan hijab.
“Saya terlebih dulu meminta pendapat daripada ahli keluarga lain sebelum membuat keputusan berhijab sepenuhnya.
“Meskipun ada yang mengatakan usia saya masih terlalu muda untuk mengenakan hijab, namun, setelah fikir masak-masak, saya akhirnya meneruskan sahaja niat tersebut,” kata Mia saat berkongsi pengalaman penghijrahannya.
Biarpun disoal berulang kali tentang kesanggupannya untuk berhijab, Mia tidak pernah berhenti melemparkan senyuman dan menjawab bahawa tindakan tersebut datang daripada diri sendiri.
Namun, suatu yang agak ketara, seiring dengan keputusan berhijab usai kembali daripada menunaikan ibadah umrah pada Disember tahun lalu, kerjaya lakonannya kelihatan bergerak perlahan berbanding pada saat awal kemunculannya.
Tiada rasa gusar terpancar pada wajah si kecil itu, Mia yakin bahawa rezeki setiap individu telah ditentukan oleh Tuhan.
“Saat awal mengenakan hijab, tawaran lakonan memang sedikit perlahan kerana banyak pihak bimbang akan kesanggupan saya berlakon tanpa memakai tudung.
“Namun, Alhamdulillah kerana saya telah mula menerima tawaran lakonan mengikut watak yang bersesuaian,” jelasnya.
Masih terlalu awal untuk meletakkan batas pada kerjaya lakonannya, Mia bagaimanapun akan menerima watak mengikut kesesuaian dengan imejnya yang kini telah berhijab.
Merasakan kerjaya sebagai anak seni memberikannya kepuasan selain memenuhi minat, Mia juga belum terfikir untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan dalam tempoh masa terdekat.
Melihatkan kematangannya, keperibadian Mia kini kadangkala kelihatan seperti lebih dewasa berbanding usianya yang baru mencecah 11 tahun.
Bina empayar
Berbeza dengan kanak-kanak seusia dengannya, tidak hanya bergelar model dan pelakon, Mia kini turut menyandang status sebagai usahawan.
Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, jenama MS Couture miliknya kini telah memiliki hampir 13 stokis di Semenanjung Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
“Sejak ditubuhkan pada Januari tahun lalu, MS Couture berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum berjaya mencapai kedudukan sekarang.
“Tambahan, tujuan asal perniagaan ini adalah untuk memberikan galakkan kepada golongan kanak-kanak mengenakan hijab pada usia muda,” katanya bersungguh-sungguh.
Berusaha untuk mengukuhkan perniagaan, MS Couture kini melancarkan koleksi baharu dengan menampilkan rekaan eksklusif tudung dan jubah bersesuaian dengan kanak-kanak perempuan sehingga wanita dewasa.
Selesa memberi tumpuan terhadap pasaran kaum Hawa, MS Couture masih dalam proses penelitian sama ada ingin melebarkan sayap memenuhi permintaan buat golongan lelaki pula.