Kelainan Filem Hey Orang Kita


Pengarah filem Hey Orang Kita, Zara Khan (tengah) bergambar bersama barisan pelakon (dari kiri) Raja Shahiran, Christian, Talitha dan Takahara Suiko.

DENGAN harapan menghargai bakat-bakat pejuang indie tempatan, Astro First Eksklusif sekali lagi membawakan sebuah karya hebat buat tontonan lakon layar tempatan, Hey Orang Kita.

Diarahkan oleh pengarah muda, Zara Kahan, Hey Orang Kita merupakan sebuah filem televisyen (FTV) muzikal yang menceritakan jerih perih empat anak muda mengharungi liku-liku kehidupan di Kuala Lumpur yang penuh dengan pancaroba.

Mula ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) pada 19 Mei (hari ini), naskhah itu dibintangi empat anak muda berbakat besar yang mempunyai kelompok peminat yang besar di laman perkongsian video, YouTube dan sosial media iaitu Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian Palencia dan Takahara Suiko.

Dalam peningkatan prestasi filem-filem perdana tempatan, Zara selaku pengarah teruja kerana buat pertama kali diberi peluang duduk di bangku pengarah dan menyifatkan peluang tersebut sebagai sesuatu yang bernilai buat dirinya dan kemajuan industri filem tempatan.

“Sejujurnya, banyak kisah di Kuala Lumpur yang belum sempat difilemkan. Hey Orang Kita adalah sebuah kisah yang menceritakan senario sebenar remaja di bandar ini.

“Bukan itu sahaja, banyak bakat indie yang perlu diketengahkan. Melalui filem ini, saya belajar banyak perkara. Antaranya, peluang bekerja dengan empat pelakon muda sangat memberi saya inspirasi untuk terus berkarya selepas ini,” ujarnya pada sidang akhbar Hey Orang Kita di The Bee, Publika baru-baru ini.

Terdahulu, siri Hey Orang Kita telah menemui penonton secara dalam talian menerusi 4 webidoes yang dimuatnaik di laman FEEFO.TV.

Mengulas lanjut, Zara memberitahu bahawa keempat-empat pelakon utama mempunyai keunikan lain daripada yang lain iaitu dari segi cita rasa muzik mahupun personaliti.


“Walaupun mereka masih baharu, komitmen dan curahan bakat mereka di set penggambaran sangat mengagumkan. Kalau diberi peluang yang lebih besar, pasti mereka boleh pergi lagi jauh dalam bidang lakonan,” katanya.

Penghargaan indie

Sementara itu, bagi Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, Hey Orang Kita merupakan penghargaan kepada semua anak-anak seni tempatan yang sentiasa berusaha keras untuk menyampaikan interpretasi karya mereka yang tersendiri.

“Kami mahu memberikan peluang buat bakat-bakat muda seperti mereka yang mempunyai cita rasa muzik segar di samping penuh dengan kreativiti menarik diketengahkan kepada peminat muzik yang lebih segar skalanya,” ujarnya.

Tambahnya, filem tersebut bukan sekadar drama muzikal semata-mata. Ia merupakan sebuah ceritera kehidupan yang berupaya memberikan inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana untuk tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan walau apa pun rintangan.

Dengan tagline Bila Lagi Nak Lawan Balik?, Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan empat anak muda, Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usaha untuk keluar daripada kancah masalah kehidupan yang mereka hadapi.

Turut mengetengahkan elemen muzikal, ia turut menyaksikan penglibatan penyanyi dan komposer terkenal, Loque yang bertanggungjawab menghasilkan serta mengubah lagu-lagu yang akan ditampilkan dalam filem tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post