Lisdawati kembali aktif berlakon


Dua tahun percutian sementara Lisdawati daripada dunia lakonan kini telah tamat. Selain kembali aktif, isteri kepada Fauzi Nawawi itu juga mula berjinak-jinak dengan perniagaan fesyen.

SELEPAS melahirkan cahaya mata ketiga pada 2014 lalu, wajah pelakon Lisdawati jarang muncul di kaca televisyen.

Selepas dua tahun menyepi dari dunia lakonan, isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mengakui kembali sibuk di lokasi penggambaran memenuhi tawaran. Semestinya kemunculan dirinya akan dapat mengubati kerinduan peminat selama ini.

Berkesempatan bertemu empat mata dengan pemilik nama sebenar Nisdawati Nazaruddin pada sebuah majlis pelancaran koleksi busana hari raya di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon KL Menjerit itu berkongsi perkembangan terbaharunya.

BULETINMALAYSIA!: Agak lama rasanya tidak melihat kelibat Lisda pada majlis hiburan, boleh kongsikan perkembangan terkini Lisdawati?

Lisdawati: Selepas bercuti hampir dua tahun daripada bidang lakonan, kini saya sudah menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan membintangi beberapa drama untuk ditayangkan di beberapa stesen televisyen seperti Astro dan TV3.

Kenapa anda mengambil masa sehingga dua tahun untuk berehat, dan apa yang dilakukan sepanjang tempoh tersebut?

Saya bercuti kerana ingin memberi fokus membesarkan anak lelaki saya yang kini sudah pun berumur dua tahun. Bagaimanapun, saya tidaklah terus menyepi daripada bidang lakonan, tetapi masih ada membintangi drama cuma memegang watak kecil sahaja. Dalam tempoh tersebut juga saya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan fesyen Muslimah dan bekerjasama dengan sebuah butik.

Boleh kongsikan sedikit tentang kolaborasi fesyen dengan sebuah butik tersebut?

Sebenarnya sudah setahun saya bekerjasama dengan Butik Balqis Eksklusif yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur. Peranan saya di situ adalah memberi khidmat nasihat tentang material, fesyen yang bersesuaian dan keselesaan pelanggan.



Anda sudah mempunyai nama yang dikenali, bahkan ramai juga pelakon seangkatan berjaya menjalankan perniagaan. Kenapa tidak menggunakan jenama Lisdawati itu sendiri untuk menggerakkan perniagaan?

Masih jauh lagi perjalanan untuk saya bergerak sendiri dalam bidang perniagaan. Saya memang memerlukan bantuan daripada orang yang lebih berpengalaman untuk menjalankan perniagaan. Bukan tidak yakin dengan kemampuan sendiri, tetapi semua orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Saya sedar, bukan senang untuk bergerak sendiri, jadi saya berkolaborasi dengan butik berkenaan kerana mereka sudah berpengalaman dan kebetulan pula, cara kerja mereka kena dengan saya.

Jika dahulu anda hanya berlakon dan kini sedang berjinak-jinak dengan perniagaan. Bagaimana dengan pembahagian masa antara lakonan dan perniagaan ditambah pula dengan anak-anak yang semakin membesar?

Selepas sekian lama bercuti dan sekarang kembali berlakon, saya perlu menyusun semula jadual agar kerjaya dan keluarga berjalan seiring. Saya yakin, karier tidak menjadi masalah besar kepada keluarga asalkan tahu membahagikan masa.

Beralih tentang kemenangan anak tiri anda iaitu Fareez sebagai juara Mentor Milenia baru-baru ini, boleh kongsikan antara nasihat yang diberikan kepadanya yang kini sedang memasuki dunia hiburan?

Alhamdulillah, Fareez kini masih mencari rentak untuk mencipta identiti sebagai seorang selebriti. Sebagai orang tua, saya dan suami memberi kebebasan kepadanya untuk menentukan arah sendiri. Bagaimanapun saya selalu menasihatinya, terutama ketika berhadapan dengan media untuk sebarang sesi wawancara.

Saya selalu berpesan kepada Fareez, jika ada soalan yang dirasakan tidak patut dijawab dia perlu menolak dengan cara baik, terutamanya yang melibatkan persoalan peribadi. Saya tidak mahu dia hilang fokus setelah masuk ke dalam industri ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post