Farhanah kikis fobia Shahrol Shiro


Shahrul bersama isterinya, Anna Danisha menyuapkan kek kepada anak Shahrul, Adam Danish ketika resepsi perkahwinan mereka di Laman Pengantin Taman Melawati, Selangor Sabtu lalu.

SEWAKTU perkahwinan pertamanya gagal sekitar empat tahun lalu, pelawak dan pengacara, Sharol Shiro pernah berdepan fobia untuk kembali bercinta dan mendirikan rumah tangga.

Ketika itu, hasrat hatinya cuma satu, iaitu melihat anak tunggalnya, Muhammad Adam Danish, 8, membesar dan mendapat kehidupan yang sempurna.

Namun, jodoh itu rahsia Allah. Biarpun fobia masih menyelimuti jiwanya, kuntuman cinta dalam diri Shahrol atau nama lengkapnya, Shahrol Azizie Azmi, 32, kembali berputik apabila bertemu wanita bernama Nor Farhanah Syamimi.

Hampir dua tahun menyulam perkenalan, Shahrol akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman dudanya dengan Farhanah dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di kampung halamannya di Kluang, Johor pada 18 Mac lalu.

Berkesempatan bertemu pada majlis resepsi keduanya yang diadakan di Laman Pengantin, Taman Melawati, Selangor baru-baru ini, Shahrol berkata, Farhanah banyak mengubah persepsinya mengenai soal perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Ujar pengacara program MeleTOP Kebaboom itu, rasa fobia untuk mendirikan rumah tangga juga mula terhakis apabila mula mengenali isterinya dengan lebih dekat.

“Selepas bercerai pada 2012, saya sangat fobia untuk kembali mendirikan rumah tangga. Namun, perasaan tersebut hilang apabila mula mengenali Farhanah sekitar dua tahun lalu. Dia banyak mengajar saya makna sebenar hidup berumah tangga.

“Dia berjaya membuka hati saya untuk kembali bergelar suami,” katanya.

Mengimbau kembali detik-detik bahagia sewaktu bercinta, Shahrol berkata, dia dan Farhanah tidak pernah mengaku sebagai pasangan yang sedang berkasih.

Ujarnya, lamaran terhadap Farhanah juga dilakukan secara spontan.



“Sepanjang berkenalan, kami tidak pernah menganggap satu sama lain sebagai pasangan kekasih.

“Lamaran untuk mendirikan rumah tangga juga dilakukan secara spontan. Alhamdulillah, biarpun persiapan dilakukan dalam masa singkat, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Keyakinan Shahrol bahawa Farhanah merupakan pilihan tepat untuk diangkat menjadi suri hatinya bertambah kukuh apabila wanita itu menerima anak lelakinya dengan baik.

“Saya selalu meninggalkan Adam bersama Farhanah untuk menguji keserasian mereka. Nampaknya, usaha saya tidak sia-sia kerana mereka berdua begitu rapat.

“Sebelum kami berkahwin, Adam sudah memanggil Farhanah dengan gelaran mama,” jelasnya.

Sementara itu, Farhanah menjelaskan, komunikasi merupakan perkara yang paling penting dalam menyemai kehidupan berumah tangga.

Lebih-lebih lagi apabila Shahrol merupakan seorang selebriti dan masa banyak dihabiskan di lokasi penggambaran.

“Saya faham kerjanya sebagai selebriti menuntut masa yang banyak di luar rumah.

“Jadi, komunikasi sangat penting agar keharmonian rumah tangga terjamin,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai perancangan bulan madu, Shahrol berkata, dia merancang untuk membawa isterinya terbang ke Tokyo, Jepun dalam masa terdekat.

Ujar Shahrol, dia memilih Jepun kerana terlalu obses dengan siri kartun Doraemon dan memasang angan-angan untuk berkunjung ke muzium karakter comel itu sewaktu bulan madu.

“Saya sangat gemarkan karakter Doraemon teringin untuk melawat tempat-tempat menarik di Jepun seperti Muzium Doraemon.

“Isteri juga bersetuju, jadi mungkin saya akan ke Jepun dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post