BUNKFACE kini muncul dengan jenama minyak wangi mereka, Bunkface Revolution sebagai langkah sulung mereka dalam bidang perniagaan.
Mencecah usia sedekad bertapak dalam industri seni tanah air, ternyata kumpulan yang dibarisi tiga jejaka yang menggelarkan diri sebagai Bunkface tidak pernah jemu menghiburkan peminat dengan rentak muzik rock mereka.
Pastinya tempoh masa 10 tahun sejak melangkah dalam industri pada tahun 2005 lalu cukup mematangkan Sam, 29, Youk, 27, dan Paan, 29.
Tidak mahu mempersia-siakan sokongan padu yang diberikan peminat selama ini, bersempena dengan usia sedekad band tersebut, Bunkface menjanjikan sebuah konsert berskala besar untuk peminat pada penghujung tahun ini.
“Sedar atau tidak, sudah 10 tahun kami berada dalam industri ini. Jadi, sebagai hadiah untuk peminat yang tidak henti-henti menyokong perjalanan Bunkface sejak dari awal, kami dalam perancangan untuk menganjurkan sebuah konsert.
“Buat masa ini ia masih dalam peringkat perbincangan dan lokasi untuk konsert yang dijangka akan memuatkan kira-kira 5,000 penonton itu masih belum ditentukan. Bagaimanapun, perkara paling penting untuk konsert tersebut adalah kami akan memastikan peminat yang datang rasa berbaloi kerana membayar tiket tersebut dan berpuas hati dengan persembahan kami,” kata vokalis Bunkface, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Mohd. Baharom.
Menambah bicara, Sam berkata, harga tiket untuk konsert tersebut juga akan dijual pada harga mampu milik. Malah, mereka juga optimis dengan sambutan terhadap konsert berkenaan kerana Bunkface sememangnya mempunyai peminatnya tersendiri.
Tidak cukup dengan hadiah tersebut, Sam menambah mereka juga akan mengeluarkan sebuah album baharu pada tahun hadapan. Menariknya, album tersebut bakal memuatkan semua lagu berbahasa Inggeris.
“Kami juga akan mengeluarkan sebuah album baharu dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya sudah lama kami tidak tampil dengan album sebegini, jadi ia dikira sebagai pengubat rindu peminat kami.
“Istimewa dalam album itu berbanding sebelum ini, kami akan menghasilkan lagu-lagu yang tidak seberat lagu Inggeris kami terdahulu. Ia lebih ringan untuk didengar,” ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran minyak wangi jenama Bunkface di De’ Gouffran Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah, sebelum konsert tersebut diadakan, Bunkface terlebih dahulu memberi ‘hadiah’ istimewa buat peminatnya apabila melancarkan wangian dengan jenama Bunkface.
Mengaku tidak kisah jika dikatakan mengikut trend seperti kebanyakan artis lain yang ‘terjun’ dalam bidang bisnes, kata Sam, Bunkface bersedia untuk meneroka pasaran perniagaan sebagai alternatif kelangsungan ekonomi mereka.
Sementara itu, bercakap mengenai wangian tersebut, Youk teruja berkongsi pengalaman penghasilan minyak wangi yang dinamakan Bunkface Revolution untuk lelaki dan Bunkface for Her bagi wanita.
“Kami mengambil masa selama sehari semalam untuk memilih jenis wangian yang terbaik. Pihak Smell Factory Manufacturing yang melamar kami untuk menghasilkan wangian ini telah menyediakan puluhan sampel wangian, dan tugas kami adalah untuk memilih jenis bau yang bersesuaian.
“Produk ini telah pun mula dijual bermula pertengahan bulan Februari lepas dan ia mendapat sambutan hangat. Boleh dikatakan minyak wangi ini mewakili Bunkface dan buah tangan kami kepada peminat setelah 10 tahun berada dalam industri,” katanya.
Dalam pada itu, pemain gitar Bunkface, Paan atau nama sebenarnya, Ahmad Farhan sempat menambah, mereka juga akan mengeluarkan sebuah lagi wangian baharu bersempena dengan lagu Darah Muda yang sedang hangat diputarkan di radio sekarang.
“Melihat sambutan yang diberikan, kami juga sedang merancang untuk menghasilkan minyak wangi bernama Darah Muda pula. Mungkin ia akan dilancarkan selepas hari raya nanti.
“Bagi peminat yang ingin mendapatkan minyak wangi ini, ia boleh diperoleh pada harga RM39.90 sebotol dengan stokis kami. Sehingga kini, kami sudah mempunyai 60 stokis seluruh negara,” ujar Paan.