Biarpun kelibatnya tidak kelihatan sejak suaminya, Datuk Farid Kamil ditahan reman empat hari lalu, pelakon Datin Diana Dianelle yakin Farid ‘merasai’ sokongannya.
Diana Dianella, 27, menulis dalam laman Instagramnya mengatakan Farid juga tahu dia sentiasa berada di sisinya.
“Jangan tanya mengapa anda tidak melihat saya. Dia (Farid) melihat saya.
“Dia tahu saya di sana. Dia berasa saya memegang tangannya. Itu perkara penting buat saya,” tulisnya dalam kapsyen berbahasa Inggeris yang dimuat naik sekitar pukul 8.15 malam tadi.
Terdahulu, Diana memaklumkan tidak akan melawat suaminya yang ditahan reman atau hadir ke mahkamah kerana menyerahkan segala yang berlaku kepada undang-undang.
Hari ini, tempoh reman terhadap Farid yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Selangor dilanjutkan sehari lagi sehingga Selasa.