Mustar juara Kilauan Emas Otai


MUSTAR (tengah) ditemani naib juara, Fuad (kiri) dan tempat ketiga, Idris bersama trofi masing-masing selepas diumumkan sebagai juara Kilauan Emas Otai.

Jika tahun lalu dia mencuri perhatian dengan menjuarai program hiburan Kilauan Emas musim kelima, sekali lagi tuah menjadi milik Mustar apabila dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas Otai yang julung-julung kali diadakan. Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan dia menumpaskan tiga finalis lain iaitu Fuad, Idris dan Nas.

Mustar atau nama lengkapnya, Mustaffa Rasyid Abd. Jabar, 47, yang lebih mesra dengan panggilan Wak menggamatkan suasana di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras apabila mendapat tepukan gemuruh dalam kalangan penonton untuk kedua-dua lagu dendangannya iaitu lagu Kini Hatiku Telah Tertawan serta duet bersama Asmidar menerusi Menunggu Nasi Minyak.

Rezeki

Walaupun langkahnya di pusingan separuh akhir agak goyah apabila menjadi peserta terakhir yang diumumkan dapat beraksi di peringkat akhir, Mustar ternyata tidak mensia-siakan peluang di peringkat akhir apabila mendapat pujian melambung oleh juri Datuk Ramli M.S dan Erra Fazira serta dua juri jemputan, Pak Ngah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Lebih manis, kemenangan yang menyaksikan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150, 000 berserta trofi sumbangan Astro itu seperti memberi ‘lampu hijau’ buat dirinya memberi fokus kepada bidang nyanyian berbanding kerjaya asalnya sebelum ini sebagai tukang kayu.

Bagaimanapun, sebaik dia memenangi Kilauan Emas tahun lalu, lelaki kelahiran Selangor itu sendiri sempat menyiapkan dua buah rumah.

“Sebenarnya selepas menjuarai Kilauan Emas 5, saya masih bekerja sebagai tukang kayu seperti biasa kerana tidak banyak persembahan yang saya lakukan. Tetapi, ada yang menasihatkan saya agar tidak lagi terlalu aktif sebagai tukang kayu. Jadi saya ambil keputusan berehat.

“Namun, saya bukan berhenti menukang, sebaliknya hanya berehat. Apatah lagi apabila sudah menang kali ini, saya ingin berehat bersama keluarga tercinta.

“Kalau ada undangan nyanyian, saya akan pergi. Kalau tidak, saya hanya akan lepak di kedai kopi di kampung,” jelasnya panjang lebar.



Fuad yang berada di tempat kedua memenangi wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi. Idris di tempat ketiga (RM30,000 berserta trofi) manakala Nas di tempat keempat (RM10,000).

Gagal menepati ramalan ramai untuk merangkul gelaran juara, Fuad atau nama sebenarnya, Ahmad Fuad Zaharullail terpaksa akur di tempat kedua walaupun menghadirkan persembahan memberangsangkan dengan nyanyian lagu solo, Jangan Bersedih Lagi serta lagu duet Joget Cinta Sakti (bersama Rosma).

“Saya tidak kecewa dengan keputusan malam ini. Bahkan berasa sangat terharu kerana mampu mara hingga ke peringkat akhir. Mustar mempunyai pengundi yang ramai dan persembahan dia malam ini memang sangat menghiburkan,” ujarnya yang berasal dari Perak.

Berada di tangga keempat, Nas atau nama sebenarnya, Mohamad Nasirudin berpuas hati dengan keputusan meskipun mengaku kecewa kerana banyak melakukan kesilapan ketika membuat persembahan terutama ketika mendendangkan lagu duet bersama Indah Ruhaila, Jika Kau Tiada.

“Semuanya menjadi tidak kena apabila saya tersalah tempo. Apabila sudah tersalah tempo, saya terlupa lirik,” ujar Nas.

Sementara itu, Anugerah Khas Juri diberikan kepada peserta yang tersingkir pada peringkat separuh akhir, Silah, atau nama sebenarnya, Silahudin Ali, 55, kerana kecekalannya bertanding meskipun berdepan saat sukar apabila anaknya, Mohd. Hafiz, 27, meninggal dunia ketika dia sedang bertanding dalam pertandingan. Silah menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.

Konsert yang diacarakan oleh Raja Azura itu turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi terkenal seperti Zamani, Saleem dan De Fam.

Post a Comment

Previous Post Next Post