Felix Agus tidak kisah digelar penyanyi dangdut


SELEPAS lebih tujuh tahun menyepi, Felix menyertai pertandingan program realiti baharu, Dangdut Star.

SELEPAS lapan tahun aktiviti seninya hanya tertumpu di negeri kelahirannya Sabah, naib juara program Akademi Fantasia musim ketiga (AF 3), Felix Agus, 34, kini bersedia melancarkan kembali kerjanya nyanyiannya di Semenanjung Malaysia dengan menyertai program realiti terbaharu, Dangdut Star.

Menurutnya yang pernah melahirkan dua buah album Aku Pencintamu (2006) dan Aku Juga Iya (2009), sejak pulang ke Sabah pada tahun 2008, dia mempunyai pekerjaan tetap sebagai deejay radio Kota Kinabalu FM.

Felix yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Dangdut Star baru-baru ini menyifatkan pertandingan tersebut merupakan peluang keemasan untuk menaikkan semula namanya dalam persada seni tanah air.

Justeru bapa kepada Prince Eli, 4, dan Dea Thelisha, 18 bulan, itu tidak kisah andai dikenali sebagai penyanyi dangdut sebaik program realiti tersebut mula bersiaran pada setiap Rabu bermula 27 April ini, di saluran Astro Prima (Astro 105) serta Maya HD (Astro 135).

BULETINMALAYSIA!: Apa khabar Felix? Apa yang menyebabkan anda bersetuju untuk terlibat dalam program Dangdut Star?

Felix: Khabar baik. Saya masuk program ini kerana cukup meminati genre dangdut. Sebenarnya ia sebuah genre menarik kerana bukan setakat menyanyi saja, tetapi harus menari juga. Pada mulanya saya tolak kerana kekangan kerja sebagai deejay, namun selepas isteri, Lydia Larius Gojih merestui dan meyakinkan saya untuk turut serta, barulah saya bersetuju.

Apakah tujuan utama menyertai semula program realiti sedangkan anda merupakan naib juara AF3?

Saya tidak nafikan, tujuan utama menyertai program ini adalah untuk menaikkan semula nama dalam industri seni. Sebelum ini saya hanya aktif di Sabah sahaja, mungkin ramai yang terlupa kewujudan saya. Harapan saya, dengan adanya program ini, nama saya akan kembali disebut semula dan aktif menyanyi seperti dahulu.



Mungkin anda boleh beri pandangan terhadap program Dangdut Star yang menggandingkan penyanyi dan orang biasa?

Mahu tidak mahu saya terpaksa menerima konsep program yang menggandingkan penyanyi berpengalaman serta penyanyi tidak dikenali. Penonton mungkin fikir tidak adil sebab penyanyi seperti saya sudah ada pengalaman, tetapi jika difikir sudut positif kadang-kala orang biasa mampu menyanyi lebih baik daripada penyanyi yang sudah terkenal. Bakat itu tidak terbatas dan saya meletakkan diri sama sahaja dengan semua peserta yang bertanding.

Adakah anda tidak kisah dikenali sebagai penyanyi dangdut selepas ini?

Saya okey sahaja kalau digelar penyanyi dangdut sebab secara peribadi memang meminati genre berkenaan. Sejak kecil saya telah diperdengarkan dengan lagu dangdut. Ayah saya orang Indonesia, jadi setiap hari dia akan memasang lagu dangdut penyanyi seberang. Secara tidak langsung, saya turut minat lagu dangdut. Saya tidak bersetuju dangdut dikatakan lagu untuk orang kelas bawahan. Walhal setiap kali buat persembahan, permintaan lagu dangdut sentiasa ada.

Bagaimanakah kehidupan anda sebelum ini?

Selepas AF3, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Sabah pada 2008. Di sana saya bekerja sebagai deejay radio Kota Kinabalu FM selama lima tahun dan masih aktif menyanyi serta mencipta lagu khas untuk pasaran Sabah. Kehidupan sederhana dan cukup tenang. Cuma saya mengaku sesekali timbul perasaan untuk kembali sibuk seperti dahulu dan menyanyi di pentas lebih besar, sebab itu saya menyertai Dangdut Star.

Selepas program realiti tersebut tamat, adakah anda akan berhijrah ke Kuala Lumpur?

Bergantung kepada penerimaan peminat. Jika banyak tawaran persembahan pentas atau aktiviti seni lain, saya tidak menolak untuk terus berada di Kuala Lumpur. Namun, buat masa sekarang saya tidak berani untuk bercakap lebih sebab semua itu terpulang kepada rezeki.

Post a Comment

Previous Post Next Post