Jangan tanya lagi kata Zulin Aziz


Pengazara dan penyampai radio, Zulin Aziz berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan pelakon Ahya Rosli kononnya mereka menjalin hubungan istimewa.

Zulin ketika dihubungi berkata, keakraban dan pendedahan penerbit Datuk A Aida mengenai hubungannya dengan Ahya membuktikan bahawa dia dan pelakon itu hanya sekadar kawan baik sekali gus mendoakan yang terbaik buat sahabatnya itu.

"Saya lihat Ahya dan A Aida begitu secocok. Barangkali ketika sama-sama mengerjakan Umrah baru-baru ini mereka mendapat petunjuk dan hidayah. Lagipun jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.

"Kita doakan yang baik-baik buat pasangan ini. A Aida juga baik dengan keluarga Ahya.

"Siapapun pilihan Ahya pasti dia mempunyai alasan tersendiri. Mungkin Ahya ‘terpikat’ dengan A Aida kerana sifat matang serta pandai mengambil hati keluarga," katanya.

Menurut Zulin, dia berharap selepas ini netizen berhenti membuat spekulasi mengenai setiap lelaki dikenalinya termasuk dengan Ahya.



"Saya harap jangan ada pihak yang bertanya atau komen mengenai hubungan kami. Kadangkala saya lihat netizen gemar membuat spekulasi mengenai setiap gambar dan video yang dimuat naik.

"Saya tidak pernah sekalipun membuat kenyataan berkawan rapat apatah lagi putus cinta dengannya. Cuma tidak dinafikan ada pihak yang suka melihat kami bersama kerana sering bertemu sebagai kawan baik serta dia bertindak sebagai jurulatih peribadi saya.

"Jujur apa yang berlaku antara kami sangat memberi kesan kerana mereka beranggapan saya menjalin hubungan dengannya sedangkan saya sudah hampir tujuh tahun hidup solo.

“Saya bimbang jika setiap lelaki yang saya berkawan akan ingat saya mempunyai hubungan istimewa.

“Berilah saya masa untuk mengenali hati budi seseorang dan jangan membuat andaian tidak betul. Jika saya sudah menemui teman lelaki saya tidak akan merahsiakannya,” katanya.

Terdahulu penerbit Datuk A Aida mendedahkan sedang berkawan dengan Ahya dan tidak menolak sekiranya ditakdirkan bersama.

Gosip mereka dikatakan bercinta timbul bersama selepas Ahya dan A Aida Sama-sama menunaikan ibadah umrah.

Disebabkan itu, ramai yang beranggapan dan melemparkan komen di Instagram Zulin mengatakan dia dan Ahya sudah tidak lagi menjalin hubungan cinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post