MENJADI diri sendiri, Nona menafikan bahawa dirinya ingin meniru imej legenda rock, Ella.
MENDENGAR namanya sahaja pasti ramai menyangka wanita berusia 21 tahun itu berperwatakan lemah lembut. Namun setelah mengenali wanita dengan nama pentas Nona itu, ternyata tanggapan tersebut berbeza.
Mempertaruhkan elemen rock, pemilik nama lengkap Rasmawatie Mohd. Thamrin mahu dikenali sebagai Nona.
Walaupun sebelum ini pernah kecewa kerana gagal mendapat tempat dalam program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013), ia tidak mematahkan semangat Nona untuk meneruskan impian menjadi anak seni.
Bagai kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu. Begitulah bidalan yang tepat untuk menggambarkan perjalanan hidupnya untuk bergelar anak seni.
Biarpun tidak mendapat perhatian dalam AF2013, wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berjaya menyandang gelaran naib juara menerusi program pencarian bakat, Rockers.
Bersiaran di saluran HyppTV, program tersebut telah memberi sinar harapan buatnya bergelar penghibur, sekali gus menjadi bintang rock wanita dalam lapangan seni hiburan tempatan.
“Pada awalnya saya mengakui berasa cukup kecewa kerana gagal mendapat tempat ke peringkat akhir sewaktu menyertai AF2013 dahulu.
“Bagaimanapun, program Rockers telah memberi saya harapan untuk terus berusaha gigih melangkah ke hadapan tanpa perlu menoleh ke belakang,” kata Nona optimis.
Sorotan daripada kejayaan memperoleh gelaran naib juara, Nona berpeluang merakam single berjudul Takkan Biarkan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry KRU.
Tidak terungkap rasa syukur dengan peluang yang diberi, Nona mengharapkan pertaruhannya mampu membuka ruang buatnya merebut tempat dalam industri hiburan.
“Bukan bermaksud sanjungan yang saya minta, sebaliknya berharap agar kehadiran saya dalam industri ini dapat diterima oleh peminat mahupun penggiat seni hiburan,” katanya.
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan suami kepada aktres jelita Lisa Surihani itu, Nona mengakui bukan mudah buatnya mendalami emosi lagu tersebut.
Tambahan, menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, perasaan gentar yang memenuhi setiap sudut hatinya terasa seperti tembok, sekali gus membataskan dirinya untuk menyanyikan lagu Takkan Biarkan.
“Tidak dinafikan saya berasa cukup gementar saat ingin bekerjasama dengan Yusry kerana dia merupakan satu nama besar dan individu berpengaruh dalam industri.
“Bagaimanapun setelah berbincang, dia (Yusry) ternyata seorang yang sangat memahami dan mudah bertoleransi,” ujar Nona bersungguh-sungguh.
Mengetengahkan elemen muzik rock, Nona mengatakan, tidak terlintas dalam fikirannya untuk bersaing mahupun mewujudkan seorang lagi legenda rock wanita, selain Ella.
Bagi Nona, terlalu jauh untuk disamakan dirinya dengan Ella sementelah bintang tersebut mempunyai pengalaman hampir 30 tahun mengabdikan diri dengan dunia muzik.
“Beliau adalah seorang bintang rock legenda. Mana mungkin ingin dibandingkan dengan saya yang masih bertatih untuk bergelar penyanyi,” tuturnya.