Sinar Bulan Terry mengintai persada seni


Pelakon filem Busker, Bulan Terry akan meneruskan kecintaannya dalam bidang muzik walaupun telah membuat percubaan terjun ke dunia lakonan.

Filem Busker arahan pemenang Anugerah Seri Angkasa 2016 menerusi Komedi TV Terbaik, Syed Khairul Fariz telah membuka peluang kepada pendatang baharu, Bulan Terry mengembangkan sayap dalam bidang seni tanah air.

Wanita kelahiran Miri, Sarawak itu yang pernah berputus asa untuk bergelar pelakon ingin menjadikan filem Busker sebagai ‘batu loncatan’ untuk menggapai sinar, seterusnya tidak lagi berpaling daripada menjejaki impian di dada.

Pemilik nama Stephanie Jessica Terry, 29, yang merupakan pemain dram dalam sebuah kumpulan rock bergelar Shewolves itu berkata, dia tidak sangka akan bergelar pelakon kerana minatnya cenderung terhadap muzik.

Begitupun, keterlibatannya dalam filem sulung tersebut merupakan suatu kebetulan yang tidak diduga sewaktu awal penubuhan sebuah kumpulan bergelar Simfoni Dalam Poket yang dinaungi artis serba boleh tanah air, Monoloque.

KOSMO!: Filem Busker merupakan penampilan sulung Bulan dalam industri perfileman. Boleh ceritakan pengalaman sewaktu penggambaran?

BULAN: Dalam filem ini, saya memainkan watak sendiri sebagai pemain dram yang diberi nama Bulan.

Biarpun memainkan watak diri sendiri tetapi ia amat berbeza dengan perwatakan sebenar saya dalam dunia realiti.

Saya merasakan ia sesuatu yang mencabar kerana perlu membiasakan diri dengan lakonan, malah karakter dibawa tidak banyak menuturkan kata-kata walaupun sebenarnya saya seorang yang ceria dan banyak cakap.

Saya banyak mempelajari erti lakonan apabila terlibat dalam pembikinan filem ini. Banyak yang perlu saya pelajari terutama berhubung karakter walaupun tidak banyak menghafal skrip.

Bahkan, cabaran utama saya dalam filem ini adalah untuk menjiwai watak berkenaan kerana perlu memastikan tutur kata serta mimik muka padan dengan skrip yang diberikan kepada saya.

Bagaimana anda membiasakan diri agar tidak kelihatan kekok semasa berlakon?

Sebagai pendatang baharu, saya perlu belajar terutama apabila diberi kepercayaan berlakon dalam sesebuah filem. Menyedari kekurangan diri, saya banyak bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada para pelakon lain dalam Busker.

Tidak terkecuali, tenaga produksi dan pengarah banyak memberi pandangan dan panduan bagi memastikan saya dapat menjiwai watak sebaik mungkin. Busker merupakan platform saya menonjolkan bakat lakonan dan ini suatu pengalaman baharu yang amat menyeronokkan.



Sebelum bergelar pelakon, anda merupakan seorang pemuzik. Adakah selepas ini, anda bersedia menerima sebarang tawaran lakonan?

Sudah pasti saya tidak akan teragak-agak untuk menerima tawaran lakonan. Saya ingin mencabar diri dalam pelbagai bidang seni tanah air.

Bagaimanapun, buat masa ini saya dalam rangka mempromosi filem Busker dan masih belum menerima sebarang tawaran lain. Saya berharap filem sulung ini akan menjadi platform untuk saya terus berkarya dalam bidang lakonan.

Saya teringin untuk memegang watak antagonis dalam drama ataupun filem akan datang.

Dalam filem Busker, anda memegang watak pemain dram. Sejak bila anda mula mahir bermain alat muzik berkenaan?

Saya mula bermain dram sejak berusia 15 tahun lagi. Sebenarnya, saya lahir dalam keluarga seni tetapi tidak mahu terikat bermain gitar seperti abang dan kakak saya.

Justeru, saya telah memilih dram untuk meneruskan minat dalam bidang muzik.

Adakah anda mempunyai sebuah band lain sebelum tertubuhnya kumpulan Simfoni Dalam Poket?

Sebelum ini, saya bermain dram untuk kumpulan Shewolves, malah masih bersama mereka. Kumpulan yang dianggotai empat ahli itu banyak bermain muzik dalam lapangan indie.

Saya juga tidak berdepan sebarang masalah untuk bermain muzik dengan Simfoni Dalam Poket kerana mereka sangat memahami dan memberi sokongan kepada saya.

Bercerita lanjut mengenai cinta anda terhadap muzik, apa perancangan anda selepas ini?

Buat masa ini, kumpulan Simfoni Dalam Poket sudah bernaung bawah label Monoloque. Kami juga sudah menghasilkan beberapa buah lagu yang dimuatkan dalam album runut bunyi filem Busker.

Saya berharap terus bergerak dan berkembang dalam industri muzik tempatan bersama-sama dengan kumpulan Simfoni Dalam Poket.

Post a Comment

Previous Post Next Post