Syed Shafiq kejar cita-cita bergelar pelakon


Bukan mudah seseorang pelakon baru menempatkan diri secara konsisten dalam industri. Ini kerana, lambakan muka baru silih berganti memberi ruang buat pencinta seni memilih mana satu yang terbaik.

Bagaimanapun, situasi tersebut nyata tidak menghalang Syed Shahrul Shafiq Syed Naharudin,23, atau nama komersialnya, Syed Shafiq untuk terus mengejar cita-cita meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Bagi Shafiq, dia tidak pernah patah semangat untuk terus mencuba demi memastikan apa diimpikan menjadi realiti. Tentunya untuk berjaya bukanlah mudah memandangkan kebanyakan teman seangkatan turut melalui pengalaman sama.

Itulah prinsip turut dipegang jejaka asal Kajang ini apabila bercerita mengenai jalur perjalanan seninya yang baru saja bermula.

“Sejujurnya, sedari dulu saya minat dunia lakonan. Namun saya kurang pasti jalan terbaik untuk menempatkan diri dalam industri.

Pada peringkat awal, saya hanya berjinak-jinak dalam dunia peragaan dan pernah menjadi model untuk satu produk kesihatan.

“Sejak itulah, sedikit demi sedikit saya cuba beranikan diri untuk menghadiri uji bakat lakonan, hasil sokongan dan bantuan daripada sepupu,” katanya ketika diminta berkongsi mengenai kisah penglibatan awalnya dalam lakonan.

Bermula dari bawah

Hasil uji bakat bersama syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd, Shafiq bertuah kerana dipilih untuk memegang salah satu watak tambahan menerusi drama Surat Mati Abah di samping Aman Graseka, Aida Aris dan Raysha Rizrose.

Ternyata, peluang diraih anak bongsu dari dua beradik tidak disia-siakan.

“Biar wataknya tidaklah sebesar mana, namun kesempatan yang diberikan memberi makna besar buat saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam lakonan. Sebab saya sedar, sebagai muka baru, kita sebolehnya perlu membuktikan kemampuan diri, biar watak yang diberikan adalah sebagai penyokong kepada watak yang lain,” katanya lagi.

Menyedari bakat terpendamnya itu, produksi sama sekali lagi memanggil Shafiq untuk berlakon di dalam sebuah drama 15 episod berbentuk kerohanian, Kisah Dari Mekah yang bersiaran di Astro Maya HD Oasis. Selain Shafiq, turut sama berlakon di dalam drama tersebut ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Ruhainies dan ramai lagi.

Terbaru, anak muda ini sedang sibuk di set penggambaran drama Kelip Kelip Kota London yang bakal bersiaran di Slot Zehra TV3. “Menerusi drama tersebut, saya mendukung watak sebagai Amran iaitu penolong kepada Shafiq lakonan Zain Saidin. Kiranya ini merupakan drama ketiga lakonan saya dan pastinya saya cuba memberikan kualiti yang lakonan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Watak besar atau tidak itu bukanlah menjadi keutamaan kerana saya sendiri masih lagi baru. Jadi masih banyak lagi pengalaman yang perlu saya kutip untuk menjadi seorang pelakon serba boleh,” kongsi Shafiq yang menjadikan aktor versatil, Datuk Rosyam Nor sebagai sumber inspirasinya dalam seni.

Jelas Shafiq, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan drama-drama lakonan aktor senior tersebut. Malah setiap karakter yang dilakonkan Rosyam disifatkannya cukup baik dan punyai jiwa tersendiri.

Akur persaingan

Sementara itu, Shafiq juga tidak menafikan, persaingan terutama dalam kalangan hero baru begitu sengit.

Jelasnya lagi, kehadiran pelakon muda berbakat di bidang lakonan menjadi penguat semangat untuknya untuk terus berusaha dengan lebih gigih.

“Saingan yang diterima cukup kuat kerana selain punya penampilan menaik, kebanyakan juga ada asas lakonan. Jadi semestinya saya sendiri pun perlu lakukan sesuatu untuk berdiri setara dengan mereka, misalnya dengan mengikuti kelas lakonan.

“Apa pun, saya tidak anggap saingan yang ada sebagai satu penghalang kerana semuanya terpulang kepada diri sendiri. Kata orang, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi, saya tidak anggap mereka sebagai pencabar. Sebaliknya, mereka merupakan sumber keyakinan untuk menjadikan diri lebih berdaya saing,” jelas Shafiq yang turut berharap ‘hayatnya’ dalam dunia seni akan bertahan lama.

“Sebagai orang baru, pastinya saya mengharapkan sokongan semua. Terlibat dalam lakonan bukanlah untuk kejar glamor semata-mata.

Hakikatnya, ini adalah minat saya sejak dulu.

“Alhamdulillah, keluarga turut memberi ruang buat saya memilih apa yang terbaik dan tentunya juga saya mengharapkan dorongan sama daripada semua, insya-ALLAH,” akhiri Shafiq yang mahu mencuba watak antagonis di dalam mana-mana drama lakonannya selepas ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post