Jika Sempat, kisah perjalanan muzik Hujan


INSPIRASI - Bertitik tolak daripada keberhasilan dan kejayaan konsert ulang tahun ke-10 Hujan tahun lalu, Hujan mendapat inspirasi menghasilkan album Jika Sempat selepas penghasilan lagu berjudul Pemicu Gila yang turut diperdengarkan dalam konsert tersebut secara eksklusif.

WALAUPUN fenomena muzik kumpulan indie tidak lagi sederas suatu ketika dahulu, harus diakui, menjadi antara penggerak muzik unik tersebut, Hujan masih gagah berjuang dengan muzik mereka tersendiri dan pengikut muzik tegar mereka yang dikenali sebagai Raingers tetap bersama.

Dianggotai empat pemuzik berwawasan tinggi iaitu Noh Salleh selaku vokalis, AG Coco (gitaris), Azham Ahmad (bass) dan Izzat Uzaini (pemain dram), mereka masih ingin dikenali sebagai kumpulan indie meskipun lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik tempatan.

“Ya, kami masih ingin terus dikenali sebagai kumpulan indie dan tiada apa yang lebih membanggakan dengan status tersebut walaupun saban tahun telah banyak perkara kami kecapi sebagai satu kumpulan muzik.

“Bukan senang menjadi kumpulan indie. Kami berhadapan kesukaran waktu mula menapak sebagai pemuzik dari segi masa, wang ringgit dan sebagainya. Kami (Hujan) bermula dari bawah dan tidak bernaung di bawah mana-mana label syarikat rakaman waktu mula berada dalam industri,” kata Noh atau nama lengkapnya, Mohamad Noh Salleh pada majlis pelancaran album studio terbaharu, Jika Sempat di Slate @ The Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hujan bermula dengan album EP berjudul 1,2,3 Go? pada tahun 2006 yang memuatkan lagu-lagu siulan ramai ketika itu, antaranya, Ahmoi Chantek termasuklah antem yang melazimkan kumpulan tersebut di bibir peminat iaitu Pagi Yang Gelap.

Sejak itu, daya muzik Hujan tidak mampu dibendung dengan kelahiran beberapa buah tangan magikal melalui penghasilan album Check Check Rock Rock (2007), Hujan (2008), Mencari Konklusi (2009), Lonely Soldier Boy (2010) dan Sang Enemy (2012).



Lagu baharu, lagu lama

Empat tahun berlalu, Hujan hadir dengan buah tangan baharu berjudul Jika Sempat yang mereka sifatkan sebagai perkongsian perjalanan muzik sejak mula bertapak sebagai antara band indie berpengaruh tanah air.

“Album ini mengandungi 12 buah lagu. 10 lagu daripadanya adalah lagu yang telah lama diperam sejak awal kemunculan kami sebagai sebuah band namun tidak sempat dimuatkan dalam mana-mana album terdahulu.

“Dua buah lagu baharu adalah lagu berjudul Pemicu Gila dan Kau sementara 10 buah lagu lain adalah lagu yang belum pernah diterbitkan,” ujar AG Coco yang bertindak sebagai penerbit dalam album tersebut.

Sementara itu, mengulas tentang keputusan untuk menerbitkan lagu lama dalam album Jika Sempat, Noh mempunyai alasan tersendiri.

“Kami tidak mahu mengikut trend sedia ada. Jika Sempat adalah sebuah album yang mampu mengimbau kenangan peminat terhadap perjalanan selama 10 tahun Hujan.

“Orang ingin kata syok sendiri tidak menjadi masalah. Album kami bukan ‘kosong’ tetapi setiap karya dihasilkan dibuat dengan ikhlas dan insya-Allah ia dapat menarik minat pendengar.

“Kami tidak mahu menghasilkan sesuatu yang bukan diri kami tetapi sebaliknya peminat dapat mengimbau kenangan bersama lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini,” kata Noh.

Menariknya, lagu Jika Sempat yang juga merupakan judul album berkenaan memberi signifikasi begitu bermakna buat Hujan selain menjalani proses mastering di New York, Amerika Syarikat.

Indie bangkit

Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai seorang lagi anggota Hujan iaitu Hang Dimas Santoso yang dilihat tidak lagi bersama dalam siri persembahan termasuk dalam pembikinan album terbaharu Hujan, ketika ditanya pihak media, AG Coco menjawab dengan tenang.

“Dia (Dimas) masih lagi anggota kumpulan kami. Dia tidak pernah keluar daripada band ini. Cuma kami menghormati keputusannya yang ingin memberi fokus terhadap kehidupan peribadinya. Walaupun dia tiada bersama kami, semangat dia tetap ada bersama kami,” ulas AG.

Jika diselak semula, tahun 2016 memperlihatkan kebangkitan band-band indie tempatan apabila beberapa bang terkemuka seperti Estranged, Bittersweet dan kini Hujan lahir dengan album studio terbaharu selepas lama menghilang.

Bagi Noh, band-band indie sentiasa bekerja keras untuk melahirkan muzik baharu demi para peminat yang menyokong perjalanan muzik mereka melalui persembahan gig meskipun mereka sudah memasuki arena perdana.

“Muzik sentiasa beredar. Kami telah pernah merasa berada di puncak. Waktu itu, pengaruh muzik indie begitu besar. Walaupun hari ini ia bergerak agak perlahan, tidak mengapa kerana bagi saya peminat muzik indie tetap wujud dan akan terus menyokong,” kongsi Noh.

Post a Comment

Previous Post Next Post