SEPERTI diduga, Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) melabuhkan tirai dengan menobatkan kumpulan Bocey sebagai juara selepas berjaya mengekalkan momentum memberangsangkan pada tangga teratas saban minggu.
Malam kemuncak yang berlangsung di Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor, Jumaat lalu menyaksikan Bocey yang dianggotai Abam, Fad dan Achey membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.
Sementara itu, kumpulan Joras yang dianggotai Joey, Syuk dan Rahim pula selesa di tempat kedua, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM250,000 berserta trofi.
Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi kumpulan Puteh dan LOL, masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 dan RM50,000 berserta trofi.
Secara dasarnya, persembahan Bocey di pentas final MLM 2016 pada pusingan pertama dilihat kurang menyengat dan hanya menyerlah pada pusingan kedua.
Idea yang ditampilkan mereka pada pusingan pertama tidak mampu menjentik tawa penonton secara total. Berbeza pada pusingan kedua, Bocey dilihat sangat bertenaga dan berjaya mencurahkan kreativiti mereka yang memecah tawa seluruh stadium.
“Kami pun tidak sangka akan menang kerana persembahan semua finalis sangat hebat, lebih-lebih lagi Puteh yang sangat menyerlah.
“Tetapi, rezeki berpihak kepada kami. Sebenarnya kemenangan ini merupakan hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat dan keluarga sejak awal pertandingan,” ujar Achey.
Secara keseluruhan, Bocey yang mencatat kutipan markah sebanyak 76.91 peratus pada malam tersebut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai kemenangan terbesar mereka tahun ini.
Mereka juga sedar sesebuah kejuaraan tidak hadir tanpa pahit getir.
“Hanya kami yang tahu kesukaran yang terpaksa ditempuh sepanjang pertandingan. Walaupun berkawan baik, banyak kali juga kami bergaduh.
“Adakalanya disebabkan perbezaan jadual, masa dan komitmen, tetapi lebih kerap kerana percanggahan idea.
“Bagi saya, pergaduhan itu memang perlu ada sebab tidak semua orang berani meluahkan ketidakpuasan hati atau berlaku jujur terhadap kawan sendiri,” ujar Achey.
Baik Achey, Abam dan Fad, tiga pelawak itu dilihat cukup beremosi sewaktu diumumkan sebagai pemenang. Mereka juga tidak berhenti meluahkan rasa syukur di atas rezeki yang diberikan Allah. Sebagai tanda kesyukuran, mereka merancang mengadakan sebuah kenduri untuk meraikan peminat dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan sepanjang MLM2016 berlangsung.
Menyentuh tentang kemenangan Joras di tempat kedua, Rahim pula bersyukur kerana kehadiran Joras dalam MLM 2016 diterima baik oleh peminat.
“Menang atau kalah bukan soal utama, apa yang penting kami puas dengan persembahan pada malam akhir ini.
“Jujurnya, kami hanya memasang impian untuk sampai ke pentas final dan langsung tidak fikir tentang kemenangan.
“Cuma apabila usaha keras kami akhirnya terbayar, kami sangat bersyukur,” ujarnya yang mengakui mudah untuk mencapai keserasian dengan Joey dan Syuk sebagai sebuah pasukan dalam MLM 2016.
Puteh menyerlah
Kemenangan Bocey sememangnya telah dapat diduga sejak awal berdasarkan populariti dan konsistensi persembahan konsisten setiap minggu. Ironinya, malam final MLM 2016 sebenarnya memperlihatkan dominasi kumpulan Puteh yang disifatkan berjaya menghiburkan penonton menerusi kesemua tugasan yang diberi.
Mengumpul markah sebanyak 71.78 peratus berbanding kumpulan Joras yang berjaya memperoleh 72.70 peratus daripada markah keseluruhan, kemenangan tipis Puteh di tempat ketiga wajar dipuji. Lebih menarik, ada pihak berpendapat, kumpulan yang dianggotai oleh Ali dan Mamak itu sebenarnya layak untuk berada di tempat kedua.
“Sejujurnya kami sangat terkejut dengan keputusan ini. Kami bukanlah sesiapa jika hendak dibandingkan dengan finalis lain yang sudah ada nama dan lebih popular.
“Namun, kami percaya ini adalah hasil usaha keras sepanjang berada dalam MLM2016. Insya-Allah, jika tiada aral melintang saya dan abang (Abam Bocey) ingin membawa ibu kami mengerjakan umrah menggunakan wang kemenangan ini,” ujar Ali yang bakal menamatkan zaman bujangnya pada hujung Mei nanti.
Sementara itu, Mamak atau nama sebenarnya Ikhtiarudin Naina Mohamad berkata: “Ini kali pertama kami berada di atas sebuah pentas besar dan gah, tempat yang selalu diidamkan oleh setiap pelawak dalam karier mereka.
“Apabila diumumkan menang tempat ketiga, kami rasa ini adalah pembuka jalan untuk terus belajar memperbaiki kelemahan.
“Semoga kemenangan ini akan membuatkan kami semakin diterima peminat. Biarpun masih budak baharu dalam MLM 2016, kami tetap memberi yang terbaik untuk kekal bersaing dengan finalis lain.”
Merumuskan penganjuran MLM edisi 2016, Ketua Saluran dan Kandungan Komedi Astro Warna, Bob Azrai, menjelaskan, biarpun tiada ramai nama besar menyertai MLM musim ini, program tersebut masih menjadi rancangan yang diminati ramai.
“Kemunculan kumpulan baharu dalam MLM 2016 sebenarnya menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai pelawak baharu untuk menyertai rancangan ini pada musim berikutnya.
“Kami percaya, MLM 2016 masih menjadi program yang diminati ramai kerana seperti yang terpancar pada malam final, nadi program akan terus berdenyut kencang,” tegas Bob.