PERSONALITINYA di hadapan kaca TV tidak berbeza dengan karakternya yang sebenar.
Sikapnya yang sopan dan bersahaja membuatkan Amy Mastura antara selebriti begitu disenangi oleh setiap individu yang berada di sekelilingnya termasuklah penulis sendiri ketika menjalani sesi temu ramah ini.
Bercerita mengenai perkembangan karier, selebriti berusia 45 tahun ini mengakui selesa dengan perjalanan seninya kini biarpun ia tidaklah sehangat zaman kemunculannya dahulu.
Sentiasa menjadikan peranan seorang isteri dan ibu kepada dua anak sebagai keutamaan, Amy pada masa yang sama masih mengisi masa lapangnya menjalani karier yang dibina sejak lebih dua dekad lalu.
“Alhamdulillah, saya selesa dengan apa yang saya ada sekarang. Terutamanya keluarga dan keduanya adalah karier. Tawaran lakonan masih ada cuma buat masa ini masih belum ada tawaran yang benar-benar sesuai dengan jadual saya.
“Tapi kalau ada, saya akan benar-benar sibuk dan kalau tidak ada pun, masa saya masih terisi dengan rutin bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pada pelancaran gedung fesyen Pret-A-Porter, baru-baru ini.
Tambah Amy Mastura, imej bertudung juga tidak memberi kesan terhadap kariernya malah cabang kerjayanya lebih terbuka luas.
“Kalau diikutkan, tidak banyak watak yang boleh saya bawa dalam lakonan, tapi pada masa yang sama, saya turut berpeluang untuk mencuba bidang baharu.
“Sekarang selain berjinak-jinak dalam perniagaan tudung, saya juga ditawarkan menjadi juri dalam program Gempak Superstar dan tidak mustahil mengacara pula selepas ini.
“Mungkin ini adalah perjalanan yang telah diaturkan untuk saya. Sebagai manusia biasa, saya hanya melaluinya,” katanya.
Disentuh mengenai bidang nyanyian, bintang filem Puteri Impian arahan Aziz M. Osman ini memberitahu bakal tampil dengan single terbaharu, Khalimah ciptaan Ardif Johari yang juga komposer lagu sebelumnya, Menari Lerr.
“Baru-baru ini saya telah selesai merakamkan single ini. Sudah lama juga saya tidak keluarkan lagu-lagu berentak balada.
“Mungkin lagu ini lebih berbeza dan bersesuaian dengan imej dan status saya. Insya-ALLAH, jika pihak Sony Music memberi lampu hijau, single ini akan dilancarkan tahun ini juga,” ujarnya.
Tetap pendirian
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya sebagai juri menerusi Gempak Superstar, Amy mengakui memiliki cara yang tersendiri dalam memenuhi tugasnya itu.
Biarpun terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan kredibilitinya menggalas tanggungjawab itu, Amy masih tetap pendirian.
“Ini sebenarnya terpulang pada penerimaan masing-masing. Kadang-kadang mereka memerlukan kritikan yang pedas untuk memajukan diri peserta atau mungkin juga dengan cara itu akan membuatkan mereka lebih mudah berputus asa.
“Sebagai juri, saya mengkritik dengan cara saya sendiri dan kalau boleh saya tidak mahu menegur sehingga menggores hati orang lain.
“Meskipun ada yang menyarankan saya untuk lebih bertegas, tapi saya memilih untuk memberi kritikan yang berlapik tanpa simpan dalam hati. Tapi pada masa yang sama, sebenarnya peserta juga harus bersikap terbuka dan mengambil segala kritikan dari sudut yang positif,” katanya.
Kerap memberi komen yang bersifat ‘selamat’, Amy bagaimanapun menganggap ia bersesuaian dengan kebolehannya sebagai seorang anak seni.
“Ya, saya mahu komen lebih-lebih pun, saya bukanlah penyanyi atau pelakon yang hebat sangat. Terima kasihlah kepada mereka yang berkata sedemikian kerana memahami saya,” katanya dengan nada gurau.